Kemudahan
awam yang disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta adalah untuk kegunaan orang
ramai. Akan tetapi, ada kemudahan yang disediakan itu telah dirosakkan oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai contohnya, mereka merosakkan
kemudahan awam seperti memutuskan gagang telefon awam, menconteng dinding
tandas awam, merosakkan alat permainan di taman permainan kanak-kanak, dan
sebagainya. Perkara itu menyebabkan orang lain pula yang akan menerima kesannya
kerana tidak dapat menggunakannya. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan
kemudahan awam ini dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Seperti
yang kita sedia maklum, antara faktor yang menjadi puncanya disebabkan oleh
kurangnya didikan agama dan moral di rumah. Hal ini dikatakan demikian kerana
ahli keluarga itu sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik serta tidak
menitikberatkan soal agama dan moral. Oleh itu, mereka merosakkan kemudahan
awam tanpa memikirkan akibat dan kesukaran yang akan dihadapi oleh orang lain.
Jadi, tanpa didikan agama dan moral daripada keluarga, perkara ini akan
menyebabkan remaja tidak dapat membezakan perkara yang baik atau buruk. Hal ini
menunjukkan bahawa didikan agama dan moral yang kurang dititikberatkan oleh ibu
bapa menjadi faktor kemudahan awam dirosakkan.
Faktor
lain kemudahan awam dirosakkan ialah remaja terpengaruh oleh perbuatan yang
dilakukan oleh rakan sebaya mereka. Perkara ini berlaku kerana mereka
kebiasaannya akan melakukan atau mencontohi tindakan rakan-rakan yang lain.
Kebiasaannya, remaja akan mengikut contoh atau melakukan tindakan yang
dilakukan oleh rakan yang merosakkan kemudahan awam, seperti merosakkan pam
atau sinki tandas. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan
kesulitan kepada orang lain yang hendak menggunakannya. Hal ini membuktikan
bahawa pengaruh rakan merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan perkara
ini berlaku.
Kita
juga sedar bahawa perkara itu disebabkan oleh sikap masyarakat yang
mementingkan diri sendiri dan tidak prihatin akan perkara yang berlaku di
sekeliling mereka. Perkara ini menunjukkan bahawa kebanyakan anggota masyarakat
lebih mementingkan urusan mereka sendiri. Tindakan itu boleh diibaratkan
seperti “katak di bawah tempurung” kerana mereka tidak menghiraukan perkara
yang sedang berlaku. Hasilnya, gejala ini tentunya menyebabkan pihak yang tidak
bertanggungjawab itu merosakkan kemudahan awam selepas menggunakannya. Memang
tidak dapat dinafikan bahawa sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri
dan tidak prihatin akan orang lain merupakan salah satu daripada faktor yang
menyebabkan kemudahan awam dirosakkan.
Selain
itu, kemudahan awam yang disediakan oleh pihak tertentu itu dirosakkan oleh
orang yang hendak meluahkan perasaan marah mereka. Hal ini disebabkan oleh mereka
tidak ada tempat lain untuk meluahkan perasaan selain merosakkan kemudahan awam
yang disediakan. Perkara ini jelas terbukti seperti kata-kata kesat dan lucah
yang terdapat di dinding-dinding tandas awam dan di pondok telefon awam. Orang
yang tidak bertanggungjawab itu mungkin akan berasa lega dan berpuas hati
dengan tindakannya itu. Sesungguhnya, perkara ini menunjukkan bahawa faktor
orang yang hendak melepaskan perasan marah atau geramnya menyebabkan kemudahan
awam dirosakkan.
Seterusnya,
faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah penguatkuasaan undang-undang
yang lemah atau tidak tegas. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak berkuasa
tidak bertindak dengan tegas atau mengenakan denda yang berat terhadap pihak
yang merosakkan kemudahan awam. Perkara ini menyebabkan orang yang tidak
bertanggungjawab semakin berani untuk merosakkan kemudahan awam. Namun
demikian, orang yang memerlukan kemudahan awam tersebut pula yang terpaksa
menanggung akibat buruknya. Oleh itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang
menjadi faktor penyumbang terhadap masalah ini.
Selain
itu, kemudahan awam juga sering dirosakkan kerana kurang pemantauan dan
penyelenggaraan daripada pihak yang bertanggungjawab. Masalah ini akan
menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu merosakkan kemudahan awam
tersebut apabila mereka tidak dapat menggunakannya. Perkara ini mungkin
disebabkan oleh kekurangan kakitangan daripada pihak berkuasa yang hendak
membuat pemantauan ataupun perbelanjaan untuk menyelenggarakan kemudahan awam
itu sudah habis digunakan. Akibatnya, kemudahan awam yang dirosakkan itu akan
terus terbiar dan perkara itu akan menjejaskan kebersihan atau keselesaan.
Jadi, sememangnya faktor ini membuktikan bahawa masalah kurang pemantauan atau
penyelenggaraan menyebabkan perkara tersebut berlaku.
Sebagai
kesimpulannya, kita dapat melihat bahawa kemudahan awam yang dirosakkan oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab ini berpunca daripada beberapa perkara. Oleh
itu, semua pihak haruslah berganding bahu untuk menangani masalah ini
agar tidak menjadi lebih serius. Sekiranya perkara ini tidak diberikan
perhatian yang sewajarnya, masalah ini akan menyebabkan imej negara tercemar
akibat tindakan yang tidak bertanggungjawab ini. Jadi, kita haruslah
bekerjasama untuk mengatasi masalah ini sebelum menjadi amalan tersebut menjadi
tabiat atau budaya masyarakat kita. Akhirnya, kita berharap agar kemudahan awam
dapat digunakan dan dinikmati oleh orang ramai tanpa sebarang masalah.