Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Karangan Faktor-Faktor Yang Menggalakkan Pelabur Asing Di Malaysia

Karangan SPM- Contoh Karangan Faktor-Faktor Yang Menggalakkan Pelabur Asing (FDI) Di Malaysia

 

Sejak negara menikmati arus kemerdekaan kita dapat menyaksikan kemasukan pelabur-pelabur asing dalam meransang ekonomi negara kita. Ia merupakan nadi utama dalam pendapatan negara kerana ia adalah batu loncatan untuk negara kita dalam mencapai kemajuan seiring dengan negara maju yang lain. Justeru, langkah-langkah dalam menarik kedatangan pelabur asing perlulah dikenal pasti dan direncanakan agar ekonomi negara mendapat suntikan yang baik untuk terus berkembang maju dan berdaya saing. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menggalakkan pelabur asing untuk melabur dalam negara kita?

 

Faktor utama dalam menarik pelabur asing adalah dengan melihat kepada landskap politik sesebuah negara. Pelabur asing lebih berminat untuk melabur dalam negara yang mempunyai kestabilan politik dimana perusahaan mereka tidak berisiko untuk mengalami kerugian. Misalnya, apabila tiada kestabilan politik di sesebuah negara, berlaku rusuhan dan demonstrasi jalanan yang mengganggu ekonomi negara. Kestabilan politik menunjukkan negara tersebut mempunyai hala tuju ekonomi yang jelas dan komited dalam memperbaiki kedudukan ekonomi masing-masing. Dengan keyakinan ini, pelabur asing akan mempercayai birokrasi negara tersebut dan bersetuju untuk melabur. Maka, kita sebagai rakyat bertanggungjawab untuk memilih pemimpin yang terbaik dalam kalangan ahli politik negara supaya mereka dapat melunaskan amanah rakyat dengan baik seterusnya membawa negara ke arah kemajuan sejagat.

 

Selain itu, negara yang mempunyai hubungan diplomatik yang baik juga antara faktor yang menarik pelabur asing. Hubungan bilateral dan multilateral harus dieratkan bagi mewujudkan hubungan perdagangan yang baik antara Malaysia dengan negara lain. Hubungan bilateral diperkukuh melalui lawatan diplomatik sama ada oleh Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri atau Menteri Perdagangan dan Antarabangsa ke negara-negara lain. Contohnya, lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Jepun dan United Kingdom. Hubungan multilateral pula diusahakan dengan menyertai persidangan pertubuhan yang melibatkan pelbagai negara seperti ASEAN. Persidangan ini akan merancakkan ekonomi serantau disamping membantu negara-negara Asia tenggara yang lain dalam memperkenalkan model ekonomi terkini dan menguntungkan. Oleh itu, jelaslah bahawa hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara lain sejak Malaysia menjadi negara berkecuali hingga sekarang amat berkesan untuk meningkatkan pelaburan asing di negara kita.

 

Faktor lain yang mampu menggalakkan pelabur asing untuk melabur dalam negara kita adalah dengan mempunyai infrastruktur yang serba lengkap. Prasarana seperti sistem pengangkutan yang sistematik seperti pelabuhan dan lapangan terbang, bekalan elektrik dan air yang berterusan serta sistem telekomunikasi yang cekap harus disediakan untuk kemudahan kilang-kilang beroperasi. Prasarana ini merupakan prasyarat yang amat penting untuk membawa produk pelabur ke luar negara dan dipasarkan ke pasaran antarabangsa. Zon perdagangan yang strategik juga harus diperbanyakkan. Zon perdagangan ini haruslah dekat dengan sumber bahan mentah terutamanya hasil pertanian seperti kelapa sawit agar ia tidak rosak dan berada dalam kualiti terbaik sebelum sampai ke kilang pemprosesan. Contoh zon perdagangan ialah di Shah Alam, Gurun dan Senawang. Lebih banyak kawasan harus dijadikan zon perdagangan bebas (FTZ) seperti di Bayan Lepas Pulau Pinang untuk menarik minat pelabur asing. Natijahnya, pelabur baru amat mengutamakan zon perdagangan yang lengkap dengan segala infrastruktur yang terancang.

 

Sementelahan itu, bekalan tenaga kerja profesional turut memainkan peranan penting dalam menarik pelabur asing ke negara kita. Daya produktiviti sesebuah kilang akan meningkat dengan adanya banyak tenaga kerja tempatan yang mahir dan pakar. Oleh itu, jumlah rancangan latihan kepakaran harus ditingkatkan oleh kerajaan Malaysia dengan bantuan agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN). Kerajaan juga perlu memastikan latihan vokasional dan graduan yang cukup untuk memenuhi keperluan industri dan pelabur. Pekerja-pekerja pula harus mempunyai etika kerja yang murni dan tidak menyeleweng wang syarikat serta tidak mengamalkan gejala rasuah demi memelihara maruah negara kita yang berdaulat ini. Rentetan itu, para pekerja haruslah sentiasa diberikan latihan agar kepakaran mereka sejajar dengan perkembangan semasa serta masalah pengangguran akan dapat dikurangkan dan secara tidak langsung pelaburan itu akan meningkatkan taraf hidup masyarakat Malaysia.

 

Kesimpulannya, pelbagai faktor yang mendorong pada galakan kedatangan pelabur asing dalam negara. Semua pihak perlu memanifestasikan fikiran dalam melaksanakan langkah terbaik untuk memastikan ekonomi negara sentiasa berkembang bukan sahaja bergantung kepada pelabur asing tetapi dengan membantu sedaya upaya untuk menaikkan perusahaan tempatan yang berpotensi untuk memecah pasaran global suatu hari nanti. Bak kata peribahasa Melayu, kera di hutan disusui, anak di pangkuan dilepaskan dimana kita melebihkan orang asing sebaliknya kita perlu menyokong usaha dan produk hasil titik peluh anak watan. Semoga Malaysia menjadi destinasi pilihan pelabur asing disamping perusahaan tempatan mengecapi pasaran global dan mengharumkan nama negara di persada dunia.