Dalam
kepesatan pembangunan ekonomi, masyarakat kita berhadapan dengan gelombang
perubahan sosial yang mencabar institusi sosial dan keluarga di negara ini.
Akibatnya remaja di Malaysia sedang melalui kemelut sosial yang semakin berleluasa.
Penglibatan remaja kita dalam kegiatan seks bebas, melepak, jenayah juvana,
lari dari rumah dan penagihan dadah memberi tamparan hebat kepada semua lapisan
masyarakat serta menjadi tanda tanya kepada pembangunan dan pemodenan yang
dikecapi.
Gejala
remaja melarikan diri dari rumah berpunca daripada keadaan keluarga yang sunyi
dan membosankan. Dewasa ini, ibu bapa terlalu sibuk mengejar kebendaan dan
kemewahan. Akibatnya, interaksi dan komunikasi sesama keluarga menjadi renggang
dan anak-anak terabai. Keadaan ini menyebabkan anak-anak yang ketagih kasih
sayang mengalami perasaan kecewa dan tekanan jiwa. Apabila keadaan ini
berterusan, anak-anak mula membenci ibu bapa dan keluarga serta sering
bertindak meninggalkan keluarga mereka.
Keruntuhan
institusi keluarga atau rumah akibat pertelingkahan antara ibu bapa menyebabkan
anak-anak lari dari rumah. Ketiadaan persefahaman dan kurangnya kemahiran
mengurus rumah tangga di kalangan suami isteri sering menyebabkan konflik dan
keretakan rumah tangga. Akibatnya, keharmonian dan kestabilan keluarga
terjejas. Apabila keadaan ini berterusan, anak-anak menjadi bosan dan
menanggung penderitaan jiwa lalu bertindak memberontak terhadap keadaan ini
dengan melarikan diri dari rumah.
Desakan
dan dorongan rakan-rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam kes
anak-anak lari dari rumah. Remaja yang terabai dan ketagih kasih sayang
bergantung kepada kawan-kawan mereka. Mereka lebih mudah meniru, terikut dan
terpengaruh dengan rakan sebaya. Malahan rakan sebaya mengisi sebahagian besar
kehidupan mereka. Dalam keadaan ini, mereka sanggup berbuat apa sahaja demi
rakan mereka dan bertindak meninggalkan keluarga semata-mata memenuhi kehendak
rakan-rakan.
Di
samping itu, tarikan kuat dunia luar dan negara berikutan pengaruh budaya Barat
turut menjadi punnca utama. Golongan remaja masa kini sering terpengaruh dengan
idea kebebasan dan individualistik. Malahan gaya hidup bebas yang penuh
keseronokan menjadi idola ramai remaja. Apabila ibu bapa mereka cuba menerapkan
nilai-nilai baik dan terpuji, anak-anak menganggap ibu bapa cuba mengongkong
kebebasan mereka. Jika keadaan ini berlarutan, anak-anak tidak teragak-agak
lagi untuk meninggalkan rumah mereka.
Gejala
remaja lari dari rumah juga sering berpunca daripada sikap remaja itu sendiri.
Kebanyakan remaja masa kini tidak memiliki ketahanan diri. Malahan mereka
memiliki emosi yang rapuh. Keadaan ini sering berpunca daripada kurangnya
pendidikan agama dan asuhan moral yang efektif. Asuhan yang tidak menyeluruh
menyebabkan keperibadian remaja tidak begitu mantap dan stabil. Mereka mudah
terpengaruh dan tidak berupaya menial sesuatu keadaan. Akibatnya, mereka tidak
dapat menangani rintangan-rintangan dalam kehidupan mereka. Justeru, mereka
sering bertindak terburu-buru apabila menghadapi masalah dan salah satu jalan
penyelesaian utama adalah dengan melarikan diri dari rumah.
Remaja
harapan bangsa dan negara. Keluarga menjadi wadah paling utama dalam membentuk
keperibadian remaja. Oleh yang demikian, segala kepincangan sosial, terutamanya
di kalangan remaja wajar dirujuk kepada keadaan keluarga dan sistem sosial
secara menyeluruh.