Karangan PT3- Contoh Karangan Syarahan Punca-Punca Berlakunya Gejala Buli dan Langkah-langkah Menanganinya
Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Dato' Syed Esa, Puan Hjh Rohanah bt Esmail, Yang dihormati Guru Penolong Kanan Petang Puan Kalsom bte Haron, barisan hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Asalamualaikum, salam sejahtera serta salam satu Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Berdirinya saya pada hari ini yang berbahagia ini,
adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk 'Punca-punca Gejala Buli di
Sekolah serta langkah-langkah menanganinya.
Sebelum saya meneruskan syarahan saya, ingin saya kemukakan satu soalan
iaitu , apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan rangkai kata 'gejala buli?
Hadirin yang dihormati sekalian,
Menurut Kamus Dewan, gejala buli membawa maksud
masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek,
menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap
pemangsanya.Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap
tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana
angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu
mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai
penyumbang kepada masalah kes buli ini.
Sebenarnya, antara punca berlakunya gejala buli ialah
kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang
terlibat. Agama Islam contohnya,
menggariskan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan
agama. Umpamanya, nilai
hormat-menghormati sesama manusia, kasih-sayang, belas kasihan, amanah,
bertanggungjawab dan sebagainya. Namun, mereka yang terlibat dalam gejala buli
ini tidak lagi menghayati dan mengamalkan suruhan agama. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk
mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain.
Ringkasnya, ketandusan nilai keagamaan dalam diri mereka menyebabkan gejala
buli ini semakin berleluasa.
Selain itu, ibu bapa juga menjadi punca berlakunya
gejala buli ini. Pada zaman yang serba
moden inil kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk
meningkatkan taraf kehidupan mereka. Hal
ini menyebabkan mereka kurang memberikan belaian kasih sayang, kemesraan dan
prihatian kapada anak-anak mereka. Contohnya, terdapat segelintir Ibu bapa yang
keluar bekerja seawal 6.30 pagi dan pulang lewat malam. Mereka tidak ada masa
untuk mengambil tahu perkembangan anak-anak terutama yang remaja. Tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak
diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah.
Justeru, kekurangan perhatian daripada ibu bapa turut menjadi punca
gejala buli ini.
Di samping itu, pengaruh rakan sebaya di sekolah juga
merupakan salah satu punca yang penting menyebabkan pelajar terlibat dalam
kegiatan membuli ini. Para pelajar yang
masih terlalu muda, dikatakan berumur setahun jagung dan berdarah setampuk
pinang sebahagian besarnya masih belum boleh berfikir dengan matang. Contohnya, mereka amat mudah terpengaruh
dengan tindakan rakan sebaya dan tidak dapat berfikir tentang baik buruknya
tindakan mereka itu. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut
juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli
kumpulannya. Jelaslah, rakan sebaya yang
menjadi orang penting dalam kehidupan remaja selain ibu bapa menjadi punca
gejala buli ini.
Bagaimana dengan pihak media massa? Seperti yang kita ketahui, media masa
terutamanya televisyen sering menayangkan filem-filem yang berunsur keganasan,
pergaduhan dan sebagainya. Filem dan
rancangan terutamanya dari barat dan Hong Kong jelas memaparkan unsur keganasan
seperti rancangan gusti, filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan jelas
membewa pengaruh buruk kepada remaja kita.
Pelajar meniru aksi yang disaksikan di televisyen untuk membuli
rakan-rakan mereka yang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan serta rakan seperjuangan
sekalian,
Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada
penyembuhnya’. Terdapat pelbagai langkah
drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.
Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah
harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam kurikulum di sekolah. Contohnya,
melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam,
Pendidikan Sivik dan sebagainya, ilmu tentang gejala-gejala negatif terutamanya
buli dan kesan-kesan buruknya perlu dimasukkan dalam sukatan. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa
perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan yang boleh menggelapkan masa
hadapan meeka. Pelajar juga didedahkan
dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan
cara-cara mengelakkan mereka daripada terbabit dalam kes buli ini.
Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti
buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke
semasa bagi menyedarkan para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala
buli. Pihak luar seperti NGO boleh
dipanggil untuk mengadakan pameran dan ceramah tentang gejala buli ini. Selain itu pihak sekolah sendiri boleh
menganjurkan aktiviti seperti kuiz, pidato dan sebagainya tentang kes buli dan
juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di
sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak
pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi
pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang
diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.
Seterusnya, yang paling penting ialah diri pelajar itu
sendiri. Para pelajar juga harus pandai
memilih kawan kerana kawan yang baik akan membawa mereka ke arah kebaikan dan
begitulah sebaliknya. Umpama berkawan
dengan penjual minyak wangi, secara tidak langsung badan kita juga akan
sentiasa wangi. Contohnya, jika berkawan dengan orang yang minat membaca buku,
maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan gemar membaca bersama-sama.
Oleh itu, jika pelajar mesti bijak memilih kawan, supaya tidak terjebak dalam
gejala buli di sekolah.
Di samping itu, para pelajar juga harus berganding
bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar
boleh menjadi mata dan telinga kepada para guru di sekolah. Contohnya jika para pelajar ternampak kes
buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli, mereka harus memberanikan diri
untuk melaporkan kepada guru disiplin atau pihak sekolah dengan segera agar
masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Memang tidak dapat dinafikan lagi, pihak sekolah turut
memainkan peranan penting untuk menangani gejala buli ini. Setiap laporan yang
diterima daripada guru atau pelajar mesti diambil tindakan dengan segara. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar
yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk
membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan
keluarnya. Pihak sekolah tidak harus berkompromi dengan kes buli malah harus
mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak
mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar
yang lain.
Tidak syak lagi, ibu bapa juga memainkan peranan yang
penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan
teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan
ibu bapa mereka. Ibu bapa juga perlu menunjukkan tingkah laku yang baik,
contohnya tidak bertengkar atau bergaduh di hadapan anak-anak , bergaul dengan
baik dan mesra ketika berurusan dengan jiran tetangga dan orang lain. Bak kata bidalan, bagaimana acuan, begitulah
kuihnya. Ibu bapa yang baik akan
melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.
Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam
kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus meluangkan masa dengan
anak-anak dan sentiasa mengambil berat tentang keadaan anak mereka semasa di
sekolah. Contohnya, pada hujung minggu atau cuti, ibu bapa boleh membawa
anak-anak bercuti untuk mempererat kemesraan keluarga. Perhatian dan belaian kasih sayang yang
sepenuhnya kepada mereka akan menyebabkan mereka tidak berasa sunyi dan
diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari
anak-anak mereka sejak kecil lagi seperti pepatah, melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Dengan ini anak-anak akan
menyayangi ibu bapa dan sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang
dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.
Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa,
impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan
berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang
ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin
semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting
dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu
‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah
sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini
walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini.
Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang
dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun jari
sepuluh dan memohon kemaafan jika ada kesilapan tutur kata semasa menyampaikan
syarahan saya tadi. Semoga apa yang
telah saya sampaikan sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada kita
semua. Akhir kata terimalah dua rangkap
pantun daripada saya.
Kalau ada jarum yang patah,
Jangan di simpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.
Padi muda jangan ditampi;
Padi huma si beras jati;
Generasi muda harapan pertiwi,
Didiklah mereka seikhlas hati.
Sekian. Terima
kasih