Sejak
akhir-akhir ini, media sering menyajikan kita dengan pelbagai berita mengenai
rusuhan, tunjuk perasaan, demonstrasi dan sebagainya. Terdapat juga sesetengah
pihak yang menggelarnya sebagai revolusi kebangkitan rakyat dan suara rakyat.
Hakikat kebiasaannya, tindakan dan pelaksanaan sebegini berpunca dari perkara
yang sama iaitu ketidakstabilan politik yang terjadi di sesebuah negara.
Disebabkan keadaan pertumbuhan politik yang tidak sihat, serta persaingan
kedudukan dan kuasa secara tidak adil dan saksama menyebabkan pihak yang
terlibat khususnya para pemerintah dan pentadbir mula mengabaikan tanggung
jawab mereka terhadap keperluan dan kehendak rakyat. Kesan ketidakstabilan
politik amnya terbahagi kepada beberapa bahagian dan klasifikasi iaitu kesan
jangka panjang dan kesan jangka pendek terhadap ekonomi dan politik negara itu
sendiri serta di peringkat antarabangsa serta kesan ketidakstabilan ini dari
sudut skop mikro dan makro.
Ketidakstabilan
politik sesebuah negara berpotensi membawa kepada pelaksanaan dan
tindakan-tindakan luar jangka seperti rusuhan, demonstrasi, bantahan, tunjuk
perasaan dan sebagainya. Melihat kepada keadaan ini, terdapat kemungkinan
negara tersebut akan mengalami implikasi negatif. Antara kesan dalam tempoh
jangka pendek adalah sekiranya rusuhan yang berlaku melibatkan keganasan dan
pertumpahan darah di sesebuah tempat, kegiatan ekonomi khususnya yang
melibatkan perniagaan dan perusahaan akan tergendala dan
terhenti kerana dua faktor iaitu kekurangan tenaga
kerja oleh sebab pekerja mereka terlibat dan kerana faktor
keselamatan pengusaha atau peniaga sendiri yang tidak terjamin. Aktiviti
ekonomi yang terganggu menyebabkan lebihan penawaran produk atau barang
serta perkhidmatan dan sekaligus memperlahankan aliran keluar-masuk
wang. Ia akan merugikan peniaga khususnya dan merugikan negara amnya. Manakala
jumlah perusuh atau penunjuk perasaan yang ramai dari pelbagai kawasan
berkumpul di satu kawasan tertentu sahaja akan mengurangkan jumlah pembeli
di tempat-tempat lain sekaligus menganggu aktiviti ekonomi amnya.
Di
samping itu, sesebuah negara sama ada pemimpin mahupun rakyat akan berhadapan
dengan kesan jangka panjang disebabkan ketidakstabilan politik yang berlaku di
negara tersebut. Ketidakstabilan politik dalam sesebuah negara menganggu
pertumbuhan ekonomi tersebut disebabkan rusuhan, tunjuk perasaan dan
sebagainya. Hal yang demikian mencerminkan imej negara yang tidak selamat dan
tidak berpotensi dalam ekonomi sekaligus menyebabkan pelabur asing hilang
minat untuk melabur dalam negara tersebut. Keadaan kerajaan yang terpaksa
menggunakan kos yang besar bagi menanggung perbelanjaan kesan daripada
rusuhan dan tunjuk perasaan seperti menggunakan peruntukan sektor-sektor
lain dalam perbelanjaan pembangunan negara dan perbelanjaan mengurus negara
secara berlebihan untuk menanggung kos rawatan mangsa atau rakyat yang
tercedera serta membaiki kerosakan yang berlaku merupakan antara kesan jangka
panjang yang berlaku. Perancangan pembangunan negara akan tergendala dan
terganggu.
Tidak
dapat dinafikan, dari sudut mikro ataupun skop yang kecil, rakyat yang terlibat
ataupun penunjuk perasaan merupakan yang paling terjejas kerana ilmplikasi
ketidakstabilanpolitik ini. Kemusnahan harta benda awam dan barangan peribadi
serta permusuhan dan pergaduhan yang besar akan berlaku dan perlu ditanggung
oleh rakyat seluruhnya. Kemusnahan materialistik serta keruntuhan nilai-nilai
murni oleh sebab permusuhan dan perpecahan seterusnya akan memecahbelahkan
perpaduan dalam sesebuah negara. Malahan,
risiko kehilangan nyawa serta risiko berlaku keganasan antara pihak yang
berlainan dan pertumpahan darah juga berkemungkinan terjadi dan keadaan negara
atau sesetengah tempat yang terlibat akan berada dalam keadaan yang tidak
kondusif dan tidak selamat.
Meninjau
dari aspek yang lebih luas atau skop makro, antara implikasinya adalah akan
berlaku banyak kemusnahan harta benda atau material seperti kerosakan jalan,
bangunan dan tempat tinggal akan menyebabkan operasi membangun negara dengan
prasarana dan kemudahan-kemudahan tertentu menjadi tidak lancar dan tergendala.
Tanpa kemudahan dan prasarana, kegiatan ekonomi akan menjadi perlahan kerana
pengurangan pengeluaran produk dan kemerosotan angka penawaran perkhidamatan.
Suasana ekonomi yang tidak sihat ini menganggu keadaan ekonomi negara tersebut
dan barangkali menyumbang ke arah kemunduran negara dalam satu-satu tempoh
tertentu. Kesan lain adalah ketidaksepaduan dan pergaduhan sesama rakyat dalam
sesebuah negara memberi peluang kepada pihak ketiga untuk mengambil kesempatan
atas ketidakstabilan politik yang berlaku. Pihak ketiga ini berkemungkinan
melakukan campur tangan dan mengambil alih sektor yang dirasakan memberi
keuntungan kepada mereka.
Kesan
ketidakstabilan politik turut menjejaskan ekonomi pelbagai golongan yang
terlibat, baik secara individu, masyarakat, pihak kerajaan dan dalam masa yang
sama memberi kesan kepada keadaan ekonomi antarabangsa seandainya
ketidakstabilan itu membawa kepada rusuhan, tunjuk perasaan, bantahan secara
berpanjangan dan melibatkan keganasan. Individu yang terlibat
akan terdedah kepada risiko besar kecederaan dan kematian dan hal yang
demikian mengurangkan tahap jangka hayatnya. Kegiatan ekonomi dan sosial
individu tersebut akan terganggu dan terjejas. Perkembangan pendidikan akan
tergendala. Implikasi kepada rakyat apabila berlaku perpecahan dalam
masyarakat, akan membuka ruang kepada permusuhan dan pergaduhan. Tanpa
perpaduan, rakyat akan hidup dalam keadaan tidak selamat dan
kondusif. Perpecahan masyarakat akan membuka ruang kepada musuh
negara atau pihak luar mengambil kesempatan mendapatkan kepentingan negara
sewenang-wenangya. Pihak kerajaan pula akan
kehilangan kepercayaan rakyat kerana proses pembangunan dan mengurus
negara akan menjadi tergendala dan terganggu dan khususnya kerana
ketidakstabilan politik yang terganggu. Hubungan kerajaan dengan negara
luar juga akan terganggu kerana keadaan negara yang tidak
selamat menyukarkan sebarang kerjasama. Contoh mudah kerjasama
serantau yang melibatkan ekonomi adalah kegiatan eksport dan import.
Setiap
pihak sebenarnya memainkan peranan yang sama pentingnya dalam memastikan
kestabilan politik sesebuah negara. Rakyat perlu berfikir panjang tentang
tindakan yang diambil dan pihak kerajaan pula perlu menangani sebarang isu
ketidakstabilan politik dan kesan-kesannya secara bijaksana dan saksama.
Langkah-langkah yang pragmatik perlu dirancang dan disediakan oleh pihak
kerajaan sebagai menghadapi keadaan-keadaan tunjuk perasaan, demonstrasi dan
sebagainya. Kedua-dua pihak ini khususnya perlu menggunakan pendekatan yang
aman dan secara rundingan agar kemaslahatan bersama dan kepentingan ekonomi
sesebuah negara khususnya dapat dipelihara dari sebarang ancaman dalam dan luar
negara. Proses membangun dan mentadbir sesebuah negara merupakan
usahasama oleh rakyat dan pemimpin. Sekiranya ketidakstabilan politik berlaku,
implikasi yang terjadi sudah tentu akan menjejaskan keseluruhan aspek sosial,
kebudayaan, politik dan yang terpenting sekali merupakan ekonomi sesebuah
negara.