Sukan merupakan satu
aktiviti riadah yang paling sesuai dilakukan oleh pelbagai lapisan masyarakat
negara ini. Antara jenis sukan itu meliputi bola sepak, acara larian,
badminton, hoki, dan bola tampar yang menjadi pilihan utama rakyat Malaysia
tersebut. Media massa di negara ini juga sering menyiarkan siaran langsung
sebarang acara sukan yang menarik perhatian masyarakat untuk ditonton itu.
Sebenarnya, sukan ini membawa banyak faedah kepada individu, masyarakat, dan
negara secara tersirat.
Impak positif
penglibatan sukan kepada individu ini ialah diri mereka akan berasa puas dapat
melakukan sesuatu aktiviti tersebut. Kepuasan ini tercapai kerana sebarang
aktiviti sukan itu memerlukan tumpuan tenaga yang banyak lalu menjadikan
individu tersebut menikmati suasana kehidupan yang bermakna selepas selesai
melakukan sukan tertentu itu. Lama-kelamaan kepuasaan ini membawa keyakinan
diri seseorang itu menjadi lebih tinggi sehingga mampu menyelesaikan pelbagai
cabaran hidupnya dengan mudah. Ringkasnya, acara sukan membawa kehidupan
manusia itu lebih bermatlamat dan fokus untuk meneruskan kehidupan harian
mereka.
Selain itu, golongan
yang sering bersukan boleh memperoleh kebaikan daripada aspek kesihatan diri
mereka pula. Sebarang aktiviti sukan pasti akan membawa seseorang itu
berpeluh lalu banyak toksik badan akan dilepaskan dengan lancar. Apabila semua
toksik badan dibuang secara baik sudah pasti sistem badan akan berjalan dengan
tersusun sehingga menyukarkan sebarang penyakit berbahaya berlaku. Akibatnya,
masyarakat di negara ini tidak akan menghabiskan wang mereka untuk kos rawatan
di hospital itu kerana tidak mengalami penyakit kronik seperti diabetes,
jantung, dan kerosakan buah pinggang.
Kajian juga membuktikan
bahawa perpaduan masyarakat boleh dipupuk menerusi acara sukan yang diadakan
tersebut. Konsep perpaduan ini dicapai kerana kejayaan atau kegagalan pasukan
kebangsaan dalam sebarang acara sukan turut dirasai oleh masyarakat tanpa
mengira keturunan itu. Situasi ini mendidik masyarakat erti menikmati sesuatu
baik dalam bentuk positif atau negatif secara bersama-sama sehingga tercetusnya
perpaduan antara kaum tersebut. Lantaran itu, semua cabaran negara akan lebih
mudah diharungi kerana rakyat memiliki rasa kekitaan yang mendalam hasil
daripada aktiviti sukan yang murni itu.
Tambahan pula, sebarang
acara sukan yang diadakan atau dianjurkan oleh sesebuah negara itu bakal
menjana pertumbuhan ekonomi negara juga. Usaha menganjurkan acara sukan
bertaraf dunia seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia bola sepak memerlukan
pembinaan stadium serta kemudahan awam lainnya terutamanya pengangkutan awam.
Aktiviti sebegini memerlukan sejumlah modal yang besar untuk membawa semua
projek ini berjalan lancar sehingga menjadikan perniagaan sampingan turut
berkembang. Sesungguhnya, aktiviti sukan yang diadakan apabila dirancang dengan
teliti boleh memajukan sektor ekonomi negara dengan begitu mudah.
Kesimpulannya, semua
kebaikan sukan tadi memang boleh terserlah apabila sukan dimajukan dengan
sebaik mungkin. Semua pihak terutama ibu bapa perlulah memberikan sokongan
apabila anak mereka ingin terlibat dalam sesuatu acara sukan itu. Tanpa
disedari sukan itu boleh menghasilkan pelbagai kebaikan yang berguna untuk
individu, masyarakat, dan negara. Slogan majulah sukan untuk negara harus
dipegang oleh setiap lapisan insan Malaysia jika kita mahu acara sukan ini
terus mendat tempat dalam jiwa rakyat.