Karangan SPM- Contoh Karangan Kepentingan Perpaduan Kaum di Malaysia
Malaysia telah melalui pelbagai pengalaman pahit sebelum berdiri teguh dan kukuh sebagai negara membangun. Pasti pengalaman dijajah oleh negara asing tidak akan diulangi lagi sepertimana yang kita ketahui penjajahan Malaysia dimulai dengan Portugis, Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi selepas itu. Teriakan dan sorakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957 adalah tidak semudah yang disangka untuk dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Bagi memastikan negara tidak dijajajah dan digugat oleh negara asing, perpaduan kaum sangat penting demi menjamin ketenteraman negara ini. Kita tiada seorang pahlawan seperti Rentap yang menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, ataupun Dol Said yang melakukan penentangan terhadap kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau gerakan penentangan Inggeris di Sabah yang gagah diketuai oleh Mat Salleh pada tahun 1884 hingga 1900. Yang kita ada adalah Dato Seri Najib Tun iaitu ketua barisan pemimpin negara yang merangkap sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tanpa kegagahan seperti tokoh zaman dulu-kala, yang perlu hanyalah semangat Malaysia yang bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama seperti kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu, peganglah pepatah ini sebagai prinsip di dalam hidup demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.
Perasaan cinta, sayangkan negara dan perasaan ingin
membebaskan negara daripada sebarang penjajahan adalah satu semangat
nasionalisme. Oleh itu, semangat nasionalisme yang mendalam tanpa mengira
kaum, agama dan warna kulit telah dapat dipupuk menerusi perpaduan kaum.
Berdasarkan senario hari ini, sifat tanggungjawab haruslah wujud dalam kalangan
rakyat Malaysia dengan menerima dengan minda yang terbuka segala adat resam dan
budaya yang diamalkan oleh agama masing-masing agar penindasan yang berlaku di
Afrika, Indonesia dan Thailand dapat dibendung. Budaya melentur buluh biarlah
dari rebungnya hendaklah dipraktikkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi
dalam membentuk dan menanam semangat perpaduan. Sebagai contoh di sekolah, lagu
kebangsaan dinyanyikan dan Rukun Negara dihayati sebagai ikrar untuk
mendisiplinkan diri. Maka dengan demikian, mereka akan menyedari akan
kepentingan bersatu padu saling hormat-menghormati. Oleh itu, kita hendaklah
bersama-sama berganding bahu dan berganding tenaga dalam membajai dan menyemai
semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih
bersekolah.
Selain itu, pelancong juga akan tertarik untuk melawat
negara kita dengan semangat perpaduan yang ditonjolkan oleh rakyat Malaysia.
Para pelancong akan lebih tertarik untuk mempelajari budaya dan adat resam
rakyat Malaysia disebabkan keunikan masyarakat kita yang berbilang kaum yang
hidup dalam suasana harmoni. Hal ini demikian kerana, pelancong berasa lebih
selesa dan selamat berada di negara ini walaupun suatu ketika dahulu Malaysia
turut tergugat dengan muncul dan tersebarnya wabak virus influenza H1N1 yang
menjadi topik hangat di seluruh dunia, namun industi pelancongan tetap
berkembang maju saban tahun kerana wujudnya perpaduan yang kukuh. Timbalan
Menteri Pelancongan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dengan adanya sifat perpaduan
dan layanan baik mesra yang diberikan oleh rakyat negara ini kepada pelancong
asing, peratusan peningkatan industri pelancongan akan terus berlaku meskipun
agak berkurangan dengan wujudnya wabak penularan H1N1. Tidak disangkal lagi
bahawa, rakyat Malaysia dapat bergaul mesra antara satu sama lain yang boleh
terdiri daripada berbilang kaum dan juga agama. Sebagai contoh, di sekolah
rendah dan juga menengah, para pelajar dapat menikmati infrasruktur yang
disediakan dan dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa
ada mengatakan muafakat membawa berkat. Jadi, jelas sekali di sini perpaduan
kaum bukan sahaja dapat menyemai dan menanam sifat patriotisme di dalam diri
malahan dapat dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk bertandang ke
Malaysia.
Negara ini sebenarnya turut tidak terlepas daripada
isu pergaduhan, pertelingkahan dan penindasan yang pernah berlaku kepada rakyat
Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di Malaysia. Pastinya rusuhan
kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah tertanam dalam ingatan dan minda
masing-masing. Pada masa itu, semua barisan pemimpin dan rakyat telah berhempas
pulas untuk mengatasi dan menamatkan masalah penindasan tersebut. Lantasan itu,
konsep perpaduan kaum hendaklah diamalkan manakala sikap seperti enau dalam
belukar melepaskan pucuk masing-masing hendaklah dielakkan bagi menjamin
perpaduan kaum di seluruh Malaysia. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat
mengekalkan keharmonian negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang
mempunyai semangat perpaduan yang tinggi dapat hidup dalam keadaan selesa dan
hormat menghormati antara berlainan kaum sejajar dengan penggubalan dasar luar
Malaysia selepas Perang Dunia Kedua, hal ini sekaligus membawa kepada keamanan
setempat. Peribahasa Melayu ada mengatakan bersatu kita teguh, bercerai kita
roboh. Pepatah ini dapat direalisasikan melalui kerjasama yang tidak berbelah
bahagi dan erat antara semua kaum dan agama. Sebagai contoh, kaum India
menghormati dan bersifat terbuka dengan budaya yang diamalkan oleh kaum Melayu
dan Cina. Memang tidak dapat dinafikan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil
yang melibatkan rakyat di negara ini meskipun Malaysia sudah mengamal dan
mempraktikkan konsep perpaduan. Contoh yang boleh dilihat adalah seperti
demonstrasi jalanan yang mempunyai hubung kait dengan Akta ISA. Maka jelaslah,
kunci kepada kesejahteraan dan keharmonian yang dinikmati oleh rakyat bukan
hanya bergantung kepada konsep perpaduan sahaja tetapi turut melibatkan
pembukaan minda dan fikiran yang terbentang luas mengenai penerimaan adat
resam, budaya dan nilai-nilai positif haruslah diisi di dalam diri
masing-masing agar tidak berlaku sebarang permusuhan.
Pada zaman yang kian maju ini, pendidikan menjadi
tunjang kepada perpaduan dan nasionalisme negara. Dalam pembinaan dan
pembentukan warganegara yang bersatu padu, sekolah dan pendidikan sebenarnya
memainkan peranan dan watak penting dalam hal ini. Sememangnya di dalam
kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dicatatkan bahawa “Pendidikan di
Malaysia adalah satu usaha atau inisiatif berterusan ke arah untuk
memperkembangkan dan menyerlahkan lagi potensi setiap individu supaya
sentiasa bersatu padu dengan mewujudkan individu yang harmonis dan mendapat keseimbangan
dari segi intelek, emosi, rohani dan juga jasmani dengan percaya dan patuh
kepada Tuhan. Usaha yang dilakukan ini untuk melahirkan rakyat Malaysia yang
luas ilmu pengetahuan, berbudi pekerti , bertanggungjawab dan berkemampuan
untuk memberi sumbangan terhadap kemakmuran dan keharmonian setempat dan juga
negara tercinta. Secara tidak langsung, satu masyarakat Malaysia yang bersatu
padu dan berintegrasi dapat dilahirkan selari dengan hasrat yang terkandung di
dalam Rukun Negara. Izharlah bahawa perpaduan kaum amat penting dalam
melahirkan masyarakat Malaysia yang sentiasa mementingkan semangat bersatu padu
dalam memenuhi hasrat dan impian Kerajaan menerusi konsep slogan 1Malaysia.
Kurikulum yang dibina untuk para pelajar bukan sahaja
menjadi platform untuk untuk menimba ilmu pengetahuan dan informasi berbentuk
ilmiah dan akademik, bahkan semangat perpaduan juga boleh dipupuk. Kurikulum
ini telah mula dilaksanakan mulai tahun 1983 yang meliputi Kurikulum Bersepadu
Sekolah rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Pegangan agama
dapat dikukuhkan, sifat-sifat terpuji seperti bantu-membantu dapat ditanam di
dalam diri individu tingkah laku penuh sopan santun dapat dibentuk apabila
pendidikan mata pelajaran Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Islam,
Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral mula diperkenalkan di
sekolah-sekolah. Mahukah kita melihat rakyat Malaysia bersikap seperti kacang
hantu? Yang bersikap kacang hantu secara tidak langsung akan mencemarkan nama
baik negara sekaligus merosakkan imej Malaysia. Janganlah kita semua memandang
remeh terhadap peranan dan fungsi pendidikan dalam mewujudkan
semangat perpaduan kerana sesungguhnya pendidikan itu peranannya sangat besar
sebagai benteng utama insan daripada dihancurkan oleh musuh-musuh negara yang
berhasrat untuk memecah belahkan unsur perpaduan kaum di negara kita. Sudah
tentu kita tidak mahu perkara ini berlaku kepada kita dan generasi pada masa
akan datang. Fikirkanlah, hanya dengan pendidikan sahaja, keutuhan dan
keteguhan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dijamin. Intihanya,
dalam pemupukan semangat perpaduan, sistem pendidikan memainkan peranan penting
agar negara terpelihara daripada muslihat dan tipu helah pihak musuh.
Sehubungan dengan itu, imej negara dapat ditingkatkan
dengan semangat perpaduan hasil daripada kerjasama seluruh rakyat Malaysia yang
terdiri daripada berbilang kaum dan agama tanpa timbulnya sebarang masalah.
Sebagai contoh, ketika musim perayaan terutamanya, amalan ziarah-menziarahi dan
bermaaf-maafan adalah antara amalan kebiasaan rakyat Malaysia. Bertitik tolak
daripada ini, sedikit sebanyak sikap perpaduan dapat diwujudkan. Marilah kita
berdaya saing dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan
Hong Kong dari segi ekonomi yang kian meningkat naik dengan drastiknya dan
semangat perpaduan yang wujud di negara itu. Mengapa semua rakyat Malaysia
masih bersikap acuh tidak acuh dan memekakkan telinga masing-masing dalam
menyahut seruan kerajaan untuk memajukan negara agar imej dan nama Malaysia gah
di mata dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi setiap isu yang diberikan
walaupun mungkin jawapannya berbeza-beza. Konklusinya, peningkatan imej negara
dapat dilakukan jika kerjasama wujud dalam diri seluruh rakyat negara ini
sperti aur dengan tebing dalam menjalankan dan menjayakan inisiatif kerajaan
yang berhempas pulas untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektik dan
efisyen dan seterusnya meletakkan imej Malaysia seantero dengan negara maju dan
membangun yang lain.
Jika kita semua berganding bahu menggunakan konsep
pepatah ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, dengan izin Tuhan
perkara ini dapat dijayakan dengan cemerlang dan direalisasikan lebih awal
daripada sangkaan kita. Dalam mewujudkan perpaduan kaum rakyat Maaysia, konsep
1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita sememangnya sangat
berbaloi. Sudah terang lagikan bersuluh, terdapat banyak manfaat dan
kepentingan kepada masyarakat dan negara dalam usaha pemupukan perpaduan kaum.
Jangkaan pada masa hadapan sudah tentu tidak dapat kita ramal kerana semua itu
terletak pada kekuasaan Tuhan Yang Esa. Oleh itu, dalam berhadapan dengan masa
hadapan yang menjanjikan pelbagai cabaran di luar jangkauan kita, kita mestilah
menyediakan payung sebelum hujan supaya kita tidak ditimpa malang yang tidak
diduga seperti kata pepatah sudah terhantuk baru nak terngadah. Elemen bertolak
ansur sepatutnya dipraktikkan supaya impian untuk mempunyai masa depan yang
gemilang dan terbilang dapat dibina. Intihanya, semangat perpaduan di negara
kita hendaklah dipertahankan oleh semua rakyat demi negara yang tercinta dan
dapat menyambut objektif negara impian.