Karangan SPM- Contoh Karangan Punca-Punca Pencemaran Alam Sekitar
Dalam meniti kerancakan arus pemodenan pada era
pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda ini
telah membuatkan kita alpa akan tanggungjawab kita menghargai serta memelihara
keindahan alam semula jadi. Dewasa ini, kita boleh lihat hampir setiap hari
buletin di televisyen menyiarkan bencana-bencana alam yang menimpa manusia
tidak kira di dalam mahupun luar negara. Jadi adakah kita sedar bahawa
sebahagian daripada musibah ini berpunca daripada kegagalan kita menjaga
habitat alam yang kita diami bertahun-tahun lamanya. Alam sekitar yang
dahulunya merimbun memayungi lapisan bumi semakin lenyap dek kerakusan manusia.
Oleh itu, rasionalnya untuk kita mengupas apakah dalang yang menyebabkan
pencemaran ini berlaku dan menjadi semakin berleluasa mutakhir ini.
Punca utama dalam berlakunya pencemaran ini adalah
sikap tidak bertanggungjawab individu mahupun sesebuah organisasi dalam
pencemaran. Sebagai contoh, aktiviti ekonomi seperti pembukaan kawasan
perumahan dan perindustrian yang baru diperlukan tetapi, ekosistem sesebuah
kawasan tersebut perlu dipelihara. Penebangan hutan dan penarahan bukit tanpa
ada tindakan pemuliharaan seperti penanaman semula pokok telah menyebabkan
flora dan fauna kehilangan habitat mereka. Hal ini menyebabkan berlaku bencana
seperti tanah runtuh dan banjir kilat kerana ketiadaan pokok-pokok yang selama
ini menjadi tunjang utama kekuatan tanah di kawasan tersebut. Justeru, kekayaan
yang kian mengaburi mata-mata orang yang tidak prihatin akan alam semula jadi
ini harus dibukakan mata dan ditunjukkan kesan dan akibat sekiranya pencemaran
ini berlaku dan meniggalkan kesan terhadap diri mereka sendiri.
Dalam pada itu, penguatkuasaan undang-undang yang
lemah juga antara punca berlakunya pencemaran yang semakin menjadi-jadi hari
ini. Peranan pihak berkuasa dilihat semakin kurang dan pemantauan yang tidak
konsisten menyebabkan ramai individu yang tidak bertanggungjawab membuat onar
dan mengendahkan kedaulatan undang-undang. Intergriti pihak berkuasa perlu
dipersoalkan lantaran kes-kes penerimaan rasuah yang dikaitkan dengan
penjawat-penjawat awam. Hal ini berlaku kerana tekanan ekonomi dan sikap tidak
bertanggungjawab individu yang menawarkan wang haram tersebut hanya kerana
ingin melepaskan diri daripada tindakan undang-undang. Pihak kerajaan
sewajarnya lebih menumpukan perhatian dalam bab kebajikan pegawai-pegawai yang
bertugas menegakkan kedaulatan undang-undang negara.
Pada masa yang sama, antara dimensi lain yang
menyebabkan pencemaran ini adalah kelonggaran dasar atau polisi kerajaan dalam
kepentingan alam sekitar. Kerajaan telah mengimplementasikan Akta Kualiti Alam
Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan yang bertujuan mencegah, menghapus,
mengawal pencemaran serta memperbaiki kualiti alam sekeliling dan daripada
pencemaran meliputi pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut, namun
pencemaran masih berlaku secara berleluasa. Bak kata peribahasa Melayu, seperti
melepaskan batuk ditangga yang bermaksud perlakuan kerja yang dilakukan secara
sambil lewa. Jikalau kita lihat, kepupusan haiwan semakin menjadi-jadi,
pembangunan secara lestari tidak dilaksana sehinggakan berlaku pencemaran yang
memakan diri. Misalnya, kejadian yang berlaku di Pasir Gudang, Johor di mana
kawasan perindustrian dibina hampir dengan kawasan perumahan dan sekolah dan
pencemaran udara yang teruk telah melanda dan mengakibatkan sekolah ditutup dan
kanak-kanak dihantar ke hospital. Harapan yang tinggi untuk pihak kerajaan hari
ini mengutamakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di samping memacu
ekonomi negara ke arah kegemilangan.
Selain itu, punca pencemaan alam sekitar adalah
penggunaan sumber tenaga yang mencemarkan alam seperti diesel dan bahan bakar
yang lain. Faktor perindustrian dan pengangkutan yang bergantung pada bahan
bakar petrol dan diesel menyumbang kepada pencemaran udara dan bunyi. Gas-gas
karbon dioksida yang dilepaskan ke udara oleh kenderaan bermotor seperti
kereta, lori, bas, dan motosikal secara berlebihan telah menyebabkan indeks
udara berada pada tahap yang membimbangkan bagi kesihatan marhaen dewasa ini.
Kita boleh melihat contoh di negara Norway yang menggalakkan penggunaan
kenderaan elektrik ataupun yang berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui.
Mereka memberi pengecualian cukai dan kemudahan parkir untuk pengguna kenderaan
tersebut sekaligus mengurangkan pelepasan gas-gas yang mencemarkan udara dan
memanfaatkan sumber tenaga yang berpotensi untuk masa hadapan. Maka, pendekatan
teknologi dan sistem yang mesra alam perlulah digalakkan agar kita dapat
bersama-sama mencegah pencemaran ini daripada terus berleluasa.
Konklusinya, pelbagai punca yang dapat dirangkum dalam
punca pencemaran ini terjadi. Masyarakat dengan kerjasama media massa harus
meningkatkan tahap kesedaran sivik orang-orang sekeliling kita tentang
pentingnya pemeliharaan alam sekitar. Jika setiap pihak mengambil langkah yang
proaktif persis mutiara kata, ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni,
sudah pasti kemelut ini dapat diatasi dengan berkesan. Setiap individu
hendaklah meluaskan horizon pemikiran dan memanifestasikan fikiran dan membuat
inteprestasi masing-masing dalam kepentingan memelihara dan memulihara alam
sekitar demi kelangsungan generasi akan datang. Semoga mereka dapat merasai
keindahan alam semula jadi secara langsung dan tidak hanya melihat video atau
bentuk digital keunikan flora dan fauna yang kita miliki hari ini.