Contoh
Ucapan
Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan. Yang Berusaha, Encik Abdul Rahman bin Hassan, Pengetua Sekolah Menengah Sri Delima; dif-dif kehormat; guru-guru; para pelajar; dan hadirin yang budiman. Tajuk ucapan saya pada pagi ini ialah cara untuk memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajar.
Para
pelajar sekalian,
Ekoran
kemajuan sains dan teknologi, terciptalah pelbagai alatan yang memudahkan
urusan harian manusia. Penciptaan kenderaan canggih membolehkan sesiapa sahaja
bergerak ke sana ke sini dalam masa yang singkat. Penemuan kaedah rawatan moden
pula telah membantu pihak perubatan mengesan dan merawat penyakit dengan lebih
berkesan. Walaupun kepentingan sains dan teknologi diakui, namun kesedaran orang
ramai, khususnya pelajar tentang perkara ini masih kurang. Sehubungan dengan
itu, usaha untuk memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajar
perlu dilakukan.
Bagi
mencapai matlamat tersebut, ibu bapa hendaklah memperkenalkan “dunia sains dan teknologi”
kepada anak-anak. Selain memberitahu anak-anak tentang kepentingan budaya sains
dan teknologi dalam kehidupan era moden, ibu bapa seharusnya membawa anak-anak
mengunjungi pameran sains dan teknologi yang sering diadakan. Tujuannya adalah
untuk menanam minat anak- anak terhadap sains dan teknologi sejak awal lagi.
Bagi anak-anak yang menunjukkan minat mereka terhadap bidang ini, galakan
hendaklah diberikan agar minat tersebut dapat disuburkan.
Sesetengah
pelajar beranggapan bahawa Sains merupakan mata pelajaran yang sukar
dipelajari. Oleh hal yang demikian, fobia terhadap mata pelajaran Sains perlu
dihilangkan dalam diri pelajar. Di sekolah, Unit Bimbingan dan Kaunseling harus
mengadakan ceramah untuk membetulkan tanggapan tersebut. Kesedaran tentang hal
ini juga perlu diberikan kepada ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG). Selain itu, pelajar yang telah berjaya dalam bidang tersebut boleh
diundang untuk memberikan penjelasan kepada pelajar tentang perlunya budaya
sains dan teknologi pada era globalisasi. Langkah ini penting untuk membina
keyakinan dalam diri pelajar bahawa sains dan teknologi mampu dipelajari oleh
sesiapa sahaja.
Pelajar-pelajar
yang saya kasihi,
Di
sekolah, guru mata pelajaran Sains hendaklah memberikan penekanan kepada aspek
amali dan penyelidikan, di samping penekanan terhadap teori. Selain itu,
pertandingan reka cipta sains perlu diadakan dari semasa ke semasa. Aktiviti
ini penting untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti pelajar. Ganjaran yang
setimpal perlu disediakan untuk menarik lebih ramai pelajar mengambil bahagian.
Usaha ini dipercayai dapat meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan
teknologi, sekali gus memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan
generasi muda di negara ini.
Seterusnya,
institusi pengajian tinggi pula hendaklah menawarkan lebih banyak kursus yang
berkaitan dengan sains dan teknologi. Dengan berbuat demikian, lebih ramai
pelajar berpeluang untuk mengikuti pengajian dalam bidang tersebut. Pada masa
yang sama, pihak institusi yang berkenaan hendaklah menyediakan kemudahan
pembelajaran sains dan teknologi yang mencukupi untuk membolehkan pelajar
mengikuti pengajian dengan berkesan. Di samping itu, insentif kepada pelajar
yang cemerlang dalam bidang tersebut wajar diberikan sebagai pendorong agar
pelajar berusaha untuk menguasai bidang tersebut. Oleh hal yang demikian, pihak
institusi pengajian tinggi harus memikirkan pelbagai kaedah untuk menarik minat
generasi muda dalam bidang sains dan teknologi.
Di
samping itu, Kementerian Pendidikan mengadakan Kempen Budaya Sains dan
Teknologi dalam kalangan pelajar. Sehubungan dengan itu, wacana ilmu yang
berkaitan dengan bidang sains dan teknologi telah diadakan dari semasa ke
semasa. Sebagai contoh, aktiviti forum dan wawancara tentang sains dan
teknologi diadakan sepanjang pelaksanaan kempen itu. Selain itu, peraduan
menulis esei, pidato, melukis poster, dan mencipta puisi yang bertemakan sains
dan teknologi telah diadakan khusus untuk pelajar sekolah. Kempen yang berterusan
ini diyakini dapat memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan generasi
muda di negara ini.
Pelajar
yang budiman,
Sesungguhnya,
bidang sains dan teknologi banyak mendatangkan faedah kepada kehidupan manusia.
Pelajar hendaklah memantapkan ilmu dalam bidang ini. Selain itu, kesedaran
semua pihak tentang kepentingan sains dan teknologi amatlah penting. Dengan
adanya kesedaran sedemikian, usaha pemupukan budaya sains dan teknologi dalam
kalangan pelajar akan mencapai matlamatnya. Akhir kata, sama-samalah kita
memainkan peranan dalam memartabatkan bidang sains dan teknologi demi kemajuan
negara.
Sekian
sahaja ucapan saya, terima kasih.