Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Karangan Kesan Perang Dunia Pertama

Contoh Karangan Kesan-kesan Perang Dunia Pertama (1914-1918)


Kesan-kesan Perang Dunia Pertama


Pengenalan

Perang Dunia Pertama berlangsung antara tahun 1914-1918 dan hanya berlaku dalam kalangan negara-negara Eropah sahaja. Negara-negara Eropah yang terlibat dalam peperangan ini ialah Jerman, Britain, Rusia, Perancis, Austria-Hungary, Serbia, Itali, Belgium dan Turki. Negara-negara di Asia dan Afrika turut dilibatkan apabila wilayah di kedua-dua benua tersebut menjadi rebutan negara-negara Eropah untuk dijadikan tanah jajahan. Perang Dunia Pertama melibat dua pihak iaitu Triple Alliance (Perikatan Tiga Kuasa) dan Triple Entente (Pakatan Tiga Kuasa). Akhirnya, Triple Entente yang dipimpin oleh Rusia berjaya menewaskan Triple Alliance yang diketuai oleh Jerman.


A- Kesan Politik

 

(Rusia)

 

(1) Menamatkan Sistem Pemerintahan Beraja

 

Perang Dunia Pertama telah menamatkan pemerintahan beraja di Rusia di bawah kerajaan Tsar yang pernah memerintah Rusia selama 400 tahun. Perang Dunia Pertama telah menguji kemampuan kerajaan menghadapi keadaan semasa. Kekalahan demi kekalahan yang dihadapi oleh Rusia khususnya pertempuran dengan Jerman menyerlahkan kelemahan kerajaan Tsar. Kekalahan teruk tentera Rusia di medan perang menyebabkan kesetiaan sebahagian tentera berbelah bagi.

 

 

(2) Kerajaan Hilang Imej dan Sokongan

 

Selain imej kerajaan beraja jatuh kepada golongan tentera dan kelas menengah, kerajaan juga kehilangan sokongan daripada golongan petani dan pekerja kerana tidak membela nasib mereka dalam suasana ekonomi yang muram kesan daripada Perang Dunia Pertama.

 

 

(3) Pejuang Revolusi Berpecah

 

Pejuang-pejuang Revolusi yang terdiri daripada kelas menengah, pekerja dan petani telah berpecah ekoran daripada perbezaan kepentingan. Vladimir Lenin telah mengambil kesempatan untuk mendapatkan sokongan pekerja dan petani serta menyokong rampasan tanah yang dilakukan oleh golongan petani.

 

 

(4) Kerajaan Komunis Terbentuk

 

Dengan sokongan daripada pekerja, petani, tentera dan komunis yang berdisiplin, Lenin berjaya menggulingkan pemerintahan dan membentuk sebuah kerajaan komunis yang pertama di dunia.

 

 

(5) Rusia Kehilangan Wilayah

 

Bagi menamatkan perang dengan Jerman dan Austria, Lenin telah menandatangani Perjanjian Brest-Litovsk pada 3 Mac 1918. Melalui perjanjian tersebut, Rusia telah kehilangan ¼ wilayahnya di Eropah yang diserahkan kepada Jerman dan ¾ sumber arang batu dan besi. Kejayaan tersebut turut dibantu oleh peranan ejen perisikan Jerman.

 

 

(6) Wujud Golongan Kapitalis

 

Pada tahun 1905, ekonomi Rusia mula berkembang tetapi perlahan berbanding dengan negara-negara Eropah Barat. Wujud sebilangan kecil golongan kapitalis yang menyediakan modal bagi melibatkan diri dalam perniagaan.

 

(7) Kemunculan Golongan Pekerja Industri

 

Golongan tersebut membiayai dan menguruskan pembinaan kilang dan jalan kereta api. Situasi ini membawa kepada kemunculan golongan pekerja industri yang miskin dan persekitaran kerja yang kurang memuaskan. Jumlah pekerja industri kecil iaitu kira-kira 10% daripada penduduk Rusia pada tahun 1917.

 

 

(8) Penubuhan Parti Buruh Demokratik Sosial

 

Perkembangan dalam bidang ekonomi turut membawa kesan dalam bidang politik. Parti-parti politik ditubuhkan seperti Parti Buruh Demokratik Sosial oleh golongan pekerja yang kemudiannya dikenali sebagai Parti Komunis. Oleh kerana perselisihan pendapat, maka parti ini berpecah kepada dua iaitu Mensheviks yang dipimpin oleh Julius Martov dan Bolsheviks yang dipimpin oleh Lenin

 

 

(9) Berlaku Demonstrasi / Rusuhan

 

Demonstrasi diadakan di beberapa bandar yang disertai oleh golongan pekerja, petani dan pemimpin parti-parti politik yang akhirnya membawa kepada rusuhan ekoran polis kerajaan Tsar melakukan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

 

 

(10) Gerakan “ Tanah, Roti dan Keamanan ”

 

Dengan bantuan Jerman, Lenin kembali ke Rusia. Lenin dan Bolsheviks meminta “tanah, roti dan keamanan”. Tanah untuk diberikan kepada golongan petani  miskin manakala roti untuk diberikan kepada pekarja yang kelaparan. Keamanan pula bermaksud untuk menamatkan penglibatan Rusia dalam Perang Dunia Pertama. Bolsheviks berhasrat untuk menubuhkan kerajaan, khususnya untuk membela nasib pekerja dan petani. Demonstrasi terbesar berlaku di ibu negara iaitu di Petrograd, kini dikenali sebagai St.Petersburg. Walaupun Tsar telah melakukan sedikit pembaharuan politik dengan  menubuhkan Duma (Parlimen), namun Duma mempunyai kuasa yang terhad.

 

 

(Jerman dan Austria Hungary)

 

 

(1) Keresahan Rakyat Bawahan

 

Perang Dunia Pertama yang berterusan menimbulkan keresahan dalam kalangan golongan bawahan seperti petani, pekerja dan tentera.

 

(2) Tentangan Golongan Ahli Politik

 

Penentangan terhadap peperangan juga timbul dalam kalangan ahli-ahli politik walaupun sebelum ini mereka menyokong penglibatan kerajaan dalam Perang Dunia Pertama.

 

(3) Kaiser Wilhem II Turun Takhta

 

Dalam keadaan ekonomi dan sosial yang terumbang-ambing di samping keadaan perang yang tidak menentu, Kaiser Wilhem II bersetuju untuk turun takhta dan mendapat suaka politik di Belanda.

 

(4) Kerajaan Republik Terbentuk

 

Parti Sosialis Demokrat pimpinan Friedrich Ebert telah membentuk sebuah kerajaan republik yang dikenali sebagai Republik Weimer yang menggunakan khidmat golongan tentera dan pentadbir lama untuk mengendalikan urusan negara sehinggalah Adolf Hitler berkuasa pada tahun 1933 apabila semua pihak terpaksa mengikut semua kemahuannya dalam usaha menguasai Eropah.

 

(5) Dinasti Habsburg Tamat

 

Kerajaan Austria-Hungary turut mengalami kemusnahan apabila Dinasti Habsburg ditamatkan. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pemberontakan yang dicetuskan oleh bangsa-bangsa yang pernah dikuasainya seperti Czech, Pole, Slovak, Finn dan Liithuania. Kejayaan pemberontakan tersebut telah menyebabkan lahirnya negara-negara baharu seperti Czechoslovakia, Estonia, Finland, Hungary, Latvia, Lithuania, Rumania dan Yugoslavia.



B- Kesan Ekonomi



(1) Berlaku Inflasi Dan Kekurangan Bekalan Makanan

 

Di Jerman, kekurangan bekalan makanan menyebabkan berlakunya masalah inflasi dan terpaksa mengenakan catuan terhadap bahan makanan yang penting seperti roti, kentang, susu dan daging sehingga menyebabkan rusuhan anti-kerajaan pada tahun 1917 di Berlin dan Leipzip yang melibatkan hampir 300,000 orang pekerja.

Di Rusia, timbul masalah dalam sektor pertanian akibat kekurangan buruh kerana 4 juta buruh dalam sektor ini dikerah menyertai pasukan tentera. Keadaan tersebut menyebabkan pengeluaran pertanian terus berkurangan.

 

(2) Kejatuhan Nilai Mata Wang

 

Pada tahun 1922, nilai mata wang Jerman iaitu Mark telah menjunam turun hingga kurang daripada seperseratus daripada nilainya pada tahun 1914. Pengeluaran industri Jerman juga terjejas. Pengeluaran arang batu dan besi Jerman juga berkurangan daripada jumlah pengeluaran sebelum perang.

 

(3) Sistem Pengangkutan Terganggu

 

Pada tahun 1916, sistem pengangkutan tidak berfungsi. Kepincangan sistem pengangkutan memberi kesan kepada tentera Rusia yang berada di medan peperangan kerana bekalan gagal dihantar kepada pasukan yang memerlukan bantuan.

 

(4) Penutupan Kilang/Kekurangan Bahan Bakar

 

Pemerintahan Tsar di Rusia turut menghadapi masalah dalam belanjawan kerana terpaksa mengagihkan peruntukan dalam bidang pendidikan dan perumahan kepada bidang ketenteraan. Lebih memburukkan keadaan ialah kesan perang yang berterusan menyebabkan kilang yang ditutup semakin bertambah dan Rusia menghadapi kekurangan bahan bakar yang serius.

 

(5) Berlaku Mogok/Revolusi Rakyat

 

Keresahan dalam kalangan masyarakat juga berlaku dan mogok yang melibatkan 3 juta pekerja terjadi pada tahun 1916. Keadaan seperti ini memudahkan rakyat melancarkan revolusi terhadap pemerintahan Tsar.

 

(6) Beban Hutang

 

Pertempuran yang berlaku di utara Perancis menyebabkan keupayaan pengeluaran Perancis merosot kepada 70% bagi arang batu, 81% bagi keluli dan 63% bagi besi. Setelah perang tamat, Perancis terpaksa menanggung hutang luar yang amat besar. Maka tidak hairanlah dalam Perjanjian Versailles, wakil Perancis menuntut ganti rugi yang besar terhadap Jerman.

 

(7) Amerika Syarikat Dan Jepun Menguasai Pasaran Dunia

 

Pasaran dunia mula diambil alih oleh Amerika Syarikat dan Jepun. Perkara ini amat dirasai oleh negara-negara Eropah terutamanya Britain, sebuah negara industri yang sebelum ini menguasai peratus perdagangan terbesar di dunia. Perang Dunia Pertama menyebabkan Britain kehilangan 1/3 daripada perdagangan luarnya.



C- Kesan Sosial

 

 

(1) Korban Nyawa dan Kecederaan

 

Perang Dunia Pertama banyak mengorbankan nyawa. Kira-kira 8.5 juta tentera terkorban dan 12.5 juta orang awam terkorban. Dari segi harta benda pula, peperangan ini mengakibatkan kemusnahan yang bernilai AS$ 36 760 juta. Britain kehilangan 750,000 rakyatnya, iaitu 9% daripada jumlah penduduk lelakinya yang berumur 45 tahun ke bawah manakala bilangan yang cedera dianggarkan berjumlah 2 juta orang. Lebih kurang 1.4 juta rakyat Perancis terkorban dan 3.5 juta tercedera. Angka ini melibatkan hampir 10% jumlah rakyat lelakinya yang cergas dan ini merupakan satu kehilangan besar kepada Perancis. Tambahan pula,Perancis mengalami kadar pertumbuhan penduduk yang rendah.

 

(2) Pencemaran Udara/ Bumi

 

Pencemaran udara dan bumi turut berlaku kesan penggunaan senjata kimia yang meluas dalam pertempuran sengit di Marne dan Somme.

Baca Juga: Faktor Berlakunya Perang Dunia Pertama