Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Kebaikan-kebaikan aplikasi perniagaan dalam talian

Karangan SPM- Kebaikan-kebaikan aplikasi perniagaan dalam talian


Marcapada, dunia dan negara pascaglobalisasi dan pascamodenisasi memperlihatkan perkembangan pesat penggunaan media sosial bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan terutama dengan adanya teknologi maklumat serta aplikasi dan gajet berasaskan internet. Media sosial ini bukan sahaja berfungsi sebagai wahana mempercepatkan penyebaran maklumat malah telah menjadi satu medium kepada ahli perniagaan untuk memperagakan barangan jualan mereka yang dikenali sebagai e-dagang. Hal ini kerana dengan aplikasi e-dagang, peniaga boleh melakukan urusan jual beli dengan pengguna melalui Internet secara mudah kerana maklumat di hujung jari dan dunia tanpa sempadan. Seyogia, marcapada aktiviti perniagaan Internet semakin terkenal dan mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi negara.


Antara faedah yang dapat diperolehi adalah, urusan perniagaan dapat dilakukan tanpa memerlukan ruang atau tempat contohnya seperti kebiasaan perniagaan lain yang memerlukan kedai atau pasar raya untuk menjalankan proses jual beli. Sebagai contoh premis peniagaan yang menawarkan jual beli atas talian seperti Lazada, Shoppe, mudah.my, Lazada.com.my dan sebagainya. Proses jual beli menggunakan e-dagang boleh berlaku di skrin komputer atau telefon bimbit sahaja, justeru, pembelian secara internet akan menguntungkan kedua belah pihak sama ada pengguna atau peniaga dengan istilah “menang menang”. Bagi pihak peniaga mereka tidak perlu menggunakan kos untuk menyewa tepat perniagaan atau pekerja dan bagi pihak pengguna mereka tidak perlu menghabiskan masa berjam-jam kerana masa itu emas hanya untuk membeli dan membayar barangan keperluan di kedai atau pasar raya. Tegasnya, sudah terang lagi bersuluh aplikasi perniagaan di Internet dapat menjimatkan masa dan kos kepada pengguna dan peniaga.

Seterusnya, aplikasi perniagaan secara atas talian membolehkan pihak pengguna memilih pelbagai pilihan produk yang ditawarkan oleh pihak peniaga. Sebagaimana kita sedia maklum antara premis maya yang menawarkan pembelian atas talian seperti Zalora, Lazada, Shopee, mudah.my, dan sebagainya. Pelbagai barangan yang ditawarkan oleh setiap premis maya ini dengan cara mengiklankan produk keluaran mereka seperti baju, seluar, beg. tali pinggang, cermin mata, sehinggalah kereta semuanya ada di dalam laman sesawang premis maya mereka, namun begitu elakkan membeli barangan yang membazir kerana peribahasa Melayu ada mengatakan ikut hati mati, ikut rasa binasa.  Premis maya memudahkan pelanggannya memilih barang secara alternatif dan pengguna hanya perlu memilih pelbagai barangan ditawarkan di skrin komputer riba atau telefon pintar dan bebas memilih barangan yang diperlukan serta sesuai dengan harga barangan yang ditawarkan kerana alah membeli, menang memakai. Setiap proses pembelian akan berlaku sekiranya, pengguna bersetuju dengan syarat pembelian dan bayaran boleh dilakukan dengan mengguna kad debit, kad visa, atau "mastercard" tanpa memerlukan pengguna membayar di premis maya. Tegasnya, perniagaan secara atas talian membolehkan pihak pengguna memilih pelbagai pilihan produk yang ditawarkan oleh pihak peniaga.

Selain itu, perniagaan atas talian mampu meluaskan pasaran produk syarikat besar ke pasaran global atau antarabangsa. Hal ini kerana dengan menggunakan e-dagang syarikat besar boleh melebarkan sayap pasaran mereka ke segenap penjuru alam kerana dengan Internet dunia tanpa sempadan. Seyogia, peniaga yang ingin memacu perniagaan secara global memerlukan mereka menyediakan aset yang cukup dan bukan sekadar indah khabar dari rupa, maksudnya syarikat perniagaan berkenaan perlu menerima hakikat bahawa pasaran sebegini memerlukan mereka bersiap siaga dari segi aset dan kewangan yang melibatkan jutaan ringgit malah mungkin bilion ringgit untuk memberi kepercayaan kepada pengguna sama ada mereka dari kalangan syarikat asing atau penguna antarabangsa. Sebagai contoh, pengusaha pelancongan yang mengiklankan syarikat mereka bukan saya di e-dagang malah di bloger , facebook, istagram dan pelbagai lagi laman sosial yang lain perlu mempunyai aset seperti kenderaan untuk urusan pergerakan pelancong, hotel atau chalet bertaraf mewah, penyediaan makanan yang sistematik, dan pemandu pelancong yang profesional. Pada masa yang sama, kedatangan pelancong asing ini akan meningkatkan pendapatan pengusaha pelancongan dan juga negara apabila berlakunya pengaliran wang asing ke nagara kita tercinta.

Di samping itu, perniagaan atas talian juga memudahkan pelancong asing atau pelancong tempatan memilih hotel yang sama taraf mutu perkhidmatanya tetapi kos yang perlu dikeluarkan lebih murah kerana alah membeli menang memakai. Hal ini dapat kita saksikan dengan kewujudan laman sesawang seperti Trivago, Agoda, TripAdvisor, Expedia, Hotels, Booking, merupakan antara laman sesawang yang banyak membantu pelacong untuk membuat pemilihan hotel yang perlu ditempah secara bijak kerana laman sesawang berkenaan membolehkan pelancong memilih hotel yang menawarkan perkhidmatan terbaik dengan kadar sewa yang murah. Sebagai contoh, dua hotel menawar ruang bilik dengan kemudahan dan perkhidmatan tambahan yang sama seperti Hotel Angsana dan Hotel Seri Malaysia di dapati Hotel Angsana mengenakan bayaran RM 500.00 sehari semalam sedangkan Hotel Seri Malaysia menawarkan bayaran yang sama untuk ruang tamu yang sama dan perkhidmatan yang sama, sudah pasti pelancong yang bijak bebelanjan akan menempah Hotel Seri Malaysia untuk program pelancongan mereka. Sebaliknya pelancong yang tidak menggunakan laman sesawang berkenaan untuk menentukan hotel yang mereka pilih, sudah pasti mereka akan membazirkan wang mereka. Sudah terang lagi bersuluh, perniagaan atas talian juga memudahkan pelancong asing atau pelancong tempatan memilih hotel yang sama taraf mutu perkhidmatanya tetapi kos yang perlu dikeluarkan lebih murah.

Intihanya, perkhidmatan dan juga perkembangan media sosial negara sememangnya sudah berada pada tahap yang semakin maju dari semasa ke semasa. Dengan kemodenan bidang teknologi telekomunikasi pelbagai usaha dalam bidang perniagaan dapat berkembang pesat ditambah pula dengan inisiatif daripada pihak kerajaan dengan menyediakan peruntukan yang besar untuk memastikan media sosial ini diimplimentasikan sepenuhnya oleh masyarakat di Malaysia untuk memacu negara ke arah negara maju pada tahun 2020. Hal ini sejajar dengan perkembangan pesat sistem media sosial yang telah diterapkan oleh beberapa negara maju dan negara lain yang sedang membangun untuk memacu pertumbuhan ekonomi masing-masing.