Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Faktor kemunculan masyarakat maritim di Jepun abad ke 16 dan 17

Contoh Karangan faktor-faktor kemunculan masyarakat maritim di Jepun abad ke-16 dan 17.

 

Pendahuluan

  • Kemunculan masyarakat maritim di Jepun dapat dikesan sejak abad ke-3 Masihi. Pedagang-pedagang Jepun telah menjalinkan hubungan perdagangandengan China, Vietnam,dan Korea. Di samping itu, pedagang Jepun juga menjalankan kegiatan perdagangan dengan pelabuhan lain di Asia Tenggara.
  • Menjelang abad ke-16, Jepun mengamalkan dasar buka pintu dengan menggalakkan kehadiran pedagang Barat ke negara tersebut. Kehadiran pedagang Barat menyebabkan pedagang Jepun bangkit sebagai sebuah kuasa maritim di Asia.

 

Isi-Isi Penting:

(1) Kedudukan Geografi

  • Dari segi geografi,negara ini terdiri daripada beberapa pulau yang dikelilingi laut. Antara pulau yang jadi tumpuan masyarakat maritim di Jepun ialah Kyushu, Shikoku, Hokkaido dan Honshu. Oleh kerana bentuk muka bumi pulau-pulau ini yang bergunung-ganang,maka petempatan didirikan di kawasan pesisir pantai.
  • Lokasi petempatan yang berhampiran laut menyebabkan penduduk terdedah dengan kegiatan berasaskan laut. Perkembangan ini menjadi asas kemunculan masyarakat maritim di Jepun.

 

(2) Perdagangan

  • Perkembangan perdagangan menyumbang kepada kemunculan masyarakat maritim di Jepun. Pada Zaman Ashigaka, perdagangan berkembang pesat di Jepun.Pedagang Jepun menjalinkan hubungan perdagangan dengan negara di rantau Asia Tenggara.
  • Menjelang zaman Tokugawa,hubungan perdagangan terjalin denngan China, Korea dan Vietnam. Pedagang-pedagang asing seperti pedagang dari Portugal juga datang ke Jepun. Di zaman Nobunaga, lebih ramai pedagang dari Portugal datang ke Jepun.Kedatangan pedagang asing ini menyebabkan muncul masyarakat maritim.

 

(3) Kemunculan Pelabuhan

  • Kemunculan pelabuhan merangsang pertumbuhan masyarakat maritim di Jepun. Kepesatan perdagangan menyebabkan kemunculan pelabuhan entrepot. Antara pelabuhan entrepot terpenting abad ke-16 ialah Kyushu, Nagasaki, dan Shimoda yang juga menjadi tumpuan pedagang Jepun dan pedagang  luar negara.
  • Menjelang pertengahan abad ke-16, kapal pedagang Portugal berlabuh di pelabuhan Kyushu. Kehadiran mereka mendapat galakan daripada golongan bangsawan Jepun.

 

(4) Kemajuan Dalam Bidang Teknologi Pelayaran

  • Kemajuan pesat dalam pelayaran ini menyebabkan masyarakat maritim di Jepun mampu untuk belayar hingga ke Korea, China dan Asia Tenggara. Kemajuan yang dicapai dalam teknologi pelayaran dan pembinaan kapal menjadikan negara Jepun berjaya muncul sebagai masyarakat maritim. Jepun melahirkan ramai pelayar yang mempunyai kemahiran dalam ilmu pelayaran serta pengetahuan dalam ilmu nautika, kartografi dan perkapalan.
  • Menjelang abad ke-16, muncul pusat pembinaan dan baik pulih kapal-kapal di Jepun.Masyarakatnya juga mempunyai kemahiran dalam pembinaan kapal-kapal besar yang sesuai untuk pelayaran jaraj jauh. Kapal Shuinsen merupakan kapal yang diguna pedagang Jepun belayar ke Asia Tenggara.

 

(5) Dasar Kerajaan Jepun

  • Dasar buka pintu yang diamalkan kerajaan Jepun menyumbang kepada kemunculan masyarakat maritim di Jepun. Dasar ini juga menyebabkan masyarakat maritim Jepun terdedah pengaruh dari luar seperti Asia dan juga Barat. Menjelang akhir abad ke-16, pedagang dari Portugal menjalankan aktiviti perdagangan dengan Jepun. Selain pedagang,golongan mubaligh Kristian juga terlibat dalam menyebarkan dakwah dikalangan penduduk Jepun.
  • Hubungan dengan Portugal menyebabkan masyarakat maritim Jepun menerima  teknologi baharu dari Barat iaitu perkapalan. Perkembangan ini memainkan peranan dalamm merancakkan kegiatan maritim.

 

(6) Galakan Pemerintah

  • Pemerintah juga memainkan peranan penting. Hideyosi merupakan pemerintah yang berminat dalam aktiviti perdagangan. Beliau menggalakkan pedagang Jepun berdagang ke seberang laut. Semasa pemerintahannya, Jepun menjalinkan hubungan  dengan China dan Korea. Beliau mengawal kegiatan perdagangan dengan negara-negara asing  dengan mengawal segala aktiviti perdagangan di pelabuhan Nagasaki mulai tahun 1587. Ekoran itu, pedagang Jepun di Nagasaki, Sakai dan Hakata menghantar ekspedisi ke Asia Tenggara.
  • Shogun Tokugawa memberi galakan kepada rakyat untuk libatkan diri dalam perdagangan maritim. Semasa pemerintahan Tokugawa Ieyasu, dasar perdagangan Shuinsen diperkenalkan. Berdasarkan dasar ini kapal dagang yang menjalankan aktiviti perdagangan dengan negara asing dikehendaki memiliki mohor merah. Ini menyebabkan ramai golongan bangsawan melibatkan diri dalam perdagangan maritim.Abad ke-17, banyak kapal dagang Shuinsen terlibat dalam perdagangan dengan Vietnam. Ini menjadi asas kemunculan masyarakat maritim.

 

(7) Pengaruh Luar

  • Kemunculan masyarakat maritim disebabkan oleh hubungan antara Jepun dengan negara-negara lain. Menjelang abad ke-16. Jepun menjalinkan hubungan perdagangan dengan Portugal. Akhir abad pula, ramai pedagang dari Portugal melibatkan diri dalam aktiviti perdagangan.
  • Shogun Ashikaga membenarkan pedagang Portugal berdagang di pelabuhan Nagasaki. Menjelang abad ke-17, pedagang dari Belanda, British dan Sepanyol menjalankan perdagangan dengan Jepun. Kedatangan pedagang Barat menyebabkan aktiviti perdagangan berkembang pesat dan meletakkan kemunculan masyarakat maritim di Jepun.

 

Penutup

  • Secara keseluruhannya, kemunculan masyarakat maritim di Jepun berkait rapat dengan perdagangan. Dari segi pengaruh luar, kedudukan geografi, pelabuhan, teknologi pelayaran atau pemerintah adalah berasaskan perdagangan.
  • Malahan, pada zaman pemerintahan Tokugawa Ieyasu, dasar perdagangan diperkenalkan. Pelbagai dasar diperkenalkan bagi mengukuhkan perdagangan masyarakat maritim di Jepun dan menjadi faktor-faktor kemunculannya.