Usaha berterusan membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara.Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan bagi membantu golongan ini?
Orang
Kurang Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat keadaan
fizikal atau mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu.
Kecacatan fizikal dan mental ini menghalang mereka dari melakukan
aktiviti-aktiviti normal seperti sosial, rekreasi, pelajaran dan pekerjaan.
Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua
kumpulan utama, iaitu kurang upaya secara kekal dan kurang upaya secara
sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada, masyarakat kurang upaya ini
tdak harus dipinggirkan kerana mereka juga tutut memberi sumbangan kepada
negara. Oleh itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU meneruskan
kehidupan dengan sempurna.
Antara
usaha yang dapat dilakukan ialah masyarakat perlu menerima kehadiran
golongan kurang upaya ini seadanya dan membantu mereka menjalani kehidupan
dengan sebaiknya. Hal ini kerana masyarakat perlu sedar bahawa OKU tidak
meminta dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna malah mempunyai hak untuk
hidup sama seperti orang lain. Mereka tidak suka dipandang rendah dan dianggap
tidak berguna. Namun begitu kita harus melayan mereka secara istimewa dalam
keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan, memberi tempat
duduk di dalam kenderaan awam dan sebagainya. Dalam hal ini, ibu bapa
berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni seperti
kasih sayang, simpati, belas kasihan dan tolong menolong agar mereka dapat membantu
OKU dengan seikhlas hati.
Media
massa sama ada media elektronik atau media cetak juga berperanan penting dalam
membantu golongan kurang upaya ini. Pihak media massa
perlu menyiarkan artikel dan rancangan khas tentang OKU kepada segenap lapisan
masyarakat. Rancangan di TV3 seperti Bersamamu kerap kali memaparkan kisah
sedih dan pilu OKU untuk mengalih perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini,
perasaan masyarakat pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud
perasaan simpati dan terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung
khas disediakan oleh pihak media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan
kewangan kepada OKU. Oleh hal yang demikian, nasib OKU akan terbela dan
mendapat simpati berterusan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan
mereka.
Selain
itu, kerajaan juga dapat membantu OKU dengan memberi peluang kepada mereka
untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang. Golongan
Kurang Upaya (OKU) diberi peluang mengikuti latihan kemahiran seperti membaiki
kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok dan kraf tangan di Pusat
Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat (JARO) dan
lain-lain institusi. Di sini, OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran
supaya mereka dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau
berniaga sendiri. Setelah mantap dalam bidang pekerjaan, mereka akan duduk
sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain membantu negara dan
tidak lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara hidup sendiri dan
keluarga.
Tambahan
pula, pihak kerajaan juga tutut membantu OKU dengan memberikan bantuan dan
elaun dalam bentuk wang ringgit, makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal,
peralatan pembelajaran dan kenderaan khas. Peruntukan dari kerajaan ini
disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan sebagainya. Bantuan
seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU malah dapat menggembirakan
hati mereka dalam meneruskan kehidupan di dunia ini. Bantuan modal juga
dipelukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan. Hal ini
demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau
miskin. Sehubungan itu, pihak kerajaan telah berusaha memberi bantuan modal
kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan dan sokongan daripada
persatuan masing-masing. Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat
penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa
bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.
Di
samping itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang untuk menyambung
pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas
perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa yang
mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan
itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para
pelajar yang setanding dengan pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga
mestilah menyediakan tempat atau kaota pengajian di peringkat Institusi
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu,
peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib
hidup mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang
dimiliki itu.
Kesimpulannya,
golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan
memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik. Bagi merealisasikan hasrat
tersebut, semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah
berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak
bersungguh-sungguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam
era permodenan negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat
membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha
membantu golongan OKU.