Contoh Karangan Isu Laman Sosial
Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat
popular di Malaysia. Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”, “Frienster”,
dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Penggunaannya yang
mudah serta senang diakses oleh masyarakat merupakan antara kelebihannya.
Terdapat sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang telah menjadikan
penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan
waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial
yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak
langsung, penggunaan laman sosial ini memberikan kesan terhadap gaya hidup
masyarakat di Malaysia.
Penggunaan
laman sosial seperti “Facebook” yang meluas dalam kalangan masyarakat boleh
menyebabkan fitnah dan mudah disebarkan kepada semua pengguna laman sosial
tersebut. Sebagai contohnya, negara kita pernah digemparkan dengan satu berita
perceraian yang berlaku dalam akaun facebook. Hal ini telah mendapat kritikan
daripada majoriti rakyat Malaysia yang menyifatkan bahawa perbuatan sedemikian
amat memalukan kita kerana telah mencemarkan keluhuran peribadi sebagai
penganut agama Islam. Selain itu, implikasi seperti itu telah menyebabkan
segelintir pengguna aplikasi tersebut yang tidak bertanggungjawab dan mencetuskan
kontroversi di alam maya, sehingga mengaibkan seseorang. Jelaslah bahawa
penggunaan laman sosial akan menghakis semangat persaudaraan seerta mencemarkan
kedaulatan negara sebagai negara yang disegani dan berintegriti.
Kesan lain
penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan
atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan
yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini
disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka
biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman
sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam
laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji
dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut
akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun
demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu,
mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
Penggunaan
laman sosial juga melahirkan masyarakat yang beku dan lalai dalam melakukan
sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang
terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut.
Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk
menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga
memberikan kesan kepada prestasi kerja dan pelajaran dalam kalangan anggota
masyarakat. Hal ini akan menyebabkan negara kita mengalami kebejatan
idea untuk meningkatkan prestasi negara. Golongan pelajar yang menjadi tunjang
kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang
melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan tenaga
kerja yang kurang berkualiti.
Kesan
penggunaan laman sosial yang seterusnya ialah tersebarnya pengaruh atau unsur
pornografi daripada Barat ke dalam kehidupan masyarakat. Unsur pornografi mudah
didapati di laman sesawang internet. Unsur pornografi seperti bahan bacaan,
gambar, dan video mudah diakses dan disebarkan oleh pengguna laman sosial
tersebut. Hal ini demikian kerana, laman sosial seperti “Facebook” dan “My
Space” diakses bukan sahaja oleh rakyat Malaysia malahan seluruh penduduk di
dunia. Selain itu, budaya Barat seperti “Black Metal”, “Punk”, “Gothic”, dan
“Skin Head” akan menular dalam pemikiran remaja di Malaysia. Perkara ini akan
mempengaruhi remaja untuk meniru budaya sehingga wujud budaya hedonisme dan
gengsterisme di sekolah. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial dapat
mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis nilai-nilai moral
masyarakat.
Penggunaan laman
sosial juga memberikan kesan kepada kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan. Kedaulatan bahasa Melayu akan tercemar ekoran daripada kemunculan
bahasa slanga atau lebih dikenali sebagai bahasa rojak. Penggunaan bahasa rojak
dalam kalangan masyarakat amat membimbangkan cendekiawan bahasa di Malaysia
kerana penggunaanya semakin meluas. Penularan bahasa rojak ini akan menghakis
keaslian dan nilai-nilai estetika bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara
kita. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penggunaan teknologi ini boleh
mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu yang menyebabkan kita seperti ditelan mati
emak, diluah mati bapak.
Kesimpulannya,
penggunaan laman sosial melalui internet memberikan kesan terhadap corak
kehidupan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan
penting untuk mengelakkan kesan buruk akibat penggunaannya kerana mencegah
lebih baik daripada mengubati. Selain itu, masyarakat perlu mempunyai disiplin
dan ketahanan diri bagi mengubah corak hidup dengan menggunakan laman sosial
itu untuk kegunaan yang baik dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi
meningkatkan kecekapan minda masyarakat supaya menjadi minda kelas pertama.
Masyarakat juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini dapat diseimbangkan
tanpa berlaku pengeksploitasian dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.