Karangan UPSR- Contoh Karangan Cara Menghormati Ibu Bapa
Ibu bapa ialah insan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Pengaruh mereka dalam mencorakkan kehidupan anak-anaknya menepati peribahasa “tangan yang mengayun buaian itu boleh menggoncang dunia”. Tanpa mereka, kita tidak akan berpeluang melihat panorama alam atau menikmati kehidupan di muka bumi ini. Justeru, sebagai seorang anak, perlulah kita sentiasa menghormati dan menghargai mereka.
Terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk
menghormati ibu bapa. Antaranya adalah dengan belajar dengan sungguh-sungguh
untuk menjaring kejayaan dalam pelajaran. Kejayaan kita pastinya akan
membuatkan ibu bapa kita berasa bangga dan gembira. Penat lelah “memerah
keringat” melahirkan, membesarkan, menyara dan memberikan pendidikan formal
kepada kita akan terubat dengan kejayaan yang kita raih.
Antaranya adalah dengan sentiasa mematuhi dan mentaati
nasihat mereka. Penghargaan juga dapat diukur berdasarkan cara kita menunjukkan
rasa hormat kepada mereka. Selain mendengar nasihat, kita wajib menerima setiap
teguran dengan hati yang terbuka. Nasihat dan teguran yang diberikan bertujuan
untuk memberi bimbingan dan panduan demi manfaat anaknya.
Budaya memelihara tatasusila apabila berinteraksi
dengan ibu bapa juga merupakan antara cara menghormati mereka. Sentiasalah bertutur
dengan nada yang lembut, sopan dan dengan mimik wajah yang manis. Elakkan
daripada melakukan perkara-perkara yang tidak disenangi oleh ibu bapa.
Sebagai insan biasa, kita tidak mungkin lari daripada
“silap langkah” ataupun melakukan kekhilafan kerana “bumi mana yang
tiada kena hujan”. Bersabarlah apabila dimarahi dan jangan sekali-kali melawan
mereka. Kita sewajarnya sentiasa mohon maaf atas sebarang kekasaran kata,
keterlanjuran bahasa dan kelancangan tingkah laku kita agar mereka tidak “kecil
hati”.
Amalan membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja rumah
yang bersesuaian dan berpatutan juga mewakili cara menunjukkan rasa hormat dan kasih
sayang terhadap mereka. Selain meringankan beban tugas, bantuan kita akan
memberikan mereka laluan istirahat untuk merawat kelesuan.
Cara menghargai ibu bapa juga boleh kita tunjukkan
dengan kesediaan mengorbankan masa, tenaga dan material untuk mereka. Di
samping sedia menjaga mereka ketika sakit, pastikan kita sentiasa menutup atau
merahsiakan kelemahan mereka.
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai amalan
yang dapat kita lakukan untuk menghormati ibu bapa. Selain menjadi tuntutan
agama, amalan ini juga merupakan satu Amanah dan tanggungjawab setiap anak
terhadap orang tuanya. Hormati dan sayangilah ibu bapa sementara mereka masih
ada.
NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP