Karangan SPM- Contoh Karangan Kepentingan Menjaga Kesihatan Dan Kebersihan Diri
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai masalah kesihatan dan penyakit berjangkit yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat domestik dan antarabangsa. Polemik ini boleh dikurangkan dengan mengamalkan dua perkara asas iaitu menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Amalan ini mungkin dipandang remeh oleh sesetengah orang tetapi ia merupakan kunci utama dalam memastikan kelansungan hidup seseorang pada ketika ini. Kita sering kali digalakkan untuk bersenam, bersukan, membasuh tangan dan bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar. Oleh itu, wajar untuk kita mengetahui apakah kepentingan mengamalkan aktiviti tersebut demi menjaga kesihatan dan kebersihan diri.
Salah satu kepentingan memastikan kesihatan dan
kebersihan diri berada pada tahap yang tinggi kerana ia dapat meningkatkan
produktiviti kehidupan seseorang. Apabila kita dikurniakan kesihatan yang baik,
kita mampu melakukan kerja-kerja yang secara langsung dan tidak langsung
membantu setiap makhluk dimuka bumi ini. Pelajar sekolah dapat memberikan fokus
pada pelajaran mereka dan pekerja professional boleh menjadi lebih kreatif dan
inovatif dalam melaksanakan tugas masing-masing. Setiap pekerjaan berfungsi
dengan baik seperti mana kitaran ekologi yang berlaku dengan semula jadi.
Justeru, kesihatan dan kebersihan diri yang baik dapat menjamin kemajuan dalam
setiap perkara untuk dikecapi.
Di samping itu, menghindari penyakit berjangkit dan
masalah kesihatan juga merupakan kepentingan dalam menjaga kesihatan dan
kebersihan diri. Tamsilnya, apabila seseorang itu aktif bersukan, kekuatan
sistem kardiovaskular individu tersebut akan bertambah kuat dan dapat
menghindar daripada serangan jantung. Selain itu, amalan membasuh tangan
menggunakan sabun selama 20 saat juga adalah penting agar kita tidak membawa
bakteria atau virus yang mungkin dibawa oleh kita tanpa disedari. Amalan
gotong-royong membersihkan kawasan sekitar juga dapat membantu mencegah
pembiakan nyamuk aedes dan sisa lain yang mampu menjadi punca kepada
penyakit-penyakit berjangkit. Kesannya, masyarakat dapat hidup dengan sejahtera
tanpa merisaukan maslah kesihatan atau penyakit berjangkit.
Pada waktu yang sama, amalan menjaga kesihatan dan
kebersihan diri adalah penting bagi memupuk sikap disiplin dalam setiap
individu. Hal ini demikian kerana, apabila individu tersebut ingin melaksanakan
aktiviti seperti bersukan, mereka perlu mematuhi peraturan dan etika dalam
aktiviti tersebut. Sebagai contoh, sukan olahraga dimana atlet perlu mengikuti
jadual latihan dan konsisten untuk menjaga kekuatan fizikal dan mental sebelum
menyertai kejohanan tertentu. Selain itu, dari sudut kebersihan, amalan memberus
gigi di waktu pagi telah pun menjadi rutin harian semua manusia. Secara tidak
langsung, perkara di atas telah membuatkan kita untuk lebih berdisiplin
berbanding dahulu hasil daripada usaha untuk menjaga kesihatan dan kebersihan
diri.
Seterusnya, penjagaan kesihatan dan kebersihan diri
penting kerana ia dapat menonjolkan imej dan perwatakan yang menarik seseorang
individu. Jika anda perlu menemuduga calon pekerja anda, apakah kriteria yang
anda utamakan terlebih dahulu? Sudah semestinya calon yang mempunyai perwatakan
menarik beserta pakaian yang rapi dan imej yang kemas. Mutakhir ini, pelbagai
produk kesihatan yang boleh membantu kita untuk mendapatkan imej yang menarik
di samping baik untuk kesihatan. Contohnya, penggunaan gel rambut dapat
membantu golongan lelaki merapikan rambut mereka dengan kemas agar ia kelihatan
elok di mata setiap orang yang memerhati. Natijahnya, apabila imej dan
perwatakan yang menarik hasill daripada penjagaan kesihatan dan kebersihan
diri, ia akan memudahkan kita untuk bergaul dengan orang ramai serta diterima
oleh masyarakat.
Intihannya, menjaga kesihatan dan kebersihan diri
adalah penting seperti yang telah dihuraikan di atas. Setiap pihak mempunyai
peranan dalam memastikan kesihatan dan kebersihan diri, keluarga dan masyarakat
berada pada tahap yang baik. Hasil usaha ini dapat menjadikan masyarakat kita
sentiasa dihormati dan disanjung tinggi. Oleh itu, amalan menjaga kesihatan dan
kebersihan perlu disemai dan dipupuk kepada setiap generasi agar ia menjadi
budaya contoh manusia sejagat. Sejajar dengan kata-kata hikmat,” Negara bersih,
rakyat sihat; Badan sihat, otak cergas”.