Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Peranan ibu bapa bagi memupuk semangat cinta akan negara

Karangan SPM- Peranan ibu bapa bagi memupuk semangat cinta akan negara


Pada era pascaperindustrian dan globalisasi yang serba mencabar akal dan minda, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang sedang membangun di mata dunia selepas kemerdekaan yang disambut pada tanggal 31 Ogos 1957. Kini, Malaysia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara gergasi di pentas antarabangsa.  Bertitik tolak daripada itu, semangat cinta akan negara perlu ada dalam diri setiap masyarakat bagi menghargai jasa tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang bertungkus lumus dalam mempertahankan negara yang berdaulat ini. Oleh itu, keluarga perlu memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak mereka.


Pada realiti, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu perlu mengambil inisiatif utama dengan membawa anak-anak mereka ke tempat bersejarah seperti muzium. Di Malaysia, terdapat sebuah muzium iaitu Muzium Negara yang mempunyai pelbagai khazanah orang pada zaman dahulu, pakaian istana, keris-keris yang digunakan oleh tokoh terdahulu untuk menentang penjajah luar. Anak-anak bukan sahaja dapat mengenali tokoh-tokoh terdahulu malah menerapkan semangat keberanian perwira-perwira negara yang mengamalkan peribahasa biar putih tulang, jangan putih mata dalam mempertahankan negara suatu ketika dulu.  Salah satu tempat bersejarah yang tersohor ialah Melaka yang lebih dikenali sebagai Negeri Bersejarah. Di Melaka, ibu bapa boleh menunjukkan tempat atau bangunan yang dibina oleh negara luar yang pernah menjajah negara kita seperti bangunan Stadhyus.  Oleh itu, bolehlah kita akui bahawa semangat cinta akan negara dapat disemai melalui lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang banyak terdapat di Malaysia.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, langkah yang seterusnya ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Berdasarkan peribahasa, Bapa Borek, Anak Rintik, ibu bapa perlu menjadi ikon kepada anak-anak dalam menerapkan semangat cinta akan negara.  Dalam konteks ini, ibu bapa tidak sewajarnya menunjukkan etika yang bertentangan dengan semangat patriotisme itu sendiri. Kita boleh ambil contoh perlakuan yang pernah menjadi isu suatu ketika dahulu iaitu seorang warga Malaysia yang mempersendakan lagu Negaraku malah ada yang berani memijak bendera Jalur Gemilang. Ibu bapa perlu menunjukkan semangat cinta akan negara melalui kibaran Jalur Gemilang dengan bangga untuk diteladani oleh anak-anak. Secara tidak langsung, perbuatan ini akan menjadi ikutan kerana mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.  Dengan cara ini juga, anak-anak akan sedar betapa pentingnya semangat patriotisme ini. Tambahan pula, ibu bapa boleh bercerita tentang perjuangan tokoh-tokoh tanah air yang berjuang hingga titisan darah yang terakhir demi mempertahankan negara yang tercinta daripada ancaman penjajah. Tegasnya, peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya perlu dijadikan azimat oleh ibu bapa untuk melentur anak-anak mereka menjadi seorang yang mempunyai semangat patriotisme sejak kecil lagi.

Selain itu, pada masa ini ramai ibu bapa yang membimbing anak-anak mereka dalam menguasai subjek Sejarah. Bagi segelintir pelajar, subjek Sejarah amat sukar dikuasai kerana banyak fakta yang perlu dihafal dan diingati. Tambahan pula, mereka tidak pernah merasai keperitan tokoh-tokoh terdahulu yang bermati-matian memperjuangkan tanah air yang bertuah ini. Oleh itu, ibu bapa tidak boleh memberi tekanan kepada anak-anak dengan memaksa dan memarahi mereka jika gagal dalam subjek sejarah. Hal ini kerana, anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang perlu mencorakkannya dengan menerapkan semangat cinta akan negara. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlu menyokong anak-anak mereka agar mereka tidak berasa tertekan malah semangat bersemangat dalam mempelajari subjek Sejarah. Selain itu, ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tuisyen untuk menguasai subjek Sejarah demi meningkatkan prestasi anak dalam subjek tersebut.  Rentetan itu, penguasaan dalam subjek ini akan membibitkan rasa cinta terhadap subjek Sejarah seterusnya melahirkan kecintaan terhadap negara.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkataan di atas, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memupuk masyarakat yang mempunyai semangat cinta akan tanah air. Pepohon pokok tidak akan berliuk lentuk jikalau tiada angin yang meniupnya oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak. Sebenarnya, anak-anak merupakan tonggak utama dalam menjayakan visi kudsi Wawasan 2020 pada masa hadapan. Kita mengakui hakikat bahawa uslub ini perlu dilakukan dan boleh dimulakan dengan langkah-langkah yang telah disarankan di atas. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat memupuk malah menguatkan semangat cinta akan tanah air dalam diri mereka. Nescaya, semangat patriotisme yang telah sebati dalam diri anak-anak akan dapat melahirkan generasi muda yang mantap jati diri.