Karangan UPSR- Contoh karangan Amalan Gaya Hidup Sihat
Gaya hidup sihat perlu kita praktikkan untuk menjaga kesihatan diri. Amalan ini akan membolehkan kita hidup dengan penuh ceria. Dalam kehidupan pada era moden yang penuh dengan tekanan ini, gaya hidup sihat menjadi satu agenda penting untuk diamalkan. Pelbagai amalan dapat kita lakukan untuk mencapai matlamat ini.
Pengambilan makanan seimbang merupakan antara cara
untuk menjana gaya hidup sihat. Amalan ini akan membekalkan khasiat dan vitamin
yang akan mengelakkan penyakit bahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan
darah tinggi dan diabetis.
Agenda gaya hidup sihat juga dapat dicapai dengan
aktiviti bersukan atau beriadah. Amalan ini akan melancarkan perjalanan darah
manakala tubuh yang berpeluh akan mengenyahkan toksin. Jika badan kita sihat
dan bertenaga, slogan “Badan Cergas, Minda Cerdas” akan mewarisi identiti kita.
Pemeriksaan kesihatan secara berkala juga adalah
antara proses ke arah gaya hidup sihat. Pemeriksaan keberkesanan fungsi organ
dalaman seperti jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas akan berupaya
mengesan penyakit jantung koronari, diabetis, tekanan darah tinggi atau obesiti
lebih awal. Sebagai ekorannya, langkah pemulihan dan rawatan yang kita susun akan
dapat mengelakkan situasi “sudah terhantuk baru tengadah”.
Penjagaan kebersihan rumah dan persekitaran tempat
tinggal juga akan memnuhi kehendak dan keperluan gaya hidup sihat. Risiko
jangkitan penyakit yang dibawa oleh nyamuk, lalat, tikus atau lipas dapat
dikawal apabila rumah dan persekitaran terpelihara kebersihannya. Persekitaran
yang bersih akan membekalkan udara yang segar dan nyaman.
Prinsip menjauhi budaya hidup negatif seperti pengambilan
alkohol, rokok, dadah, pil perangsang atau amalan seks rambang juga ialah
kriteria untuk memastikan gaya hidup sihat mencapai matlamatnya. Elakkan diri daripada
mengamalkan perlakuan yang tidak bermoral “sebelum kudis menjadi tokak”.
Ternyata, terdapat pelbagai inisiatif yang dapat kita lakukan untuk menjayakan budaya gaya hidup sihat. Oleh sebab itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama ibarat “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing”. Kempen “Rakyat Sihat Negara Maju” perlu dipertingkatkan agar Negara dapat melahirkan rakyat yang sihat dan produktif untuk memperkasakan pembangunan dan pemodenan Negara.
NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA
Munsyi Dewan DBP