Karangan SPM- Contoh Karangan Langkah Mengatasi Masalah Pembuangan Sampah
Sejak akhir-akhir ini, pelbagai peristiwa yang melibatkan pencemaran alam sekitar berlaku dalam negara kita. Sikap sesetengah pihak mengambil mudah perkara seperti pembuangan sisa toksik ke dalam sungai akan memusnahkan keseimbangan ekosistem yang kita nikmati hari ini. Seperti peribahasa Melayu, bagai melepaskan batuk di tangga. Mungkin perkara seperti ini berlaku kerana kurangnya didikan tetapi, pucuk pangkalnya adalah setiap sampah atau sisa pembuangan wajib dibuang dengan cara yang betul. Peningkatan jumlah penduduk dalam negara telah menyumbang kepada kadar pertumbuhan penduduk sekaligus menambah sisa pembuangan dan sampah. Oleh itu, mari kita lihat langkah-langkah yang boleh dilaksanakan bagi menangani masalah pembuangan sampah.
Langkah
pertama adalah dengan menguatkuasakan larangan penggunaan plastik secara
menyeluruh di seluruh negara. Untuk pengetahuan anda, plastik merupakan
penyumbang utama sisa-sisa sampah di dunia kerana ia memerlukan berpuluh tahun
untuk dikompos atau mereput. Tambahan pula, plastik lazimnya digunakan hanya
sekali dan kemudian tidak mempunyai fungsi dan dibuang merata-rata. Akibatnya
sisa plastik sudah menjadi ancaman kepada hidupan laut dek kerana termakan atau
lemas daripada kekurangan oksigen hasil daripada pengumpulan sampah dipermukaan
laut. Justeru, langkah untuk mengharamkan penggunaan plastik bakal memberi
hikmah bukan sahaja kepada kita tetapi hidupan alam yang lain.
Selain
itu, langkah yang boleh dilakukan bagi menangani masalah pembuangan sampah adalah
dengan mengamalkan kitar semula. Kitar semula ialah proses bahan buangan untuk
menghasilkan barangan baharu supaya boleh digunakan lagi. Kitar semula dapat
mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan bahan mentah baru,
membangun penggunaan tenaga, mengurangkan pencemaran udara dan pencemaran
air serta mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau berbanding penghasilan
barang baru dari bahan mentah. Antara bahan yang boleh dikitar semula adalah
kaca, kertas, logam, plastik, tekstil, dan elektronik. Dengan peningkatan
kuantiti penduduk dunia secara amnya, sumber bahan mentah sudah pasti semakin
berkurangan. Maka kita hendaklah sedar dan mula bersikap minimalis atau
bersederhana dalam kehidupan dan berbelanja secara berhemat bagi mengelakkan
pembaziran.
Di
samping itu, setiap anggota masyarakat perlu sedar dan bijak berbelanja dalam
membeli barang keperluan. Elakkan membeli barang yang dipakai buang hanya
setelah menggunakannya beberapa kali sahaja. Kita sudah mencapai tahap di mana
sumber bahan mentah semakin terhad. Banyak produk yang mesra alam telah
dihasilkan seperti beg, kasut dan juga peralatan elektronik. Tetapi disebabkan
kos yang tinggi dalam penghasilan barang mesra alam, ramai diantara kita enggan
untuk melabur demi kelansungan alam sekitar. Apa yang ingin disampaikan adalah
kita perlu berfikiran kritis dan menilai diantara keperluan dan kehendak.
Perkara asas ini sedikit sebanyak akan membentuk gaya kebolehan setiap individu
dalam merancang kehidupan masing-masing. Seterusnya mengurangkan pembaziran dan
sisa pembuangan sampah berlaku dalam kalangan masyarakat kita.
Akhir
sekali, langkah yang boleh dilakukan di peringkat kerajaan pula adalah dengan
membantu agensi pengurusan sampah. Pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya
menjadi jambatan diantara penduduk dan agensi pengurusan sampah di kawasan
masing-masing. PBT wajar menjalankan pemantauan berkala pada setiap bulan untuk
melihat keperluan penduduk dalam menguruskan pembuang sisa sampah. Dengan
kerjasama yang baik dengan agensi pengurusan sampah, sudah pasti tong-tong
sampah dan jadual pengurusan dapat diselaraskan dengan keperluan penduduk
sekitar. Antara langkah yang telah dilakukan dan bernas untuk dikekalkan adalah
penyediaan tong sampah besar pada hari perayaan dimana selalunya banyak
pembersihan dan sisa terhasil pada waktu tersebut. Oleh itu, setiap anggota
msyarakat perlu bertanggungjawab memastikan sisa sampah yang dihasilkan dibuang
secara betul.
Demikian
adalah langkah-langkah yang wajar dilaksana bagi menjamin pembuangan sampah
dalam negara kita diurus dengan baik. Langkah bijak yang diambil hari ini
tidak memberikan manfaat kepada kita secara langsung tetapi memberikan peluang
kepada generasi akan datang menikmati sumber yang kita nikmati selama ini.
Dengan pengurusan yang betul pasti isu pembuangan sampah yang berisiko tinggi
terutamanya dalam penularan kes denggi dan lain-lain dapat diselesaikan.
Pendekatan dasar-dasar kerajaan yang memastikan alam sekitar terjamin perlu
diangkat dan masyarakat menjadi pelaksana dalam menangani isu pembuangan
sampah. Semoga minda masyarakat kita sejajar dengan kecekapan pengurusan
infrastuktur negara yang diiktiraf sebagai infrastruktur kelas pertama.