Karangan SPM- Contoh Karangan Kesan-Kesan Buruk Pengambilan Makanan Segera Kepada Kesihatan Seseorang
Dalam meniti kehidupan pada marcapada, pelbagai urusan yang harus dilaksanakan serta memakan masa individu tersebut sehinggakan lumrah manusia seperti makan dan minum semakin sukar. Kesibukan mengejar matlamat atau cita-cita hidup membuatkan kita alpa untuk mengambil serius dalam pemakanan kita dengan mengambil makanan segera sebagai rutin demi menjimatkan masa. Makanan segera seperti burger dan mee segera adalah makanan yang telah diproses dan mengandungi pelbagai bahan kimia yang mampu memudahkan pemakanan dan menambah tempoh luput makanan tersebut. Kandungan dalam makanan tersebut yang menjadi punca utama keburukan mengambil makanan segera secara kerap.
Kesan paling buruk dalam pengambilan makanan segera
adalah menyebabkan seseorang itu mengalami penyakit-penyakit kronik. Antara
penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan makanan segera adalah
penyakit darah tinggi dan kencing manis. Kandungan kolesterol dan kadar gula
yang amat tinggi pada makanan segera akan mengganggu fungsi badan kita bagi
merembes bahan-bahan yang tidak diperlukan dalam badan. Sekiranya amalan gaya
hidup yang sihat dan pemakanan yang seimbang tidak dipraktikkan oleh semua
golongan di Malaysia, kadar kesihatan akan menjunam dan akan merosakkan imej
negara kita. Persis kata peribahasa Melayu, sesal dulu pendapatan, sesal
kemudian tiada guna yang bermaksud fikirlah tindakan kita hari ini sebelum
mendapat akibatnya kelak.
Selain itu, kekerapan pengambilan makanan segera akan
menyumbang kepada masalah obesiti. Terdapat fakta yang menunjukkan bahawa
Malaysia merupakan negara pertama dalam kedudukan rakyat yang mempunyai masalah
kegemukan. Faktor harga yang murah dan akses yang mudah bagi mendapatkan
makanan segera menjadi punca rakyat di negara ini suka membeli makanan segera
berbanding memasak makanan yang lebih berkhasiat. Lambakan snek-snek makanan
ringan yang tidak berkhasiat juga menjadi punca kepada masalah obesiti ini di
mana konsumer utama terdiri daripada kanak-kanak yang lebih gemar kepada
makanan segera. Hal ini perlu diberi perhatian oleh pihak Kementerian Kesihatan
supaya dapat mencari jalan mengurangkan masalh obesiti disamping meningkatkan
kesedaran rakyat terhadap keburukan makanan segera.
Terdapat juga kajian yang menunjukkan pengambilan
makanan segara akan membantut pertumbuhan kanak-kanak. Kanak-kanak seharusnya
memakan makanan yang mengandungi zat dan khasiat yang cukup bagi mencapai
pertumbuhan diri yang ideal. Kenakan yang berbeza berbanding sayur-sayuran dan
makanan berkhasiat yang lain membuatkan kanak-kanak lebih gemar untuk makan
makanan segera yang menepati cita rasa mereka. Kelalaian ibu bapa yang kerap
membawa mereka ke restoran makanan segera akan menjadi tabiat yang buruk untuk
di amalkan. Ibu bapa sepatutnya bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka
memakan makanan yang berkhasiat agar mendapat faedah dikemudian hari.
Pertumbuhan yang ideal generasi muda perlu menjadi agenda utama dalam
melahirkan genarasi pemimpin masa hadapan negara yang kompetitif dan
berwawasan.
Pengambilan makanan segara juga akan mengakibatkan kesan
buruk seperti mengurangkan daya produktiviti seseorang. Sebagai contoh,
golongan pelajar universiti yang kerap memakan mee segera untuk menjimatkan
perbelanjaan harian akan menghadapi kemelesetan dalam aktiviti harian dek
kerana kekurangan tenaga dan khasiat. Golongan pelajar seharusnya memberikan
keutamaan pada diri mereka supaya berketrampilan baik dan meyakinkan justeru
pemakanan yang seimbang dan sihat dapat menjamin daya keberkesanan pelajar di
dalam kelas. Tambahan pula, aplikasi penghantaran makanan yang semakin
berkembang hari ini juga menjadikan rakyat kita semakin malas jika dilihat pada
sudut yang negatif. Intihannya, kemudahan teknologi dan kegawatan ekonomi
hendaklah dihadapi dengan bijak agar mendapat manfaat yang positif lagi
menguntungkan.
Konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawasanya
pengambilan makanan segera akan memberikan pelbagai kesan buruk kepada semua
golongan tidak kira individu atau masyarakat. Benarlah seperti telahan
orang tua-tua, jangan ambil senang jika tidak mahu susah. Inilah musibah
apabila masyarakat terlalu memilih jalan mudah termasuk dalam hal makan minum.
Prakarsa yang efektif perlu di atur oleh pelbagai pihak terutamanya kerajaan
dalam memastikan rakyat mempunyai kesedaran akan keburukan pengambilan makanan
segera serta kesannya terhadap diri dan negara. Marilah kita bersama-sama
mengorak langkah dalam melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera sekaligus
memacu negara ke arah kecemerlangan sejagat.