Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Peranan Raja Di Negeri-Negeri Melayu Sebelum Dan Semasa Zaman Penjajahan British

Contoh Karangan Peranan Raja Di Negeri-Negeri Melayu Sebelum Dan Semasa Zaman Penjajahan British



Raja atau sultan memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan di Tanah Melayu. Sebelum kedatangan penjajah, sultan memainkan  peranan penting dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Namun penguasaan penjajah British ke atas Tanah Melayu menyebabkan kuasa sultan mulai terhakis. Sebaliknya British mula memainkan peranan dalam politik, ekonomi dan sosial.

 

Sultan sebagai ketua kerajaan

Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat tidak boleh membantah perintah  sultan kerana  dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah
               

Peranan sultan melantik pembesar

Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri iaitu dalam kalangan putera-putera baginda.  

Sultan menentukan hubungan diplomatik

Sebagai ketua negara, sultan bertanggungjawab mengetuai rundingan dengan ketua-ketua negara asing. Sebarang  tindakan hal ehwal luar tidak sah jika dilakukan oleh pembesar tanpa kehadiran sultan. Semua perjanjian atau persetiaan dengan pihak luar tidak sah tanpa pengesahan sultan. Persetiaan dengan pihak luar perlu ditandatangani oleh 12 orang atau lebih pembesar serta ditandatangani oleh sultan

Sultan berperanan sebagai ketua tentera

Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera mempertahankan negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain.

Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi



Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang  lumayan. Baginda berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Kesemua tanah adalah milik sultan dan diserahkan kepada pembesar untuk diusahakan.

Berkuasa terhadap cukai

Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya. Baginda melantik pembesar untuk mewakili baginda dalam urusan memungut cukai.  Contohnya Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih timah) dari Kelang (Raja Mahdi).   Sultan Pahang memperoleh cukai import yang dikenakan di muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani.  

Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem  kerajaan

Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera,membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya. Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contoh di Kedah mereka yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

Sultan merupakan lambang perpaduan, dan simbol penyatuan negara dan rakyat

Seseorang sultan sangat memerlukan sokongan dan kesetiaan rakyatnya bagi membolehkannya memerintah dengan berkesan.  Kewibawaan seseorang sultan bergantung kepada kemakmuran hidup rakyatnya. Bagi mewujudkan kesetiaan rakyat terhadap sultan maka seseorang sultan itu dilambangkan dengan kuasa sakti dan mempunyai darah putih. Hak ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.


Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu

Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran  itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu.  Baginda juga bertanggungjawab untuk memastikan adat istiadat dan adat resam masyarakat Melayu terus terpelihara.