Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Contoh Karangan Faedah Membaca

Karangan UPSR- Contoh Karangan Faedah Membaca

 

    Kajian entrim oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 2014 mendapati bahawa tabiat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia secara puratanya telah meningkat kepada 15 buku setahun. Peningkatan mendadak sebanyak 750% berbanding dengan kajian yang dilakukan pada tahun 2005. Ternyata, rakyat negara ini semakin peka tentang keperluan membaca.

 

    Kita sewajarnya memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak sejak kecil untuk mengembangkan ilmu mereka, bak kata bidalan, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Bahan bacaan yang sesuai dijadikan pilihan termasuklah perkongsian ilmu daripada Internet, akhbar, majalah, buku cerita, pamflet, komik dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, belakangan ini, banyak perpustakaan mini diwujudkan di pusat beli belah untuk kemudahan penggemar buku menghiburkan hati dan merawat kelesuan setelah letih menapak sebelumnya.

 

    Amalan membaca sesungguhnya merupakan satu budaya yang amat manfaat. Pembacaan akan meningkatkan pengetahuan yang sedia ada kerana “Membaca Jambatan Ilmu”. Sekiranya kita menjadi “ulat buku”, kita akan dapat menambahkan pengetahuan yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu.

 

    Selain dapat meredakan tension, sikap gemar membaca juga akan mematangkan minda. Dengan membaca, kita dapat mengenal pasti kebaikan atau keburukan sesuatu perkara. Sebagai impaknya, kita akan mampu untuk berfikir secara lebih matang dan kreatif dalam membuat penilaian terhadap sesuatu perkara.

 

    Apabila kita rajin membaca, kita akan dapat mengetahui pelbagai info mutakhir dan fenomena peristiwa semasa yang terjadi di persekitaran kita. Paparan sejarah, transformasi perubatan, isu kegawatan ekonomi, kejadian bencana alam dan malapetaka dunia dapat kita ketahui melalui aktiviti pembacaan. Malahan, perkembangan dalam prospek perniagaan, pendidikan, teknologi maklumat, sukan, serta konflik politik terkini juga dapat kita selami. Hasilnya, peribahasa personaliti "seperti katak di bawah tempurung" tidak mungkin kita warisi.

 

    Amalan membaca juga adalah antara kriteria positif dalam agenda mengisi masa lapang. Minat membaca ini akan menghindari kita daripada melakukan aktiviti yang tidak menguntungkan seperti melepak, berbual kosong, melayari laman sesawang negatif di Internet, bergaduh, vandalisme, bermain permainan video, melayan basikal lajak dan sebagainya.

 

    Sesungguhnya banyak kebaikan atau faedah yang akan kita peroleh dengan amalan membaca. Oleh sebab itu, membacalah kerana “Buku Jendela Dunia”.

 

NOR AZIZI B. HJ. MOHD. ISA

Munsyi Dewan DBP