Karangan SPM- Contoh Karangan Usaha-usaha Menjadikan Membaca Sebagai Amalan Kita
Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan pada hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa. Mereka lebih terdorong dan gemar melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah mereka melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh mereka khususnya dengan membaca? Apakah yang dimaksudkan dengan membaca dan apakah kepentingannya?
Membaca didefinisikan sebagai memerhati sesuatu yang
tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahami makna kandunganya.
Kepentingannya pula adalah untuk melahirkan individu yang berilmu pengetahuan.
Hal ini kerana, membacalah yang menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu
pengetahuan, seperti cogan kata 'Membaca Jambatan Ilmu'.
Walaubagaimanapun, berdasarkan kajian, rakyat Malaysia
hanya membaca dua buah buku setahun. Hal ini amat berbeza bagaikan langit dan
bumi jika dibandingkan dengan bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun.
Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik untuk menjadikan rakyat Malaysia
gemar membaca. Oleh itu, tanpa menuding jari ke arah orang lain kerana
dikhuatiri bagai menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri, sebagai
seorang pelajar dan remaja kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang
efektif untuk menjadikan membaca itu amalan hidup.
Memang tidak dapat disangkal lagi, usaha yag pertama
ialah atas diri remaja sendiri. Remaja
perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Seperti yang kita ketahui Malaysia tidak
pernah ketandusan perpustakaan. Tamsilnya, perpustakaan sekolah, perpustakaan
awam dan perpustakaan bergerak. Di sini, remaja dapat membaca dan meminjam
pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Walaupun perpustakaan
yang dipenuhi dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak
dapat diterokai, remaja perlulah sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan
untuk membaca. Walaupun sekadar sebuah buku seminggu, ilmu yang diperoleh amat
besar nilainya. Remaja juga boleh melakukan lawatan sambil belajar ke
Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti–universiti terkemuka di
Malaysia. Selain dapat menyemai minat membaca dalam diri, remaja juga dapat
melihat kecanggihan teknologi yang terdapat di situ, bak peribahasa, sambil
menyelam minum air. Dengan itu, remaja perlulah rajin mengunjungi perpustakaan
agar sentiasa terdorong untuk membaca.
Selain itu, remaja juga boleh ikut serta secara aktif
dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal ini kerana, NILAM
berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak.
Melalui program ini, remaja perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu
dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan di dalam Buku Nilam. Pelajar
yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula
daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif
juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat
daerah, negeri dan kebangsaan.
Tambahan pula, remaja juga perlu menjadikan amalan
membaca sebagai hobi pada masa senggang . Aktiviti ini jauh lebih baik
berbanding remaja melakukan aktiviti-aktiviti yang membawa remaja ke arah
negatif. Daripada remaja membiarkan masa yang terluang terbiar begitu sahaja,
remaja perlu mengisinya dengan membaca kerana masa itu emas. Contohnya, remaja
boleh menyusun jadual untuk membaca pada hujung minggu atau pada masa cuti
persekolahan. Marcus Aurelis pernah
berkata,“jangan membuang masa memikirkan bagaimana untuk menjadi orang yang
baik, sebaliknya mulakan dengan diri sendiri dahulu” . Di sini jelaslah
bahawa remaja itu sendiri perlu menggalakkan dirinya sendiri agar sentiasa
membaca pada waktu senggang.
Seterusnya, remaja juga boleh membuat langganan buku
pada setiap bulan. Buku- buku atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar
berunsurkan tarbiah sahaja tetapi juga bercorak santai. Tamsilnya, Dewan Siswa,
majalah i-sihat dan Solusi. Di manakah remaja boleh melanggan buku-buku
tersebut? Remaja boleh melanggannya di kedai-kedai buku, internet atau meminta
bantuan guru di sekolah untuk melanggan. Impaknya, remaja akan sentiasa membaca
pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini
apabila melanggan buku pada setiap bulan. Remaja perlulah sentiasa berusaha
mencari pelbagai jenis buku dengan cara melanggan buku pada setiap bulan.
Persis kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Remaja juga boleh menjadikan individu yang gemar
membaca dan sentiasa dekat dengan buku sebagai idola. Sebagai contoh, A.Samad
Said yang terkenal dengan karya puisinya, Profesor Diraja Ungku Aziz, Mary
Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis tersohor, Sharifah Abu Salim .
Apabila remaja menjadikan mereka sebagai idola, remaja akan sentiasa terdorong
untuk membaca dan menjadi seperti mereka. Positifnya, remaja akan sentiasa
menjadikan idola mereka itu sebagai hala tuju. Hal ini kerana, ketekalan dan
kejituan mereka dalam usaha menulis buku untuk dijadikan bahan rujukan harus
dihargai dan dijadikan pendorong. Justeru, remaja haruslah menjadikan
tokoh-tokoh tersohor ini sebagai idola berbanding dengan menjadikan artis
sebagai pujaan hati mereka.
Usaha yang terakhir ialah berkawanlah dengan rakan
sebaya yang gemar membaca atau lebih dikenali sebagai ulat buku. Hal ini
demikian kerana, pengaruh rakan sebaya amat kuat semasa peringkat remaja. Sekiranya rakan-rakan remaja terdiri daripada
mereka yang suka membaca pelbagi bahan bacaan, lama-kelamaan, remaja juga akan
terikut-ikut dan terbiasa dengan amalan membaca. Bak kata pepatah alah bisa tegalbiasa. Dengan itu, remaja perlulah arif memilih
rakan. Jika remaja tersilap langkah
dalam memilih rakan, tidak mustahil mereka akan menjadi duri dalam daging dalam
hidup kita.
Konklusinya, sebagai seorang remaja kita perlulah
sentiasa berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. Hal ini kerana,
remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara
kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah biarkan usia
remaja dipenuhi dengan perkara sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja
kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu
berpegang teguh dan jitu dengan slogan “Membaca itu Jambatan Ilmu” dan “Rakyat
Membaca, Bangsa Berjaya” seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri
Malaysia kita, Dato’ Seri Najib bin Abdul Razak “generasi berpengetahuan
merupakan tunjang untuk mencapai wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara maju”.