Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Karangan Kelebihan Belajar Secara Kumpulan

Karangan UPSR- Contoh Karangan Kelebihan Belajar Secara Kumpulan

 

Pada era teknologi maklumat ini, pelbagai agenda dapat kita lakukan untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu. Selain menumpukan perhatian di dalam kelas, sentiasa bertanya, mengulang kaji pelajaran, melayari Internet, dan menghadiri kelas ekstra, aktiviti belajar secara berkumpulan juga merupakan antara kaedah terbaik untuk memaksimumkan cakupan ilmu.

 

Belajar secara kumpulan memberikan suasana belajar yang ceria, santai dan menyeronokkan. Kita dapat belajar atau membuat ulang kaji tanpa sebarang tekanan kerana rakan-rakan yang kita pilih itu merupakan mereka yang memahami cita rasa anggota kumpulan, jadi mudahlah bagi kita untuk mengulas dan mengupas sesuatu kemusykilan.

 

Diskusi dalam kumpulan juga lebih terbuka sifatnya. Anggota kumpulan akan berinteraksi tanpa rasa segan silu kerana berpegang pada konsep “malu berkayuh, perahu hanyut”. Semasa berbincang, mereka berpeluang untuk bersoal jawab, bertukar-tukar nota, mengulas pendapat dan pandangan kawan-kawan, berhujah, dan seterusnya mengenal pasti kaedah atau Teknik yang sesuai untuk menjawab soalan tertentu.

 

Belajar secara kumpulan juga membolehkan anggota kumpulan mengasah minda, mengukuhkan ingatan, dan mempertajam kemahiran yang diperoleh melalui perbincangan. Mereka yang belajar secara kumpulan jauh terbukti lebih “tajam akal” daripada mereka yang belajar secara sendirian. Perbezaan antara kedua-dua personel ini “umpama bumi dengan langit”.

 

Amalan belajar secara kumpulan juga dapat memupuk semangat kerjasama dan toleransi yang akan memborong kejayaan berganda kerana “muafakat membawa berkat”. Sebarang tugasan juga dapat disempurnakan dengan kadar segera dengan adanya perbincangan dua hala. Sebagai contohnya, karangan yang lebih mantap akan terhasil dengan adanya bantuan perkongsian maklumat dan percambahan idea yang lebih relevan daripada anggota kumpulan.

 

Sebagai kesimpulannya, belajar secara kumpulan ialah suatu inisiatif yang bijak untuk menjaring kecemerlangan dalam pelajaran. Sebagai bakal “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”, lengkapkanlah diri dengan memanfaatkan amalan belajar secara kumpulan untuk menyumbangkan khidmat bakti kepada negara nanti.

 

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA

Munsyi Dewan DBP