Karangan PT3- Contoh Karangan Langkah-langkah untuk Memajukan Industri Kraf Tangan di Malaysia
Industri kraf tangan ialah kerja-kerja penghasilan
barangan kraf tradisional. Industri ini merupakan satu industri yang berpetensi
besar untuk membantu meningkatkan tahap kehidupan masyarakat terutama
masyarakat desa. Oleh itu, wujud pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk
memajukan industri ini ke tahap yang lebih baik lagi.
Tindakan yang paling logik untuk memajukan industri
ini adalah dengan membina lebih banyak pusat kraf tangan di negara. Penubuhan
lebih banyak pusat kraf sebegini sudah pasti menjadikan lebih banyak produk
yang boleh dipamerkan dan mudah untuk diperoleh oleh pelancong terutama dari
luar. Dalam masa yang sama pusat ini juga boleh dijadikan sebagai tempat
melatih lebih banyak penggiat industri ini pula.
Kerajaan juga harus menjalankan usaha untuk
meningkatkan produktiviti industri ini. Pengenalan teknologi dan reka bentuk
yang unik sudah pasti mampu meninggikan lagi keluaran industri ini supaya kos
menjadi lebih murah dan harga yang dikenakan kepada pembeli boleh dikurangkan
sehingga ke tahap minima. Produktiviti yang tinggi juga menjadikan industri ini
lebih berdaya saing dan kreatif untuk memastikan produk mereka terus mendapat
tempat dalam hati pelancong.
Kempen kesedaran yang meluas harus dilaksanakan
terutama dalam kalangan generasi muda. Sudah ada remaja yang tidak lagi
mengenali hasil kraf tangan negara kerana mereka tidak menggunakan produk itu
sebaliknya lebih suka menggunakan sesuatu yang bercorak moden atau berteknologi
tinggi. Kempen yang meluas juga mampu mengiklan dan meninggikan imej hasil kraf
tangan pada masa yang sama.
Produk kraf tangan ini juga perlulah menggunakan hasil
semula jadi yang wujud di Malaysia. Usaha mengeksploitasikan sumber semula jadi
negara untuk dijadikan kraf tangan mampu memberikan sentuhan unik terhadap
produk tersebut lalu meninggikan permintaannya pada masyarakat luar. Bukankah
kraf tangan harus menggunakan sumber semula jadi tempatan?
Konklusinya, industri ini bukanlah sesuatu yang boleh
dipandang remeh. Semua negara menghargai hasil kraf tangan mereka dan menjadi
tugas kita untuk memastikan hasil ini terus hidup subur dalam negara ini.
Kegagalan kita mengekalkan kraf tangan seolah-olah menjadi buktik betapa
teruknya pandangan masyarakat terhadap industri kraf tangan sendiri.