Contoh Karangan Peranan pembesar di Tanah Melayu sebelum campur tangan British pada tahun 1874
Pembesar merupakan golongan yang sangat penting dan berpengaruh dari segi politik, ekonomi dan sosial. Jawatan pembesar diperoleh melalui dua cara iaitu, taraf tersedia dan taraf capaian. Taraf tersedia, iaitu jawatan diperoleh secara warisan, apabila seseorang pembesar meninggal dunia maka anak akan menggantikan tempatnya.Taraf capaian, pembesar yang dilantik kerana kehebatan dan ketokohan yang dimiliki oleh seseorang
Pembesar berperanan utama dalam politik
Mereka merupakan golongan yang memonopoli kuasa politik. Mereka juga berperanan dalam melantik raja/sultan, contoh di Negeri Sembilan, empat orang Undang (Undang Jelebu, Undang Sungai Ujong, Undang Rembau dan Johol) akan melantik Yam Tuan Besar Negeri Sembilan. Di Perak pembesar berkuasa melantik sultan dan mereka berpengaruh dalam menentukan perlantikan seseorang bakal sultan. Mereka boleh mengenepikan mana-mana bakal sultan yang tidak disukai, contoh Raja Yusuf gagal menjadi sultan kerana baginda gagal mendapat sokongan dan diketepikan oleh pembesar.
Membantu raja dalam pentadbiran
Pembesar berperanan membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri. Mereka mempunyai cop mohor sendiri., contoh di Kelantan pada masa pemerintahan Sultan Muhamad 1, baginda telah membentuk Jemaah Menteri yang terdiri daripada 7 orang pembesar untuk memudah dan melicinkan pentadbirannya. Di Johor Sultan Abu Bakar memperkenalkan satu perlembagaan berasaskan perlembagaan British. Menurut perlembagaan ini satu Jemaah Menteri yang dianggotai oleh pembesar telah dibentuk untuk memberi nasihat kepada sultan.
Pentadbir wilayah luar
Pembesar turut membantu sultan mentadbir kawasan-kawasan tertentu di luar wilayah. Kawasan ini dipanggil “pegangan” yang merupakan anugerah sultan kepada pembesar kerana jasa perkhidmatan cemerlang. Contoh Dato’ Bahaman dilantik sebagai pembesar Semantan, Tok Gajah dilantik mentadbir Puau Tawar.
Mengutip cukai
Pembesar berperanan dalam hal memungut cukai di kawasan pentadbirannya yang dipanggil kawasan pemakanan. Biasanya barang-barang itu dikenakan cukai 10% dan dibayar dengan barangan. Sebahagian daripada hasil cukai diberi kepada pemerintah, contoh di Perak, sultan berhak mengambil $ 6.00 dari setiap bahara (400 paun) bijih timah yang diekspot. Di Negeri Sembilan, Sungai Linggi menjadi kawasan pemungutan cukai terhadap bijih timah yang dibawa keluar dari sungai berkenaan sehingga menjadi rebutan di antara Dato’ Bandar dengan Dato’ Kelana.Terlibat dalam kegiatan ekonomi
Pembesar juga menjalankan kegiatan ekonominya sendiri seperti perlombongan bijih timah, pertanian dan berdagang. Ini menyebabkan di tempat-tempat tertentu pembesar lebih kaya daripada sultan, contohnya di Perak, Long Jaafar dan Ngah Ibrahim yang menguasai daerah Larut lebih kaya daripada sultan. Pembesar juga terlibat dalam kegiatan perdagangan dengan keizinan sultan. Mereka menjadi pengeluar modal. Perniagaan dan perdagangan pembesar diuruskan oleh wakil-wakilnya. Bagi mempastikan urusan perdagangan berjalan lancar pembesar akan menentukan timbangan dan sukatan yang betul.
Menjaga keamanan
Pembesar berperanan dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara, contohnya, Jemaah Menteri Peperangan di Kelantan menguruskan hal-ehwal peperangan, ketenteraan, pertahanan dan keamanan. Lembaga di Negeri Sembilan menjaga keselamatan dan keamanan kawasan anak buahnya. Pembesar juga memastikan penduduk di bawah jagaannya taat setia kepada Sultan. Pembesar juga berperanan dalam menjaga perairan daripada pencerobohan lanun, mengawasi perdagang-pedagang, menjaga kebajikan pedagang asing, menyediakan tempat perniagaan dan gudang untuk menyimpang barang.Perantara antara raja dengan rakyat
Pembesar juga berperanan sebagai penghubung antara sultan dengan rakyat. Segala masalah rakyat akan disampaikan kepada raja/sultan melalui pembesar dan begitu juga dengan titah sultan akan disampaikan kepada rakyat melalui pembesar.
Menyediakan tentera
Pembesar juga bertanggungjawab untuk menyediakan dan membekalkan ketenteraan untuk mempertahankan negara. Sultan tidak mempunyai tentera yang mana tentera untuk sebarang kegitan akan isediakan oleh para pembesar termasuklah untuk ekspidisi memperluaskan empayar jika ada.
Menjadi hakim
Pembesar juga berperanan dalam menjatuhkan hukuman dan mendenda dalam kes-kes jenayah di daerahnya. Pada masa itu tidak ada badan kehakiman bebas daripada pemerintah sebaliknya sultan dan pembesarlah yang mentadbir undang-undang. Pembesar boleh menjatuhkan semua jenis hukuman kecuali hukuman mati yang hanya boleh dijatuhkan oleh sultan.
Membekalkan tenaga kerja
Pembesar juga dikehendaki membekalkan tenaga buruh kepada raja seperti membina istana baru, membina kapal raja, membina panggung dan pentasa serta perhiasan istana untuk menyambut perayaan adat dan agama. Ini dilakukan melalui sistem kerah. Pembesar juga mengetuai kerja-kerja sosial seperti membina surau, masjid, balai raya, jambatan dan sebagainya. Pembesar juga berperanan dalam menjalankan adat istiadat di istana.
Kesimpulannya, pembesar memainkan peranan penting dalam bidang politik, ekonomi dan sosial sebelum campur tangan British.Namun selepas campur tangan British peranan pembesar mulai berubah. Pembesar tidak lagi memainkan peranan dalam pentadbiran British sebaliknya British melantik pegawai pemungut dan majisterit yang mengambil alih tugas dan peranan pembesar. Tindakan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembesar yang akhirnya membawa kepada penentangan terhadap British.