Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Kesan Kenaikan Harga Minyak di Malaysia

Contoh Karangan Kesan Kenaikan Harga Minyak di Malaysia

 

Sejak akhir-akhir ini, isu kenaikan harga minyak menjadi topik utama yang hangat diperbincangkan oleh masyarakat di media sosial. Hal ini berikutan dengan kenaikan harga minyak dunia yang mendadak sehingga mencapai melebihi USD 100. Situasi ini membimbangkan ramai pihak kerana minyak merupakan sumber tenaga utama yang digunakan bagi menggerakkan ekonomi negara. Sudah tentu ia akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada ekonomi negara. Dalam hal ini, golongan B40 merupakan golongan yang sangat terkesan dengan kenaikan harga minyak ini. Oleh itu, pelbagai langkah yang proaktif perlu diambil oleh kerajaan bagi mengurangkan kesan daripada masalah ini. Pada dasarnya, terdapat pelbagai kesan kenaikan harga minyak ini kepada rakyat dan negara.


1. Peningkatan Kos Sara Hidup

Antara kesan kenaikan harga minyak ialah kos sara hidup meningkat. Hal ini dikatakan demikian kerana, minyak merupakan bahan bakar yang sangat diperlukan oleh mesin dalam proses pengeluaran barangan. Dalam masa yang sama, kenderaan juga memerlukan minyak sebagai bahan bakar untuk mengangkut barangan dari suatu tempat ke tempat lain. Kesannya, kos pengeluaran barangan keperluan akan meningkat. Oleh itu, jika harga minyak meningkat, maka harga barang-barang keperluan juga akan turut meningkat kesan daripada kenaikan kos pengeluaran tersebut. Hal ini berlaku kerana para pengeluar akan memindahkan kenaikan kos pengeluaran tersebut kepada pengguna menyebabkan harga barangan dinaikkan untuk memastikan mereka terus menikmati keuntungan. Jadi, jika harga barangan keperluan meningkat, maka kos sara hidup masyarakat juga akan turut meningkat kerana berlaku kenaikan harga barangan. Jelaslah bahawa, kenaikan harga minyak akan menyebabkan kos sara hidup masyarakat meningkat.

 

2. Kos Pembangunan Meningkat

Selain itu, kenaikan harga minyak juga akan menyebabkan kenaikan kos pembangunan. Hal ini dikatakan demikian kerana, harga bahan-bahan binaan meningkat disebabkan oleh kenaikan kos pengeluaran dan pengangkutan. Kos-kos ini meningkat kerana kenderaan dan mesin memerlukan bahan bakar, iaitu minyak diesel sebagai penggeraknya. Dalam hal ini, jentera-jentera berat dan mesin-mesin yang digunakan dalam projek pembangunan juga kebanyakannya menggunakan minyak sebagai penggeraknya. Jadi, minyak sangat penting dalam memastikan sesuatu projek pembangunan berjalan dengan lancar. Oleh itu, kenaikan harga minyak akan menyebabkan kos pembangunan juga akan turut meningkat. Kesannya, lebih banyak wang yang diperlukan untuk membiayai projek-projek pembangunan. Hal ini akan menyebabkan hanya sedikit infrastruktur yang dapat dibina kerana tekanan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan. Jelaslah bahawa, kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan kos pembangunan.

 

3. Penurunan Kadar Pelaburan

Di samping itu, kenaikan harga minyak juga akan menyebabkan kadar pelaburan menurun. Hal ini dikatakan demikian kerana, kenaikan harga minyak akan menyebabkan kos operasi meningkat. Apabila kos operasi meningkat, maka keuntungan yang diperoleh oleh para pelabur akan menurun menyebabkan mereka enggan melabur. Dalam masa yang sama, kadar faedah pinjaman juga turut dinaikkan oleh bank pusat untuk mengurangkan inflasi kesan daripada kenaikan harga minyak global. Hal ini akan menyebabkan para pelabur sukar untuk mendapatkan modal untuk melabur, malah pelabur yang mempunyai modal yang besar juga akan lebih memilih untuk menabung bagi memperoleh pulangan yang lebih tinggi. Kesannya, pelaburan dalam negara berkurang. Jelaslah bahawa, kenaikan harga minyak akan menyebabkan kadar pelaburan menurun.

 

Karangan Berkaitan : Kenaikan harga minyak


4. Peningkatan Pengangguran

Kenaikan harga minyak juga akan menyebabkan kadar pengangguran meningkat. Hal ini dikatakan demikian kerana, kos pengeluaran yang meningkat disebabkan oleh kenaikan harga minyak ini akan memaksa para majikan membuang pekerjanya untuk meminimumkan kos pengeluaran. Keadaan ini menyebabkan banyak orang yang sebelum ini bekerja menjadi penganggur. Selain itu, daya beli masyarakat yang menurun akibat kenaikan harga barangan juga akan menyebabkan firma-firma terpaksa mengurangkan kapasiti pengeluaran mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, apablia daya beli masyarakat berkurang, maka permintaan terhadap barangan juga akan turut berkurang. Jadi, keadaan ini akan menyebabkan banyak pekerja dibuang kerana firma tidak lagi memerlukan mereka. Oleh itu, kadar pengangguran akan meningkat. Jelaslah bahawa, kenaikan harga minyak turut menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran dalam negara.

 

5. Beban Hutang Negara Meningkat

Beban hutang negara juga akan turut meningkat disebabkan oleh kenaikan harga minyak ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, kerajaan terpaksa membuat pinjaman untuk membiayai kos pembangunan infrastruktur yang meningkat akibat daripada kenaikan harga minyak. Jika hal ini tidak dilakukan, maka banyak projek-projek pembangunan seperti pembinaan hospital, jalan raya dan sekolah yang memberi manfaat langsung kepada rakyat akan tergendala. Selain itu, kenaikan harga minyak juga akan menyebabkan beban subsidi yang ditanggung oleh kerajaan akan meningkat. Bagi menanggung subsidi ini, kerajaan terpaksa membuat pinjaman kerana nilainya bukan sedikit dan ia di luar kawalan pihak kerajaan. Sebagai contoh, jika harga minyak naik, maka kerajaan terpaksa memberi subsidi kepada minyak petrol dan diesel yang memakan belanja berpuluh bilion ringgit Malaysia. Bukan itu sahaja, bahkan pihak kerajaan juga turut memberi subsidi kepada barangan keperluan asas seperti beras, telur, ayam dan sebagainya yang turut mengalami kenaikan harga kesan daripada kenaikan minyak ini. Semua bantuan subsidi yang diberikan kerajaan untuk memudahkan rakyat ini tidak mampu ditanggung oleh kerajaan tanpa membuat pinjaman kewangan. Oleh itu, beban hutang negara juga akan turut meningkat, jika berlaku kenaikan harga minyak. Jelaslah bahawa, kenaikan harga minyak akan turut memberi kesan kepada beban hutang negara.

 

Kesimpulannya, terdapat pelbagai kesan negatif yang dihadapi oleh rakyat dan negara akibat daripada kenaikan harga minyak. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagi mengatasi kesan negatif kenaikan harga minyak ini kerana ia akan menimbulkan banyak kekacauan dalam negara. Pihak kerajaan haruslah mempunyai dasar yang mantap bagi mengatasi masalah kenaikan harga minyak ini. Di samping itu, kita juga harusalah berfikir bermula daripada sekarang untuk menggantikan sumber tenaga tidak diperbaharui ini dengan sumber tenaga alternatif yang tidak mudah terdedah dengan keadaan ekonomi global. Jika kita mampu memaksimumkan  penggunaan sumber tenaga alternatif ini, nescaya kita tidak akan berhadapan dengan kesan kenaikan harga minyak. Hal ini dikatakan demikian kerana, kita tidak lagi memerlukan minyak sebagai sumber tenaga utama bagi menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi. Semoga sumber tenaga alternatif mampu dimaksimumkan penggunaannya di negara kita demi kemakmuran bersama.

Karangan Berkaitan : Kenaikan harga minyak