Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Karangan Kelebihan Pendidikan Dalam Talian

Karangan SPM- Contoh Karangan Kelebihan Pendidikan Dalam Talian, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)

 

Dasawarsa ini, penggunaan gajet seperti telefon pintar, komputer riba dan tablet menjadi kewajipan bagi segenap manusia. Evolusi teknologi yang pesat membangun telah banyak merubah cara hidup manusia pada hari ini. Misalnya, penggunaan surat telah digantikan dengan emel yang hanya menggunakan alam maya untuk berhubung dan perkhidmatannya adalah percuma. Kemajuan yang dikecapi manusia pada hari ini menjadi satu bukti bahawa kita hendaklah terus berevolusi untuk memanfaatkan teknologi. Hal ini kerana tamadun yang maju adalah tamadun yang sentiasa menambah baik kehidupan mereka khususnya anggota masyarakat agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Antara sektor yang perlu meraikan penggunaan teknologi masa kini dan meninggalkan cara konvensional adalah sektor pendidikan. Maka, wajar untuk kita bincangkan apakah kelebihan pendidikan secara maya atau pengajaran & pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian?

 

Pendidikan secara dalam talian dapat membantu guru untuk menyampaikan ilmu dengan cara yang lebih mudah serta interaktif buat para pelajar. Berbeza dengan pembelajaran secara bersemuka, pendidikan maya memerlukan guru dan pelajar berinteraksi melalui tablet, komputer atau telefon. Guru-guru perlu menyediakan bahan pembelajaran secara video dan mengajar melalui webinar atau panggilan video kepada anak muridnya. Kita akui, cara ini kurang memberikan kepada pelajar khususnya kanak-kanak yang memerlukan pembelajaran secara bersemuka. Tetapi, guru boleh menggunakan video interaktif yang terdapat secara percuma di Internet. Pelajar juga boleh mencari sumber pembelajaran yang lebih banyak berbanding hanya bergantung kepada buku teks. Malah, terdapat banyak aplikasi seperti quiz yang dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian untuk guru dan pelajar. Bak kata pepatah Melayu, laut yang ditimba tidak akan kering. Selagi kita ada kemahuan untuk mencari dan menyampaikan ilmu, pasti ada jalan yang terbaik untuk kita mengecapi niat murni itu.

 

Dari sudut pandang yang lain, pendidikan secara maya dapat memberi keselesaan atau suasana yang kondusif kepada pelajar dan guru. Jika di sekolah, pelajar perlu memakai pakaian seragam yang bagus untuk mendisiplinkan mereka tetapi apabila di rumah, pelajar tidak perlu untuk berpakaian seragam dan hanya memakai pakaian mengikut keselesaan mereka. Selain itu, pendidikan secara maya di rumah membolehkan pelajar untuk fokus dengan lebih baik kerana kurang gangguan daripada pelajar atau raka sekelas. Tapi realitinya, masih ramai pelajar di luar bandar yang ssukar untuk mengikuti pendidikan secara maya. Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah melakukan tindakan untuk meningkatkan infrastruktur Internet di seluruh negara agar pendidikan secara maya ini dapat dinikmati oleh segenap penduduk di Malaysia.

 

Kelebihan lain pendidikan secara maya adalah ia dapat meningkatkan kemahiran teknologi dalam kalangan guru dan juga pelajar. Umum mengetahui, pendidikan secara maya memerlukan kemahiran teknologi pelajar untuk akses masuk ke dalam aplikasi pembelajaran dalam talian. Pelajar perlu mendapatkan talian Internet yang stabil untuk melalui proses pendidikan maya secara lancar. Di waktu negara kita menghadapi pandemik COVID-19, kita dapat menyaksikan guru-guru menggunakan pelbagai kaedah khususnya penggunaan teknologi untuk menyampaikan pengajaran kepada murid-murid. Situasi ini telah membuatkan warga pendidik untuk berfikir di luar kotak dan menghasilkan bahan pengajaran yang terbaik menggunakan teknologi yang ada. Intihannya, pendidikan secara maya dapat meningkatkan kemahiran teknologi dalam kalangan guru serta pelajar secara langsung atau tidak langsung.

 

Akhir sekali, kelebihan pendidikan secara dalam talian ialah memudahkan pelajar untuk mengulang kaji pelajaran. Contohnya, pelajar boleh melihat semula rakaman pengajaran guru sekiranya mereka tidak memahami atau ingin mengulangkaji pelajaran. Situasi ini adalah satu kelebihan jika dibandingkan dengan pendidikan secara bersemuka kerana pelajar mungkin berasa malu dan takut untuk bertanyakan kepada guru. Tambahan pula, pelajar dapat mengakses pelbagai bahan pembelajaran yang terdapat di Internet untuk mengulang kaji dan tidak bergantung kepada buku teks sahaja. Pembelajaran yang interaktif ini sedikit sebanyak dapat membuka minda dan ruang kreatif pelajar dalam mendapatkan ilmu pengetahuan dan menambah kemahiran diri mereka. Natijahnya, pendidikan secara maya banyak membantu pelajar untuk tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung kerana penggunaan tekcnologi akan menjadi satu perkara penting di masa kini dan akan datang.

 

Kesimpulannya, pelbagai kelebihan yang diperoleh sekiranya guru atau pelajar melaksanakan pendidikan secara maya. Seperti yang saya bincangkan, masih terdapat jurang di kawasan luar bandar yang tidak mampu untuk menikmati pendidikan dalam talian dengan baik. Justeru, kerajaan hendaklah berganding bahu dengan pembekal perkhidmatan talian Internet untuk memastikan liputan Internet di Malaysia ditingkatkan dan berada di tahap yang terbaik. Pandemik Covid-19 menjadi satu bukti bahawa kita perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dalam mendepani apa jua situasi agar pendidikan anak-anak kita terjamin. Seterusnya memastikan generasi akan datang yang mewarisi barisan kepimpinan negara dapat menjadi lebih baik dan membawa negara yang maju ke persada dunia.