Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Karangan Faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum

Karangan UPSR- Contoh Karangan Faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum

 

Tidak dapat kita nafikan bahawa penyertaan dalam kegiatan kokurikulum menawarkan faedah yang banyak. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menetapkan bahawa semua murid perlu dididik secara seimbang dan harmonis dalam aspek jasmani, rohani, emosi, dan intelek. Bagi merealisasikan hasrat ini, komponen dalam pendidikan nasional telah memberikan penekanan dalam dua aspek yang utama, iaitu kurikulum dan kokurikulum.

 

Aspek kurikulum bermatlamat membangunkan ummah yang berminda kelas pertama manakala bidang kokurikulum pula berfungsi sebagai pelengkap kepada keterampilan fizikal, emosi dan sahsiah murid.

 

Kokurikulum ialah aktiviti luar darjah yang amat bermanfaat dan begitu berkesan untuk membentuk murid yang kreatif, progresif, dinamis, berdaya saing, dan berwawasan. Aktiviti yang merangkumi persatuan, unit uniform serta sukan dan permainan ini diadakan selama dua jam seminggu.

 

Aktiviti kokurikulum menekankan amalan bekerja secara berpasukan. Hasilnya, setiap agenda yang diusahakan akan menjimatkan masa, tenaga dan material, persis kata mutiara, “muafakat membawa berkat”.

 

Ditinjau daripada aspek pembentukan sahsiah, selain membolehkan murid memartabatkan ilmu dan mendominasikan kemahiran mekanikal, keaktifan dalam kegiatan kokurikulum juga akan melahirkan individu yang tegas, beretika dan cekal dalam menangani kemelut kehidupan seharian.

 

Pelibatan dalam aktiviti ini juga membolehkan masa kita terisi dengan tugasan yang memanfaatkan, lantas menghindarkan kita daripada melakukan sebarang aktiviti negatif yang merugikan diri sendiri.

 

Pada masa yang sama, kegiatan kokurikulum juga berpaksikan semangat berdikari dan jati diri, yang memungkinkan seseorang murid bertindak secara sendirian.

 

Selain menjana idea dan kemahiran kreatif, pelibatan dalam aktiviti kokurikulum sesunguhnya akan membentuk keterampilan personaliti dan sahsiah diri setiap murid bagi mengharungi pelbagai aral terkedepan. Senario ini persis peribahasa Melayu, yakni “ada padi, semua kerja jadi”.

 

Dasar Sukan Negara yang menekankan slogan “Majulah Sukan untuk Negara” mewajibkan semua murid menyertai aktiviti kokurikulum kerana kegiatan ini akan membentuk individu yang berakhlak mulia, berjati diri, menepati masa, saling membantu, bertanggungjawab dan amanah dalam melakukan sesuatu tugasan. Aktiviti kokurikulum sewajarnya diperluas skopnya bagi memberikan faedah yang maksimum kepada murid-murid.

 

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA

Munsyi Dewan DBP