Menjelang abad ke-21, apabila masyarakat kita semakin
maju, kita dapati bahawa tapak bumi ini telah menjadi mangsa dalam arus permodenan
ini. Sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat mengenai isu pencemaran alam
sekitar iaitu pencemaran air, udara dan darat. Antaranya, isu jerebu yang
mengancam negara kita sejak beberapa tahun kebelakangan telah menjadi topik
hangat yang dibincang dari kedai kopi hingga ke parlimen. “Kalau
tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang”. Sikap manusia zaman
moden yang asyik mengejar fata morgana sehingga mengabaikan isu pencemaran alam
sekitar, merupakan faktor yang menyebabkan keadaan ini semakin merosot.
Sekiranya keadaan ini dibiarkan, manusialah yang akan menerima padahnya pada
suatu hari nanti. Memandangkan keadaan ini, maka pelbagai langkah drastik
perlulah diambil sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah langkah
yang boleh diambil untuk mengatasi pencemaran alam sekitar? Jawapannya
terletak pada kita semua. Tidak kira siapa, yang pastinya semua pihak
mempunyai tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini.
Pepatah Melayu ada mengatakan “tiada penyakit yang
tiada penawarnya”. Usaha untuk mengatasi pencemaran alam sekitar
ini sepatutnya dimulakan daripada institusi keluarga. Dalam hal ini, ibu
bapa memainkan peranan yang sangat penting. Mereka sebagai orang terdekat
kepada anak-anak sepatutnya mendidik mereka untuk menghargai dan mencintai alam
sekitar sejak dari kecil lagi. Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu
yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa haruslah
sentiasa mendedahkan anak-anak tentang isu-isu pencemaran alam sekitar yang
terkini untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan menjaga alam
sekitar. Mendidik sahaja tidak cukup, ibu bapa juga harus menjadi teladan
kepada anak-anak mereka. Contohnya, mereka tidak sepatutnya membuang
sampah di merata-rata tempat dan melakukan pembakaran terbuka yang boleh
mencemarkan udara. Dalam hal ini, sikap seperti ketam mengajar anaknya
berjalan betul tidak harus diamalkan oleh ibu bapa, iaitu mengajar anak menjaga
kebersihan alam sedangkan mereka sendiri tidak berbuat demikian.
Sebaliknya, jika ibu bapa sendiri menjadi teladan, maka anak-anak juga akan
terpengaruh dan terikut-ikut sikap ibu bapa. Dengan ini, nescaya
pencemaran alam sekitar akan dapat diatasi.
Sekolah dapat diibaratkan sebagai rumah kedua kepada para
pelajar. Oleh itu, pihak sekolah juga berperanan besar dalam usaha
mengatasi pencemaran alam sekitar. Antara langkah yang boleh dilakukan
oleh pihak sekolah termasuklah mengadakan kem kesedaran untuk memupuk semangat
cinta akan alam sekitar dalam kalangan para pelajar. Melalui mata
pelajaran seperti Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral,
pendidikan alam sekitar secara langsung dapat diberi kepada para pelajar.
Contohnya, guru-guru boleh memberi tugas tertentu kepada pelajar seperti
meminta mereka mencari artikel-artikel yang berkaitan dengan isu pencemaran
alam sekitar dan menyuruh mereka membaca artikel tersebut di dalam kelas.
Secara tidak langsung, mereka dapat disedarkan tentang kesan buruk yang dibawa
oleh pencemaran alam sekitar. Dengan wujudnya kesedaran ini, barulah
mereka akan mencurahkan usaha untuk menjaga alam sekitar ini. Semasa di
sekolah, usaha ini juga boleh dilakukan melalui penubuhan Kelab Alam
Sekitar. Tamsilnya, Kelab Alam Sekitar boleh mengadakan pelbagai program
seperti ceramah dan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah dengan tujuan
mendedahkan pelajar dengan aktiviti alam sekitar secara intensif.
Lantaran itu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa usaha pihak sekolah
juga dapat membantu mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.
Perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik juga
merupakan salah satu langkah yang dapat mengatasi masalah pencemaran alam
sekitar dengan efektif. Masyarakat perlulah mempraktikkan program 3R
dalam kehidupan seharian iaitu program yang dikenali sebagai ‘Reduce,
Reuse, Recycle’. ‘Reduce’ ialah usaha mengurangkan
penggunaan bahan sumber yang terhad. Dalam erti kata lain, masyarakat
haruslah berjimat cermat dalam menggunakan bahan sumber yang saban hari kian
berkurangan seperti petroleum dan arang batu. ‘Reuse’ pula
ialah usaha menggunakan semula bahan-bahan buangan secara terus atau mengubah
fungsi bahan tersebut dengan mereka cipta barangan baru. Hal ini
dilakukan untuk menjimatkan bahan sumber sekali gus mengurangkan sampah sarap
yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Dalam pada itu,
masyarakat perlu mempraktikkan amalan kitar semula iaitu mengguna semula bahan
baru. Contohnya, masyarakat boleh menjual surat khabar dan majalah lama
untuk dikitar semula. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan sampah
malah dapat menjimatkan kos untuk pelupusan sampah. Bak kata pepatah,
berjimat sebelum kena, ingat sebelum habis. Oleh itu, masyarakat haruslah
sentiasa peka terhadap isu-isu pencemaran alam sekitar untuk mengelakkan
pencemaran daripada menjadi semakin serius.
Dalam pada itu, statistik menunjukkan bahawa pencemaran alam
sekitar kebanyakannya berpunca daripada pengeluaran asap ke udara dan sisa-sisa
toksik ke dalam sungai. Menyedari kesan-kesan negatif yang dibawa oleh
pencemaran alam ini, pihak berkuasa telah menguatkuasakan undang-undang untuk
menangani masalah yang dibaratkan sebagai duri dalam daging negara yang sedang
membangun. Dengan ini, kabinet telah memutuskan bahawa hukuman mandatori
lima tahun penjara terhadap Ketua Pegawai Eksekutif dan presiden sesebuah
syarikat yang melanggar undang-undang alam sekitar. Mereka akan diberi
amaran terlebih dahulu dan surat yang berkaitan dengan larangan melepaskan asap
hitam dan sisa toksik. Namun, jika keadaan mencurahkan air ke daun keladi
berlaku, tindakan yang tegas akan dikenakan terhadap mereka seperti yang
diputuskan oleh kabinet. Pengusaha-pengusaha kilang haruslah menapis asap
hitam dan menggunakan alternatif lain untuk menghapuskan sisa-sisa toksik
kilang. Mereka tidak harus mengorbankan alam sekitar demi kesenangan
diri. Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkuasa untuk mendakwa pihak yang
mencemarkan alam sekitar dan disyaki menjejaskan kualiti alam sekitar.
Dengan itu, diharapkan pencemaran alam sekitar dapat diatasi dengan
penguatkuasaan akta dan undang-undang alam sekitar.
Kesimpulannya, masalah pencemaran alam sekitar di negara
kita haruslah ditangani dengan segera dan usaha ini memerlukan kerjasama padu
daripada semua pihak. Alam sekitar telah dianugerahkan dan diamanahkan
oleh Tuhan kepada manusia. Manusia haruslah menjaganya dengan penuh
tanggungjawab kerana alam sekitar tidak sepatutnya dikorbankan dalam arus
pemodenan dan pembangunan sesebuah negara. Seandainya masalah ini dibiarkan,
kesannya akan memudaratkan manusia itu sendiri walaupun hidup dalam
kemewahan. Adakah pemodenan negara lebih penting daripada keindahan alam
sekitar? Adakah kita menginginkan kemewahan hidup semata-mata tanpa
mengharapkan kesihatan? Tepuk dada tanyalah selera. Dengan itu,
penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar daripada pencemaran memerlukan
kerjasama, kesedaran dan keprihatinan daripada setiap lapisan masyarakat.
Mudah-mudahan generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan kelestarian
alam sekitar yang dianugerahkan kepada manusia.