Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Konsep dan kaedah pemilihan khalifah pada zaman pemerintahan Khulafa’ Al-Rasyidin

Contoh Karangan Konsep dan kaedah pemilihan khalifah pada zaman pemerintahan Khulafa’ Al-Rasyidin



Pengenalan

Institusi khalifah sangat penting dalam sejarah pemerintahan Islam kerana ia merupakan lambang pembinaan sebuah negara Islam sebenar yang berpandu al-Quran dan sunnah. Sejarah khalifah bermula selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W iaitu apabila Abu Bakar as-Siddiq dilantik menjadi khalifah pertama, diikuti oleh tiga orang sahabat iaitu Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib.

Isi-isi penting :

a) Konsep Khalifah :

  • Istilah khalifah berasal daripada bahasa Arab bermaksud pengganti Nabi Muhammad S.A.W. Konsep khalifah merujuk kepada jawatan sebagai ketua negara Islam bagi menggantikan kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W selepas kewafatan baginda.
  • Pelantikan khalifah mengikut syarat-syarat tertentu iaitu seorang lelaki Islam, mempunyai istiqamah dalam akidah dan mengeluarkan pendapat, tidak cacat anggota yang boleh menghalang daripada menjalankan tugas serta mempunyai ilmu tinggi sama ada dalam bidang agama dan pentadbiran.
  • Ciri-ciri khalifah mestilah baik, warak dan mahir dalam ilmu keagamaan dan pentadbiran.
  • Proses pelantikan khalifah mestilah melalui Majlis Syura seperti pelantikan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq.

b) Kaedah Perlantikan :


i. Kaedah Perundingan :


  • Pemilihan khalifah pertama secara baiah atau sumpah setia merupakan pelantikan yang mendapat persetujuan orang ramai. Pemilihan secara terbuka di Sahifah Bani Saidah, perbincangan berhemah serta penerimaan masyarakat Madinah yang terdiri daripada golonganAnsar, Muhajirin dan Yahudi menunjukkan nilai-nilai demokrasi subur dalam pemilihan khalifah yang pertama. Malah pelantikan baginda turut dibaiah oleh masyarakat Madinah.

ii. Wasiat Khalifah Terdahulu :
  • Pemilihan secara wasiat memang dianjurkan Islam. Dalam pemilihan khalifah kedua kriteria berdasarkan ketokohan, kebolehan, berhikmah, bijaksana, takwa dan ciri-ciri lain yang terdapat dalam al-Quran diutamakan. Malah pelantikan khalifah Umar bin al-Kattab mendapat persetujuan sebulat suara ahli syura dan kemudian rakyat secara sukarela telah memberi baiah atau taat setia kepadanya.

iii. Kaedah Musyawarah :
  • Pemilihan dan pelantikan khalifah melalui Majlis Pelantikan Khalifah. Khalifah Umar bin al-Kattab telah menubuhkan Majlis Pelantikan Khalifah bertujuan mencari pengganti khalifah ketiga. Majlis ini dianggotai oleh Abdul Rahman bin Auf sebagai ketua dan ahli majlis yang lain. Jawatan kuasa ini telah menemuramah setiap calon dan mendapat pandangan masyarakat Madinah sebelum membuat sebarang pemilihan dan pelantikan. Cara pelantikan ini menunjukkan demokrasi dipraktikkan dalam pemilihan dan pelantikan khalifah.

iv. Perlantikan secara desakan sekumpulan masyarakat Islam :
  • Pelantikan khalifah Ali bin Abi Talib dianggap tidak demokratik oleh penduduk Syam dan Bani Umayyah yang memang menentang pelantikan ini.
  • Dari sudut pandangan yang lain pelantikan secara paksa wajar dilakukan kerana negara dalam keadaan tidak stabil dan memerlukan seorang yang tegas dan berwibawa dalam mengembalikan keamanan dan perpaduan ummah. Justeru, pemilihan dan pelantikan Khalifah Ali memang demokratik kerana Ali bin Abi Talib memenuhi kriteria dan keadaan darurat tersebut. Malah beliau juga mendapat sokongan penduduk Hijaz, Basrah dan Kufah. Anggota Majlis Syura juga tidak menentang pemilihan tersebut.

Kesimpulan:
  • Khalifah mempunyai tanggungjawab yang besar yang diamanahkan oleh rakyat terhadapnya. Oleh itu seseorang khalifah yang hendak dipilih sepatutnya memiliki keupayaan dan kemampuan dalam pelbagai aspek terutamanya keagamaan dan kemahiran mentadbir.
  • Pelantikan khalifah dijalankan dengan pelbagai cara. Namun, ciri-ciri demokrasi tetap diamalkan oleh masyarakat Islam pada setiap pelantikan.