Sukan
merupakan aktiviti yang baik untuk dilakukan kerana melibatkan pergerakan
fizikal. Selain itu, aktiviti sukan turut megharumkan nama Malaysia di persada
dunia. Negara kita sendiri telah berjaya menganjurkan beberapa kejohanan sukan peringkat
antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998, Grand Prix Formula One, Le Tour de
Langkawi, Monsoon Cup dan sebagainya. Kejayaan penganjuran kejohanan-kejohanan
tersebut telah memberikan imej yang positif kepada negara kita pada
peringkat antarabangsa. Hal ini telah membuktikan bahawa Malaysia mampu duduk
sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain. Kejayaan ini telah
mendatangkan kesan positif terhadap Malaysia daripada pelbagai aspek.
Kesan
positif yang paling ketara dapat kita lihat ialah kedatangan pelancong
asing semakin meningkat ke negara kita. Melalui penganjuran sukan bertaraf
dunia, industri pelancongan sukan di negara kita akan mengalami kemajuan. Hal
ini sekali gus mampu menjana ekonomi negara dari segi tukaran mata wang asing.
Sebagai contohnya, penganjuran kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan
secara tahunan di Malaysia seperti Grand Prix Formula One dan Le Tour de
Langkawi telah berjaya menarik banyak pelancong asing, bak kata pepatah, “Di
mana ada gula, di situ ada semut”. Para pelancong berkunjung ke Malaysia
semata-mata untuk menonton pertandingan sukan ini secara langsung. Di samping
itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dapat mempromosikan Malaysia
kepada masyarakat antarabangsa. Hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan
ekonomi negara yang mapan. Oleh itu, penganjuran sukan antarabangsa perlu
diteruskan kerana banyak memberikan manfaat kepada ekonomi negara kita.
Kejohanan
sukan yang berprestij pastinya akan mendapat liputan yang meluas dari seluruh
dunia. Bagi mereka yang tidak dapat menyaksikan kejohanan sukan yang
dipertandingkan secara langsung, mereka boleh menyaksikannya melalui media
massa seperti televisyen dan radio. Banyak siaran langsung dibuat oleh
negara-negara yang mengambil bahagian untuk melaporkan perkembangan kejohanan
itu kepada penduduk di negara masing-masing. Oleh itu, masyarakat dari seluruh
dunia dapat menyaksikan kejohanan sukan yang diadakan di negara kita. Secara
tidak langsung, orang yang tidak tahu akan kewujudan Malaysia akan mengenalinya
melalui liputan-liputan yang disampaikan. Perkara ini akan meningkatkan imej
Malaysia ke seluruh dunia.
Selain
itu, melalui penganjuran sukan antarabangsa, negara kita dapat menjalin dan
mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah
terjalin pula akan bertambah erat dengan adanya penglibatan dalam bidang sukan.
Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa
buah negara di Asia dan Eropah bagi memajukan sukan di Malaysia. Hal ini dapat
dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara
perasmian dan penutupan sesuatu kejohanan. Dengan cara itu, sudah pasti para
pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan
diplomatik antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan
diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara yang terlibat, tentunya negara
kita akan mendapat kelebihan daripada pelbagai aspek.
Di
samping itu, kita sering mendengar ungkapan bahawa sukan merupakan
wadah untuk perpaduan. Melalui penganjuran sukan antarabangsa, kita dapat
mengeratkan perpaduan sejagat antara masyarakat dari seluruh dunia. Sebarang
pertelingkahan, pergaduhan dan permusuhan dapat dilupakan dan mereka dapat
menerima kekalahan dengan semangat kesukanan. Sebagai contohnya, semasa
Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia iaitu ketika Dato’ Lee Chong Wei
menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia pada peringkat akhir, mereka
masih boleh bergurau antara satu sama lain dan berpelukan sebagai tanda
persahabatan. Hal ini menunjukkan bahawa perpaduan melalui penganjuran sukan
juga boleh diwujudkan kerana sukan dilihat mampu memecahkan tembok perbezaan
kaum. Oleh itu, nama Malaysia akan dijulang sebagai juara perpaduan kerana
sikap kerjasama dan toleransi "bagai aur dengan tebing".
Selain
agen perpaduan, penganjuran sukan peringkat antarabangsa ini juga akan
meningkatkan mutu sukan negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana ahli
sukan di negara kita dapat menyaksikan kehebatan ahli sukan dari seluruh dunia
bertanding di negara kita. Bagi ahli sukan di negara kita yang bertanding dalam
sesuatu acara itu, sudah pasti mereka akan mendapat suntikan semangat yang lebih
daripada penyokong-penyokong tempatan. Hal ini akan menyebabkan mereka lebih
bersemangat untuk bertanding. Selain itu, mereka akan membuat persediaan yang
lebih rapi dan membiasakan diri dengan gelanggang perlawanan sebenar untuk
membuktikan bahawa kejayaan akan menjadi milik negara kita sendiri di samping
slogan Malaysia Boleh.
Kesimpulannya,
penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai
kesan positif terhadap perkembangan negara kita. Di samping itu, kerjasama daripada
semua pihak amat diperlukan bagi mengangkat martabat Malaysia di pentas
antarabangsa. Pihak kerajaan terutamanya haruslah sentiasa membida hak untuk
menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dengan lebih kerap agar
negara Malaysia akan lebih dikenali. Selain itu, penganjuran sukan juga mampu
menjana ekonomi negara yang agak lembap sejak akhir-akhir ini. Hal ini boleh
diibaratkan seperti “serampang dua mata”. Oleh itu, kita berharap agar matlamat
negara untuk terus menjadi penganjur kejohanan-kejohanan sukan antarabangsa
akan menjadi kenyataan.