Dalam dunia yang dilingkari arus kemodenan ini, tidak dapat
dinafikan bahawa masalah sosial turut menghambat masyarakat , maka
wujudlah kes pembuangan bayi yang kian meningkat saban hari.Hal ini satu
pembaziran terhadap sumber manusia atau sumber tenaga kerja bagi membangunkan
negara kita.Secara tidak langsung,masalah ini menyebabkan dasar
kependudukan yang diutarakan pada zaman pentadbiran Perdana Menteri yang ke-4
iaitu Dr.Mahathir bin Muhammad tidak kesampaian bagi mencapai jumlah penduduk
optimum menjelang 2020. Kes pembuangan bayi umpama penyakit barah yang
perlu diatasi dengan segera. Bagi mengatasi masalah ini, pemangkin atau faktor
permasalahan yang merobek nilai-nilai kemanusian ini perlu dikaji dengan teliti
hingga ke akar umbinya. Kita juga tidak dapat menafikan bahawa, terdapat faktor
lain yang menjadi punca masalah pembuangan bayi selain daripada kepincangan
keluarga.
Sememangnya,tidak dapat dinafikan bahawa kepincangan
keluarga adalah faktor atau pemangkin utama permasalahan ini. Sesebuah
keluarga yang berantakan akan menyebabkan anak-anak dalam keluarga
tersebut mencari jalan alternatif bagi melupakan masalah yang dihadapi .
Anak-anak tersebut akan terlibat dalam kegiatan-kegiatan seperti pergaulan
bebas.Hal ini dikatakan demikian kerana ,kawan-kawan merupakan insan yang
memahami diri mereka dan mereka mempercayai kawan-kawan melebihi ahli
keluarga sendiri. Hal ini memungkinkan hubungan seks diluar nikah terjadi,
setelah berlakunya keterlanjuran. Jalan mudah yang akan diambil ialah membuang
bayi yang tidak berdosa tersebut sekaligus menolak nilai kemanusian.
Walaubagaimanapun,terdapat faktor-faktor lain yang menjadi
pemangkin kepada permasalahan ini faktor individu yang kurang penghayatan
terhadap amalan dan nilai-nilai keagamaan. Seseorang yang berpegang teguh
kepada rukun-rukun agama tidak akan berani ingkar atau melanggar hukum agama
dan sesungguhnya tiada agama di dalam dunia yang merelakan umatnya
melakukan maksiat dan dosa. Seseorang yang terlibat dalam kes pembuangan
bayi ini, tergolong dalam golongan manusia yang kurang pengetahuan tentang
keagamaan. Sekiranya seseorang itu sedar dan berpegang teguh kepada ajaran
agama maka,tidak akan timbullah masalah pembuangan bayi ini.
Sudah terang lagi bersuluh, ternyata bahawa peranan
media massa juga menjadi faktor permasalahan ini. Kebanyakan siaran di
rangkaian televisyen setelit tidak ditapis sepenuhnya oleh oleh pihak
berkenaan. Budaya-budaya negatif dari barat diserap sepenuhnya oleh golongan
remaja di negara kita akibat terpengaruh dengan siaran-siaran yang di tonton di
televisyen .Unsur-unsur seks yang dipaparkan akan mempengaruhi golongan remaja
akan melakukan seks di luar nikah. Apabila telah keterlanjuaran , jalan
penyelesaian yang diambil ialah pembuangan bayi bagi menjaga maruah diri
sedangkan maruah diri remaja itu sudah ternodai atau tercalar.
Remaja adalah golongan yang dikategorikan sebagai golongan
yang mempunyai daya inkuiri yang tinggi. Semangat inkuiri yang
tinggi ini menyebabkan rasa ingin tahu dan mencuba sesuatu baik mahupun buruk
menebal dalam diri remaja.Sebagai contoh, pasangan remaja yang sedang hangat
bercinta akan cenderung ingin mencuba perkara yang dilakukan
orang yang sudah berumah tangga lakukan, tanpa berfikir akan
kesannya. Apabila nasi sudah jadi bubur, biasanya golongan remaja ini akan lari
dari tanggungjawab dan jalan yang terbaik bagi mereka untuk lari dari
tanggungjawab ialah dengan membuang bayi tersebut.
Satu lagi punca masalah pembuangan bayi ini ialah aktiviti
pelacuran. Golongan yang terlibat dalam aktiviti ini adalah untuk mendapatkan
wang dengan masa yang singkat dan lumayan. Hal ini dikatakan demikian kerana
sokongan ini terdesak untuk memperolehi wang bagi menampung perbelanjaan
yang melebihi kemampuan tambahan lagi jika tinggal di kawasan Bandar yang
sememangnya memerlukan kos sara diri yang tinggi. Hal ini akan menyebabkan
golongan ini terlibat dalam masalah pembuangan bayi. Mereka malu hendak
memelihara bayi tersebut kerana bayi itu hasil daripada kegiatan pelacuran dan
tanpa ikatan yang sah.Bagi menutup malu mereka,bayi tersebut dibuang tanpa
belas kasihan.
Konklusinya, masalah ini bukan hanya disebabkan masalah
kepincangan keluarga tetapi turut dipengaruhi oleh individu itu sendiri dab
pelbagai unsur luaran yang lain. Bagi mengatasi masalah ini, semua pihak
haruslah berganding bahu dan bukannya menunding jari kepada satu pihak sahaja.
Kerajaan dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama badab bukan
kerajaan (NGO) bekerjasama menubuhkan Tabung DNA bagi memudahkan proses mengesan
ibu bapa kepada bayi yang dibuang. Di samping itu,masyarakat hendaklah
bekerjasama membantu dalam menjayakan usaha ini agar nilai kemanusian dapat
dijunjung sekaligus dapat mengelakkan remaja dari terjerumus ke dalam
lembah kejahilan.