Karangan SPM- Usaha-Usaha Untuk Memajukan Sektor Pelancongan di Negara Malaysia
Karangan sektor pelancongan, karangan industri pelancongan, karangan kepentingan sektor pelancongan
Industri pelancongan memang merupakan suatu sektor yang penting bagi sesebuah negara.Hal ini demikian kerana industri ini menyumbangkan hasil dan pulangan yang banyak kepada sesebuah negara dalam aspek pendapatan negara. Daripada perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, jumlah pelancongan ke Malaysia dari Januari hingga Disenber 2010 ialah 24.6 juta orang.Pelancongan Asia Barat menunjukkan peningkatanpada tahun 2006 berbanding tahun 2005.Jumlah pelancong yang melawat ke Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun tersebut meningkat 44 peratus kepada 7.23 juta berbanding 5.02 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya meskipun keadaan ekonomi serantau yang lembap kini. Pada pendapat saya, pelbagai usaha dan aktiviti perlu dijalankan untuk menggalakkan pelancongan di Malaysia.
Sebagai kesinambungan idea saya, pihak kerajaan dan
pihak swasta perlu melakukan pelbagai usaha untuk memperkenalkan Malaysia ke
mata dunia. Kerajaan hendaklah menggiatkan promosi untuk merancakkan aktiviti
pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan
yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh dilaksanakan dengan komitmen
yang padu bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun hangat-hangat
tahi ayam. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi
kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan di Arab
Saudi.
Usaha memperkenalkan negara ini juga boleh dijalankan
melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarluaskan
maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat
memastikan semua pelancong memperoleh maklumat yang tepat mengenai destinasi
pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi
yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara
berkesan bagi menarik kunjungan pelancong. Hal ini demikian juga mampu menjadi
daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi
pelancongan yang diminati. Natijahnya, industri pelancongan negara kita dapat
bersinar dan terserlah ke seluruh dunia dan dapat berdiri sama tinggi, duduk
sama rendah dengan negara-negara lain.
Selain itu, pihak swasta haruslah berganding bahu
dengan pihak kerajaan membuka pusat-pusat percutian yang bertaraf dunia agar
industri pelancongan negara kita dapat bersaing dengan negara-negara lain di
dunia. Hal ini serupa dengan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat. Inisiatif ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyak pembinaan hotel
lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik
yang selesa untuk menarik minat pelancong sebagai analoginya, tindakan yang
dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah
berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah
pelancong menginap di hotel tersebut.
Bagi membuktikan perkara ini, perangkaan yang boleh
diketengahkan ialah pertambahan ketibaan pelancong antarabangsa dan pertumbuhan
pelancongan domestik yang kukuh telah menyumbang kepada peningkatan kadar
penginapan hotel purata daripada 59.2 peratus pada tahun 2000 kepada 63.5
peratus pada tahun 2005. Pendek kata, sekiranya langkah yang konkrit,
sistematik dan pragramatik dijalankan secara berterusan sudah tentu kedatangan
pelancongan ke Malaysia bagaikan di mana ada gula di situ ada semut.
Selain itu, seharusnya kita tidak mengetepikan peranan
sekolah dan peranan ibu bapadalam menggalakkan sektor pelancongan di Malaysia.
Memang diakui bahawa peranan sekolah dan ibu bapa amat penting dalam pendidikan
anak. Ibu bapa yang menjadi guru di rumah haruslah mengasuh anak dengan sikap
melentur buluh biarlah dari rebungnyatidak harus kita tepikan kerana api takala
kecil menjadi kawan apabila besar menjadi lawan. Hal ini supaya anak mereka
tidak terlibat dalam gejala sosial seperti vandalisme yang menjatuhkan imej
negara kita semasa pelancong dari luar negara datang ke negara kita. Bertitik
tolak daripada itu, pihak sekolah berperanan dalam menggalakkan pelancongan di
Malaysia. Oleh itu, subjek yang memperkenalkan Malaysia seperti Geografi dan
Sejarah harus banyak di perkenalkan oleh guru Sejarah.
Kelab pelancongan boleh ditubuhkan bagi memupuk minat
pelajar untuk melancong. Seterusnya, pihak sekolah juga bolah manganjurkan
aktiviti seperti lawatan sambil belajar dan pertandingan membuat folio tentang
tempat pelancongan untuk mendalami ilmu pengetahuan pelajar tentang tempat
tersebut pelancongan tersebut.
Selain itu, pihak sekolah juga boleh menampilkan filem
tentang adat resam dan keistimewaan berkaitan tempat pelancongan seperti Sabah
dan Sarawak. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membawa
anak melancong supaya mereka tidak menjadi katak di bawah tempurung. Hal ini
bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara keluarga tetapi juga dapat
merehatkan minda sekeluarga. Oleh itu, peranan ibu bapa dan sekolah penting
dalam menggalakkan pelancongan di Malaysia.
Ketika negara dan rakyat sedang rakus dan ghairah
memburu kemajuan, kita sebagai masyarakat terlupa menjimatkan pengaliran keluar
wang negara. Apabila melancong di negara kita, wang perbelanjaan untuk
pelancongan diperolah semula oleh kerajaan melalui cukai yang dikenakan.
Sekiranya melancong ke luar negara, segala perbelanjaan diperoleh oleh rakyat
dan kerajaan negara asing. Perkara ini akan merugikan diri sendiri serta
negara. Di samping itu, melancong dalam negara dapat menambahkan pengetahuan
dan pengalaman. Dengan mengunjungi tempat-tempat yang belum pernah dilawati,
kita dapat menambahkan pengetahuan dan mengenali secara lebih mendalam dan
lebih dekat dengan khazanah warisan bangsa di tanah air kita.
Tambahan pula, kita dapat mengetahui keunikan budaya
dan tradisi masyarakat serta panorama di negeri-negeri lain di Malaysia. Dengan
aktiviti melancong dalam negara, kita akan mengetahui apa yang ada, yang
kurang, yang perlu ada di tempat berkenan berbanding dengan tempat sendiri,
kemudian menyalurkan idea-idea bernas untuk pembangunan negeri. Kita harus
melancong di negara sendiri demi menghayati warisan khzanah bertaraf dunia yang
masih belum dilawati.
Deduksinya, pelbagai usaha dan kempen perlu diteruskan
dan dipergiatkan untuk menarik lebih banyak pelancong agar melancong ke negara
kita. Rentetan itu, sinergi daripada semua pihak sangat penting bagi memajukan
industri pelancongan di negara kita. Pihak kerajaan, pihak swasta, agensi
pelancongan dan rakyat negara kita perlu berganding bahu bagi meningkatkan
martabat industri pelancongan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu iaitu
hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Sekiranya rakyat dan pelbagai
pihak tidak bekerjasama, sudah tentulah matlamat untuk memajukan ekonomi negara
kita tidak akan tercapai. Oleh itu, kejayaan dalam sektor pelacongan di negara
kita dapat direalisasikan sekiranya semua pihak berusaha memajukan industri
pelancongan kerana pepatah mengatakan, bulat air kerana pembetung, bulat
manusia kerana muafakat.