Karangan PT3- Contoh Karangan Cara-Cara Yang Boleh Dilakukan Oleh Kerajaan Untuk Mengurangkan Bebanan Rakyat Ekoran Kenaikan Harga Petrol.
Kenaikan harga petrol bermaksud harga barang mentah ini akan dinaikkan lebih kerap apabila harga pasaran dunia melonjak naik. Perkara ini menyebabkan golongan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana akan menderita kerana kos hidup melambung tinggi. Lantaran itu, pihak berkuasa boleh melakukan pelbagai tindakan untuk menjamin kehidupan rakyat lebih selesa.
Tindakan yang boleh dilakukan oleh
kerajaan untuk membantu meringankan beban kehidupan rakyat dalam isu ini ialah
kerajaan menggalakkan rakyat berkongsi kereta. Amalan ini bukan sahaja
mengurangkan kos petrol individu tetapi turut membantu mengekalkan keindahan
alam sekitar daripada tercemar. Ringkasnya, amalan yang mudah seperti berkongsi
kereta akan membantu pengurusan perbelanjaan rakyat menjadi lebih baik lagi.
Selain itu, kerajaan boleh memajukan
sistem pengangkutan awam negara untuk membantu rakyat jelata. Kos tambang
pengangkutan awam terutamanya bas dan lrt begitu murah berbanding kos
menggunakan kenderaan sendiri apabila pergi ke pejabat atau bersiar-siar. Jadi,
semakin maju pengangkutan awam negara semakin banyaklah rakyat yang akan
menggunakannya lalu kos hidup mereka menjadi kurang berbanding menggunakan
kenderaan sendiri.
Tambahan pula, usaha menambah jumlah
produk menjadi barang kawalan dilihat satu kaedah untuk meringankan beban
kehidupan rakyat negara. Semua barang kawalan akan ditetapkan harganya oleh
kerajaan lalu peniaga tidak boleh menaikkannya sesuka hati seperti harga beras,
gula, tepung, susu, dan minyak masak. Akibatnya, rakyat tidak akan dibebankan
dengan alasan harga barang naik ekoran harga petrol yang melambung itu.
Kerajaan juga boleh mengurangkan
cukai pendapatan individu dalam usaha membantu rakyat hidup dengan selesa.
Pengurangan ini membolehkan setiap orang mempunyai wang lebihan yang berguna
untuk disimpan atau membiayai kos lain yang meningkat ekoran harga minyak mahal
tersebut. Sesungguhnya, cukai yang berkurangan akan memberikan satu kelegaan
kepada rakyat dalam mengharungi cabaran harga petrol yang tinggi tersebut.
Kesimpulannya, semua kaedah yang
diberikan tadi berupaya meringankan beban kehidupan rakyat apabila harga petrol
menjadi mahal. Rakyat harus bijak dan menilai sendiri keperluan yang utama
dalam kehidupan jika mereka mahu hidup dengan tenteram ketika masalah minyak
ini berterusan. Peribahasa ukur baju di badan sendiri mengingatkan kita supaya
berbelanja mengikut gaji yang diterima setiap bulan dan bukannya mengikut hawa
nafsu.