Karangan PT3- Contoh Karangan Punca Pencemaran Sungai
Alam semesta dan sekitar yang terbentang luas dan terpampang luas ini merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya dan kita sebagai makhluk yang hidup di muka bumi ini diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk menjaganya dengan sebaik mungkin. Alam ini hendaklah dijaga dengan penuh rasa tanggungjawab supaya dilindungi daripada pencemaran yang tidak diingini. Namun, dek kerana terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia, kini manusia semakin lupa dan leka akan tanggungjawab mereka untuk menjaga alam sekitar. Tanpa memikirkan langsung kesan buruk terhadap alam sekitar, manusia kini lebih sibuk dan rakus mengeksploitasi alam sekitar untuk kepentingan setiap individu yang tamak haloba. Antara yang terjejas teruk akibat perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab ini adalah sungai. Oleh yang demikian, punca-punca yang menyebabkan terjadinya pencemaran ini perlulah dikenal pasti dan ditangani segera atau mahukah kita menunggu sehingga keadaan sungai kita menjadi sungguh teruk kemudian barulah kita akan mengambil tindakan bak kata pepatah Melayu ada mengatakan sudah terhantuk baru terngadah?
Pembuangan sampah sarap ke dalam sungai adalah antara
punca pencemaran sungai. Ia akan mendatangkan kesan yang sangat buruk kepada
sungai apabila semua sisa buangan domestik dan sampah sarap dibuang ke
dalamnya. Hal ini akan menyebabkan sungai akan dipenuhi bahan-bahan terbuang
dan plastik sampah yang terapung pada permukaan air sungai. Selain itu, warna
air sungai akan betukar kepada kehijau-hijauan dan kehitam-hitaman daripada
warna asalnya iaitu jernih. Sebagai contoh yang dapat dilihat, di negara kita
sendiri, kelihatan sisa-sisa sampah yang terampai di permukaan sungai dan warna
airnya yang keruh pada sungai-sungai di kawasan bandar mahupun di kawasan kampung
sendiri. Natijahnya, sumber air manusia akan tercemar dan hidupan akuatik akan
musnah serta menyebabkan bau yang busuk yang kurang menyenangkan. Oleh itu,
pembuangan sisa sampah ke dalam sungai boleh mengakibatkan pencemaran sungai.
Tambahan pula, pencemaran sungai juga boleh berlaku
akibat daripada pembuangan sisa-sisa daripada kilang. Lazimnya, ini berlaku
kerana berikutan daripada perbuatan pihak-pihak atau individu yang tidak
bertanggungjawab yang hanya memikirkan periuk nasi sendiri tanpa memikirkan
kesan kepada sungai-sungai di Malaysia. Kebiasaannya, sisa-sisa daripada kilang
yang dibina berhampiran tepi sungai akan dialirkan terus ke dalam sungai untuk
melupuskan sisa buangan dengan cara yang lebih mudah. Penjimatan kos bagi
pelupusan sisa tersebut dapat dilakukan apabila sisa ini mengalir ke sungai.
Sikap pengusaha kilang yang terbabit dapat diibaratkan seperti enau dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kesan buruknya, bahan-bahan kimia dan
sisa-sisa toksik akan mencemarkan sungai dan sekaligus akan merendahkan kualiti
air dan hidupan-hidupan akuatik sudah tidak sesuai untuk mendiami sungai itu.
Dengan ini, impak buruk yang berlaku kepada sungai sekarang adalah antaranya
kerana pengaliran sisa kilang.
Di samping itu, kegiatan pembalakan juga antara punca
pencemaran sungai. Kegiatan pembalakan adalah merupakan kegiatan penebangan
pokok-pokok yang bertujuan untuk industri pembuatan dan pembangunan. Pencemaran
sungai akan berlaku susulan daripada kelonggaran ikatan zarah tanah disebabkan
matinya akar yang mengikat struktur tanah tersebut akibat daripada aktiviti
penebangan. Oleh yang demikian, hakisan tanah akan berlaku dengan lebih mudah
dan menyebabkan tanah tersebut akan mencemari sungai tersebut. Selain itu,
pembuangan kayu-kayu dan ranting-ranting pokok juga akan menyebabkan aliran
sungai-sungai tersekat. Natijah yang paling ketara adalah berlakunya bencana
alam seperti banjir kilat dan wabak penyakit seperti denggi, chikugunya dan
lain-lain lagi akan berlaku. Kualiti air bagi tujuan domestik akan semakin
berkurang berikutan pemendapan tanah yang banyak di dalam air sungai. Oleh itu,
kegiatan pembalakan dan penebangan yang berleluasa ini tidak dapat dinafikan
memberikan kesan buruk kepada sungai-sungai.
Kesimpulannya, ketelitian yang lebih mendalam
hendaklah dilakukan terhadap punca-punca yang menyebabkan pencemaran sungai
supaya usaha-usaha mengatasi dan menangani masalah pencemaran sungai ini dapat
dijalankan dengan lebih efektif. Langkah yang proaktif seharusnya diambil oleh
pihak kerjaan dengan menganjurkan lebih banyak kempen kesedaran tentang
kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai. Malah denda yang lebih tinggi
boleh dikenakan oleh pihak yang berwajib kepada pihak-pihak yang melakukan
aktiviti pencemaran sungai serta pemantauan terhadap kuliti air sungai di
negara kita hendaklah kerap dilakukan seperti pepatah Melayu ada mengatakan mencegah
lebih baik daripada mengubati. Dengan ini sangat diharapkan agar pencemaran
sungai dapat ditangani dengan kadar segera supaya generasi pada masa hadapan
dapat merasai dan menikmati alam sekitar yang diwarisi daripada kita tanpa
sebarang pencemaran seperti bijak pandai ada berkata alam bukan diwarisi
daripada nenek moyang tetapi dipinjam daripada generasi akan datang.