Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Karangan kebaikan amalan makan bersama keluarga


Dalam kehidupan manusia yang berkeluarga, waktu makan merupakan masa yang paling istimewa dapat dilakukan sekiranya ada perancangan yang teliti. Hal ini telah diperjelaskan oleh William J. Siegel, iaitu manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi sebenarnya mereka gagal untuk merancang. Oleh itu, ibu bapa perlulah membentuk budaya makan di rumah atau di luar rumah. Galakan agar setiap ahli keluarga duduk bersama-sama di meja makan perlulah diberikan keutamaan. Namun, budaya makan bersama-sama keluarga yang menjadi teras ikatan kekeluargaan semakin dipinggirkan. Anak-anak pada zaman sekarang makan tanpa mengikut waktu makan. Punca utama yang dikenal pasti fenomena ini berlaku kerana bersikap mementingkan diri sendiri bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dalam menggalakkan anak-anak makan bersama-sama. Ghalibnya, kebaikan makan bersama dengan keluarga sememangnya tiada penghujungnya untuk dibincangkan. Sesungguhnya, pelbagai kebaikan makan bersama-sama keluarga perlu kita kupas untuk dijadikan panduan.


Pada pandangan saya, manfaat utama apabila sesebuah keluarga dapat makan bersama-sama ialah budaya ini dapat meningkatkan disiplin dan adab ketika makan dalam ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana adab ketika di meja makan kini semakin hilang. Anak-anak pula lebih gemar menikmati makanan ketika menonton televisyen ataupun mendengar muzik. Anak-anak pula akan tergesa-gesa untuk menghabiskan makanan bagi mengejar rancangan hiburan masing-masing yang tiada penghujungnya. Oleh sebab itu, ibu bapa wajarlah menetapkan disiplin atau adab di meja makan. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak untuk menyediakan hidangan, membasuh pinggan mangkuk dan mengemas apabila selesai makan. Sebagai kesannya, didikan ini akan menyebabkan ibu bapa akan pulang ke rumah untuk makan bersama-sama anak-anak. Selain itu, kelazatan dan kebersihan makanan serta minuman tersebut akan terjamin. Tambahan pula, kesihatan dengan makan bersama-sama keluarga dapat ditingkatkan. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya dalam soal pengambilan makanan ini. Hakikatnya, makan bersama dengan keluarga mampu membentuk adab sopan anak-anak demi menjadikan mereka anggota masyarakat yang berhemah dalam soal pemakanan.

Selain peningkatan disiplin dan adab ketika makan, budaya makan bersama-sama juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan yang semakin terhakis kini. Hal ini begitu kerana waktu makan ialah masa yang berkualiti, tenang dan menyeronokkan. Dengan demikian, ibu bapa boleh berinteraksi sambil bual-bual dengan anak- anak ketika makan. Selain itu, ibu bapa dan anak-anak boleh berbincang tentang sesuatu perkara yang menggembirakan atau menyedihkan yang telah berlaku dalam tempoh masa yang terdekat. Ibu bapa juga bolehlah bertanya tentang masalah yang dihadapi sama ada masalah peribadi ataupun masalah pembelajaran mereka. Untuk menjadi lebih menyeronokkan ahli-ahli keluarga boleh memasak bersama-sama untuk menyediakan makanan. Anak-anak boleh membantu mengupas bawang dan memotong sayur. Sebagai impaknya, ibu bapa dapat mengesan pergerakan harian anak-anak jika mereka sentiasa bersama. Kemungkinan anak-anak untuk terbabit dalam gejala sosial dapat dikurangkan. Seterusnya, rumah akan dijadikan tempat yang menyeronokkan untuk tinggal dengan lebih lama. Tradisi makan bersama- sama ini dapat mengekalkan institusi keluarga daripada runtuh. Benarlah kata orang cerdik pandai bahawa Rumahku Syurgaku dapat disemai dalam diri anak-anak. Sesungguhnya, makan bersama-sama ini dapat melahirkan suasana yang aman dan damai serta harmoni.

Budaya makan bersama-sama jika diamalkan secara rutin dalam aktiviti harian keluarga akan dapat meningkatkan tahap komunikasi dalam sesebuah keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa mestilah meluarigkan masa makan bersama dengan anak sekurang-kurangnya lima kali seminggu dalam meningkatkan komunikasi. Selain itu, meja makan ialah tempat yang sempurna untuk membincangkan sesuatu yang berlaku dalam kehidupan setiap ahli keluarga. Oleh hal demikian, ibu bapa boleh berkongsi perbualan dengan ahli keluarga yang lain. Ketika berbual-bual ini maka suasana ini akan memberi kesempatan berkomunikasi kepada mereka. Hal ini juga membolehkan anak-anak memerhatikan kelakuan orang lain, khususnya perbuatan yang positif akan dijadikan contoh dan panduan untuk mengharungi hidup yang semakin mencabar di luar sana. Sekiranya komunikasi dua hala dapat dilakukan dengan berhemah dan cemerlang maka sudah tentu tradisi makan bersama-sama ini dapat menjalin ikatan dan perhubungan mesra antara satu dengan yang lain. Pepatah Melayu ada menyebut bahawa hubungan bagai aur dengan tebing dapat diterapkan dalam institusi keluarga yang seterusnya akan membentuk keharmonian keluarga itu sendiri. Pendek kata, makan bersama dengan keluarga merupakan satu wahana ataupun kaedah komunikasi yang lebih canggih dalam pembentukan institusi keluarga yang mapan.

Kebaikan seterusnya amalan makan bersama-sama keluarga ialah aktiviti ini dapat mendedahkan anak-anak tentang kepentingan pemakanan seimbang yang menjadi tunjang kesihatan diri. Hal ini disebabkan anak-anak lebih mengutamakan pemakanan ringan ataupun makanan segera sebagai menu makanan utama mereka. Anak-anak juga perlu tahu bahawa pengambilan buah-buahan, sayuran dan makanan yang ada nutrien adalah lebih tinggi diambil dalam sajian makanan harian. Oleh sebab itu, anak-anak akan memilih makanan yang lebih menyihatkan ketika mereka makan bersama. Seterusnya, anak-anak akan kurang mengambil makanan goreng, lemak tepu dan pengambilan minuman manis. Tradisi makan bersama-sama ini akan dapat menunjukkan cara pengambilan makanan yang sihat dijadikan keutamaan. Sebagai kesannya, anak-anak dan ahli keluarga akan melebihkan pengambilan makanan berserat dan menyihatkan. Secara tidak langsung, pemakanan yang sihat dapat menurunkan kadar masalah obesiti dalam kalangan anak-anak. Ibu bapa perlulah menunjukkan cara pemakanan yang sihat kepada anak-anak kerana merekalah uswatun hasanah yang paling rapat dengan anak-anak.  Tegasnya, ibu bapa sebagai pemimpin sesebuah keluarga haruslah mampu memastikan anak-anak membuat pilihan yang baik tentang pemakanan apabila makan bersama-sama.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa kebaikan dengan mengamalkan tabiat makan bersama-sama keluarga adalah tidak ternilai harganya. Ibu bapa terutamanya perlu menjadikan tradisi makan bersama-sama keluarga menjadi agenda dan keutamaan dalam hidup kita seharian. Bill Gate ada berkata bahawa sekiranya kita tidak mahu berubah, sedangkan orang lain sudah berubah sebenarnya kita belum berubah. Oleh hal demikian, setiap ahli keluarga haruslah mengamalkan tabiat makan bersama-sama dalam keluarga mereka. Pepatah Melayu juga ada menyebut bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya Dalam erti kata yang lain, budaya makan bersama-sama ini haruslah dijadikan amalan dan budaya yang berkekalan. Seyogia, amalan makan bersama-sama ialah resipi kebahagiaan sesebuah keluarga. Individu yang sihat akan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara. Slogan "Rakyat Sihat Negara Sejahtera, haruslah tersemat dalam diri semua insan yang cinta akan kerukunan dan kebahagian rumah tangga.