Contoh Karangan Isu Pencemaran Bahasa
Pencemaran bahasa merangkumi kesalahan bahasa dan aspek tatabahasa yang melibatkan struktur ayat, ejaan, istilah, penggunaan "bahasa rojak" dan sebagainya. Dalam era millenium yang rancak dengan pembangunan dan modenisasi ini, penggunaan bahasa Melayu yang betul dan gramatis hanya dipandang enteng oleh masyarakat. Bahasa yang dahulunya menjadi ‘lingua franca’ kini kian hilang martabatnya apabila penggunaannya yang membabi buta tidak dikenakan tindakan. Hal ini akan menyebabkan bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang rendah martabatnya kerana bangsa yang menggunakan bahasa itu sendiri tidak mempunyai inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlulah mengambil langkah yang proaktif dan efisien agar nilai dan martabat bahasa Melayu dapat dikekalkan.
Antara langkah untuk membendung masalah pencemaran
bahasa ialah peranan pihak sekolah. Di peringkat sekolah, para pelajar sering
didedahkan dengan pelbagai kesalahan bahasa oleh guru-guru Bahasa Melayu.
Apabila para pelajar melakukan kesalahan dalam berbahasa, guru hendaklah
menegur dan membetulkan kesalahan mereka. Biarkan mereka belajar daripada
kesalahan mereka sendiri agar kesalahan tersebut tidak akan diulang lagi.
Selain itu, pihak sekolah juga perlu menganjurkan aktiviti-aktiviti yang
berkaitan dengan bahasa. Sebagai contohnya, pihak sekolah mengadakan bulan
bahasa yang diisi dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti pidato,
syarahan, kuiz bahasa dan aktiviti lain yang sesuai. Dengan penyertaan oleh
para pelajar, secara tidak langsung mereka belajar tentang bahasa yang betul,
bak kata pepatah, “Sambil menyelam minum air”.
Pihak kerajaan pula perlu mengadakan kempen kesedaran
untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang
gramatis di samping mengembalikan martabat bahasa Melayu khususnya dalam
kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Kempen ini boleh dilancarkan melalui
media massa kerana media massa merupakan satu komponen yang paling mudah untuk
menyebarkan informasi. Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan
badan bukan kerajaan (NGO), kempen ini dapat dijalankan dengan lancar. Dengan
kewujudan kempen ini, diharapkan masalah pencemaran bahasa kalangan masyarakat
dapat dielakkan.
Pihak kerajaan juga perlu mewajibkan semua pegawai dan
kakitangan kerajaan menggunakan bahasa yang gramatis dalam segala urusan rasmi
organisasi sama ada lisan mahupun tulisan. Hal ini bertujuan untuk menerapkan
nilai-nilai penggunaan bahasa yang gramatis dalam sektor kerajaan. Dengan
mengimplimentasikan langkah ini, semua pegawai dan kakitangan kerajaanakan
menggunakan bahasa yang betul setiap kali ingin menulis data, surat ataupun
melakukan pembentangan. Perkara ini jika dibiasakan akan menjadi amalan, sesuai
dengan peribahasa Melayu, “Alah bisa tegal biasa”. Dengan cara ini,
masalah pencemaran bahasa dapat diminimumkan.
Pihak kerajaan perlu mewajibkan penggunaan bahasa yang
gramatis bagi papan-papan tanda. Hal ini perlu dipandang serius kerana bahasa
menunjukkan bangsa. Jika pelancong asing datang ke negara kita, mereka akan
terpengaruh oleh penggunaan-penggunaan bahasa yang salah, seterusnya masalah
pencemaran bahasa menjadi lebih serius. Oleh itu, papan-papan tanda yang ingin
dibuat perlulah mendapat kelulusan daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dengan cara ini, isu pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat akan dapat
dibendung. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Mencegah lebih baik
daripada merawat”.
Peranan ibu bapa juga penting dalam memperkasakan
usaha untuk mengatasi masalah pencemaran bahasa. Ibu bapa perlu membudayakan
anak-anak mereka dengan budaya membaca sejak mereka kecil lagi. Hal ini
mempengaruhi minat dan cara anak-anak menulis ayat dan bercakap. Dalam era
dunia tanpa sempadan ini, anak-anak akan terdedah kepada pelbagai perkataan dan
istilah yang kurang baik dan digunakan sebagai bahasa percakapan harian mereka.
Hal ini tidak mendatangkan maslahat langsung kepada anak-anak, ibu bapa,
ataupun negara malahan semakin memburukkan keadaan. Oleh hal yang demikian, ibu
bapa perlu menyediakan pelbagai bahan bacaan yang berbentuk ilmiah di rumah di
samping menekankan aspek-aspek penggunaan bahasa dengan betul kepada anak-anak sejak
kecil kerana hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sebagai kesimpulannya, semua pihak yang berkenaan
perlu bekerjasama untuk menjalankan langkah yang pragmatik bagi menangani
masalah pencemaran bahasa. Usaha yang berterusan dan efisien akan menyebabkan
bahasa yang telah diangkat martabatnya sebagai bahasa kebangsaan ini semakin
dihormati dan penggunaannya dapat dibaiki dari semasa ke semasa. Jika tiada
prakarsa daripada mana-mana pihak, maka pupuslah bahasa dan lenyaplah bangsa.
Langkah untuk mengutamakan bahasa Melayu ini dilakukan agar generasi akan
datang dapat merasakan keaslian dan ketulenan bahasa ibunda mereka yang selama
ini diperjuangkan agar "tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas".