Contoh Karangan Cara-Cara Membahagiakan Ibu Bapa
Cara-Cara Membahagiakan Ibu Bapa
Setiap
anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan
mereka melalui hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang
mulia.
Banyak
bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk metarial dan
hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin
uzur dan memerlukan lebih perhatian.
Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa.
1. Memberi nafkah. Terdapat ibu
bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan
tugas seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi tidak
mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.
Justeru
menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu
bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk
membesar dan mendidik anak.
2. Menyediakan tempat tinggal.
Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami,
adalah menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai
kepada ibu bapa.
Paling
baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan
keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.
3. Memberi kasih sayang. Kasih sayang
adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa.
Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya
kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya.
Anak
yang baik tidak melupai jasa dan kasih sayang kedua ibu bapa. Anak soleh
sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri
rahmat.
Firman
Allah bermaksud: Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua
sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika
kecil.? (Surah al-Isra, ayat 24).
4. Memberi perhatian. Ibu bapa yang
diabaikan akan merasai kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak
diperdulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan.
Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental
ibu bapa.
Penerapan
amalan memberi perhatian terhadap ibu bapa perlu disemai, dibajai serta
disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita. Kes anak yang membuang ibu bapa
semakin meningkat. Anak memandang jijik terhadap ibu bapa sendiri.
Banyak
ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah rumah penjagaan orang-orang tua.
Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu
bapa mampu menjaga dan membesarkan beberapa orang anak.
5. Memenuhi permintaan. Ibu bapa seringkali
memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu
mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.
Memenuhi
permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya,
memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang
sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya.
Malah
keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di medan perang.
Diriwaytkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: Saya telah bertanya
kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah?
Lalu
baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti
kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada
jalan Allah.
6. Melakukan apa yang disukai. Ibu
bapa sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada
pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna
melakukan perbuatan derhaka.
Anak
derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa
derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di
akhirat.
Sabda
Rasulullah bermaksud: Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah
zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa. (Hadis riwayat Tirmizi).
Dalam
hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: Semua dosa akan ditangguhkan Allah,
yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan
menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan
kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.
7. Bercakap dengan lemah lembut.
Satu cara menjaga perasaan ibu bapa ialah bercakap lemah lembut dengan mereka.
Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.
Firman
Allah bermaksud: Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah
selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah
seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah
sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan janganlah engkau
suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.
(Surah al-Israk, ayat 23).
Sesungguhnya,
anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud
merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata
yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan
cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.
8. Menghadiahkan kejayaan. Ibu bapa
sentiasa mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha
bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya
bersama-sama dengan ibu bapa.
Jadi,
jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat
dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa
bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.
9. Meluangkan masa bersama-sama.
Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa
mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap
wajah anaknya.
10. Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa.
Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan
kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal
dunia.
Sabda
Rasulullah bermaksud: Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala
amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi
manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang
soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat
Muslim).
Kebaikan
dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil Anak tidak mampu untuk
membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.
Gunakan
kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin.
Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun
ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa
atau salah seorangnya masih hidup.
Kita
selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita
sangkakan.Di sebalik senyumannya mungkin banyak cerita sedih yang ingin
diluahkan.Di sebalik kesenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan..Kita
tidak tahu.Tetapi jika kita cuba jadi sahabat sepertinya,mungkin kita akan
tahu.