Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

IPTS dapat memberi pelbagai kesan kepada negara


Kini negara kita memiliki 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang Cuma boleh menampung kira-kira 130,000 orang pelajar. Menyedari keterhadan peluang belajar di IPTA, kerajaan telah bersetuju dan membenarkan IPTS diwujudkan di negara kita. Kewujudan IPTS yang bagaikan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ ini membaca pelbagai kesan positif dan negatif kepada kita.


Antara kesan positif yang timbul ekoran m\penuhan IPTS ialah memberi peluang belajar di peringkat tinggi kepada mereka yang gagal ke IPTA. Dengan adanya 547 buah IPTS di seluruh negara, peluang pendidikan tinggi bagi semua rakyat adalah terjamin. Mereka boleh memilih bidang kursus dan IPTS yang diminati sama ada di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Multimedia (UMM), Universiti Petronas, Universiti Telekom (Unite!) atau banyak lagi. Ekoran itu, tidak timbul lagi soal cemburu atau prejudis kelompok tertentu kepada kelompok yang lain dalam soal pendidikan tinggi.

Selain itu, penubuhan banyak IPTS dalam negara juga dapat meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh para pelajar yang sebelum ini terpaksa ke luar negara untuk belajar. Pertukaran ringgit Malaysia yang hampir enam kali ganda lebih rendah daripada pound sterling di England, misalnya pasti memberi kesan besar kepada pelajar yang menuntut di sana. Dengan adanya peluang belajar di IPTS tempatan, mereka bukan sahaja dapat menjimatkan kos pengajian, bahkan dapat menyelamatkan pengaliran keluar mata wang negara ke negara asing. Secara tidak langsung, IPTS telah menyelamatkan Malaysia kerugian dari segi pertukaran wang asing.

Salah satu kesan positif penubuhan IPTS di negara kita terserlah melalui kemunculan lebih ramai golongan profesional dalam pelbagai bidang. Ini termasuklah arkitek, akauntan, doktor, peguam dan lain-lain. Kemunculan golongan profesional ini akan menjamin negara kita mencapai kemajuan dalam semua aspek. Dengan masyarakat yang berilmu, negara kita akan menjadi kuat dan teguh dari segi politik, ekonomi mahupun sosial. Keteguhan akan menjamin negara kita tidak akan dijajah lagi. Kebebasan yang kita peroleh ini membolehkan kita menapak menuju tamadun mengikut acuan kita sendiri.

Walau bagaimanapun, wujud banyak kesan negatif ekoran penubuhan IPTS di negara kita. Salah satu daripadanya ialah IPTS telah membelakangkan penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan. Mengikut Akta Pendidikan 1996, semua IPTS dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran. Akta ini bukan sahaja menyebabkan IPTS mengutamakan bahasa Inggeris dalam pengajaran bahkan tidak mensyaratkan calon-calon yang memohon untuk ke IPTS menguasai bahasa Melayu dengan baik. Langkah ini dianggap bertentangan dengan amalan sebelum ini yang mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah dan syarat untuk mendapatkan sijil di peringkat menengah. Justeru, penubuhan IPTS menyebabkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara telah diremehkan penggunaannya.

Ketidakseimbangan dari segi penghasilan tenaga profesional berdasarkan ras juga akan berlaku menerusi penubuhan IPTS. Hal ini boleh berlaku kerana daripada kira-kira 170 000 tempat di IPTS, pelajar bumiputera cuma mengisi antara 10 hingga 15 peratus sahaja tempat yang disediakan. Hasilnya, golongan profesional bumiputera akan tenggelam oleh limpahan profesional ras-ras yang lain. Hal ini akan menyebabkan timbul rasa tidak senang hati antara kaum apabila pemilikan kekayaan negara menampakkan jurang. Jurang ini boleh menanamkan bibit kebencian antara kaum yang berpotensi mencetuskan rusuhan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969.

Kesimpulannya, penubuhan IPTS di negara kita adalah perlu sebagai alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Namun, penubuhan IPTS ini seharusnya tidak mengundang unsur-unsur negatif yang boleh menggoncangkan perpaduan. Kita tidak mahu kewujudan IPTS ini menyebabkan ada golongan tertentu yang kalah dan ada pula yang menang.