Karangan SPM- Contoh Karangan Kesan Penggunaan Telefon Bimbit Dalam Kalangan Pelajar
Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi
ini, penggunaan telefon bimbit meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan
disebabkan keperluan dan kemampuan setiap individu untuk memilikinya. Tidak
terlepas juga dalam kalangan pelajar yang mempunyai telefon bimbit
masing-masing hasil pembelian mereka sendiri atau hadiah daripada ibu bapa
mereka. Polemik yang timbul hari ini adalah kesan-kesan penggunaan telefon
bimbit dalam kalangan pelajar. Setiap perkara terutamanya teknologi hari ini pasti
memberikan impak positif dan negatif. Pucuk pangkalnya ia bergantung kepada
individu terbabit untuk memanfaatkan kesan positif daripada penggunaan
teknologi tersebut atau merugikan masa dengan implikasi negatif yang diterima.
Pada hemat saya, penggunaan telefon bimbit dalam
kalangan pelajar meninggalkan kesan positif yang lebih banyak berbanding kesan
negatif. Ini disebabkan jika kita lihat kembali objektif ciptaan telefon adalah
untuk memudahkan komunikasi antara satu sama lain. Justeru, jika pelajar
menggunakan telefon untuk berhubung dengan rakan-rakan atau guru berkenaan
aktiviti persekolahan ia adalah lebih mudah dan cepat. Selain itu, jika berlaku
kecemasan di sekolah atau diluar sekolah penggunaan telefon bimbit oleh pelajar
adalah mustahak bagi memastikan keselamatan diri terjamin. Malahan kini banyak
applikasi telefon pintar yang membolehkan ibu bapa mengesan kedudukan anak-anak
mereka supaya mereka tahu di mana anak-anak mereka berada. Natijahnya,
kemudahan menyampaikan maklumat dengan ringkas dan cepat hasil penggunaan
telefon bimbit adalah baik bagi menguruskan diri dan masa pelajar terutamanya
dalam hal berkaitan persekolahan, keselamatan dan keluarga.
Di samping itu, kemudahan mencari maklumat dihujung
jari menggunakan telefon bimbit wajar untuk dimanfaatkan oleh para pelajar.
Dengan jaringan atas talian yang semakin maju dan murah untuk dimiliki, pelajar
boleh menggunakan telefon bimbit untuk melayari jalur lebar dan mencari
maklumat tambahan berkenaan mata pelajaran yang dikehendaki. Pelbagai
alternatif pembelajaran secara atas talian yang wajar untuk dimanfaatkan oleh
pelajar hari ini. Contohnya, guru-guru menggunakan aplikasi Youtube sebagai
medium pengajaran interaktif bersama pelajar. Ini disebabkan oleh variasi
kandungan yang telah dimuatnaik sebagai video yang mampu menarik perhatian dan
fokus pelajar terhadap seusatu perkara. Maka, pelajar juga mampu melakukan
pembelajaran secara bersendirian di rumah dengan memanfaatkan aplikasi-aplikasi
pembelajaran yang ditawarkan atas talian. Lantaran itu, penggunaan telefon
bimbit yang efisen dapat membawa implikasi positif kepada penggunanya
terutamanya dalam kalangan pelajar.
Jika disingkap dari sudut yang berbeza, pelajar yang
menggunakan telefon bimbit dengan kerap mudah terleka dengan permainan dan
hiburan yang mereka peroleh di atas talian. Kita tidak boleh nafikan pelajar
juga memerlukan hiburan bagi mengurangkan tekanan dalam pembelajaran tetapi ia
perlu dikawal. Ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam memastikan
pelajar yang menggunakan telefon bimbit dengan kerap tidak mengabaikan
pencapaian akademik mereka. Terdapat kes di mana pelajar lebih gemar bermain
aplikasi permainan secara maya dan juga hanyut dalam penggunaan sosial media
sehingga menjejaskan pembelajaran mereka. Ibu bapa boleh memberikan tempoh masa
kepada anak-anak untuk bermain telefon bimbit mereka. Sebagai contoh
peruntukkan selama satu jam untuk belajar dan tiga puluh minit untuk bermain
permainan di telefon bimbit. Pendekatan ini mampu memberikan hasil yang baik
kepada pelajar kerana pembahagian masa yang seimbang dapat dicapai.
Seterusnya, apabila menggunakan telefon bimbit dengan
kerap, pelajar akan terdedah dengan masalah kesihatan. Secara fizikal, mata
kita akan terdedah dengan pencahayaan yang lebih banyak dan kompleks apabila
kita menggunakan telefon bimbit dalam tempoh yang lama. Maka pelajar berpotensi
untuk rabun dan akan mengalami keletihan mata mengakibatkan mereka susah untuk
fokus pada pembelajaran di sekolah. Selain itu, penggunaan media sosial di
telefon bimbit boleh menjejaskan kesihatan mental pelajar. Sebagai contoh,
pelajar boleh melihat selebriti yang mempunyai kemampuan yang lebih daripada
kemampuan keluarga mereka dan menimbulkan perasaan cemburu kerana mereka tidak
dapat apa yang mereka mahukan. Perkara ini perlu dibendung dan hubungan yang
baik dan intim dalam keluarga kerana ia penting bagi mewujudkan sifat keluarga
bahagia tanpa mengira kemampuan dan kemewahan orang lain. Sebaliknya pelajar
yang harus berazam dan berusaha untuk memberikan kemampuan yang lebih baik
kepada ahli keluarga apabila menjelang dewasa nanti. Tuntasnya, penggunaan
telefon bimbit dalam kalangan pelajar wajar dipantau oleh ibu bapa dan
berinteraksi sekiranya timbul persoalan mengenai kehidupan masing-masing.
Intihannya, pelbagai kesan yang akan menimpa para
pelajar yang menggunakan telefon bimbit. Ianya terpulang kepada pelajar dan ibu
bapa dalam membantu mereka etika dan cara memanfaatkan kemudahan teknologi hari
ini demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pelajar seyogianya
perlu memanfaatkan kebaikan dan mengelakkan keburukan penggunaan telefon bimbit
kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Telefon
bimbit adalah salah satu teknologi yang terhasil daripada perkembangan pendidikan
manusia hari ini. Sudah pasti di masa akan datang pelbagai lagi teknologi yang
akan dihasilkan bagi memberi kemudahan kepada manusia dan ia memberikan kita
pilihan samada untuk memanfaatkannya atau tidak. Semoga setiap anggota
masyarakat bertanggungjawab mendidik orang sekeliling terutamanya para pelajar
agar sentiasa mencari perkara yang baik supaya kesejahteraan dan kemajuan
negara terjamin.