Karangan SPM- Kepentingan menyambut hari kemerdekaan
Tanah air kita merupakan salah sebuah negara yang kian pesat membangun di rantau Asia. Pembangunan dari aspek ekonomi, politik dan sosial telah mula bercambah sejak sebelum mencapai kemerdekaan lagi. Segala-galanya bermula daripada pengorbanan para pejuang negara yang sanggup bermati-matian demi mencapai kemerdekaan untuk nusa tercinta. Pengorbanan mereka mestilah dikenang dan dihargai oleh generasi masa ini. Saban tahun, pihak kerajaan mengeluarkan sejumlah besar wang sebagai persiapan menyambut hari kemerdekaan. Persoalannya, apakah kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita?
Salah satu kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita ialah kita dapat mengenang jasa tokoh yang telah berkorban demi mencapai kemerdekaan untuk tanah air. Antara tokoh yang begitu berjasa kepada negara ialah Tunku Abdul Rahman, Rosli Dhobi, Rentap, Kanang dan sebagainya. Mereka rela berputih tulang daripada berputih mata melihat tanah air tempat tumpah darah mereka dijajah oleh kuasa asing sepertti British dan Jepun. Mereka juga sanggup menggadai nyawa demi membayar harga sebuah kemerdekaan. Jelaslah di sini bahawa kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita adalah untuk mengenang jasa tokoh.
Selain itu, menyambut hari kemerdekaan adalah penting agar kita dapat mengukuhkan jati diri rakyat Malaysia. Sejak akhir-akhir ini, generasi muda masa ini, terutamanya remaja semakin hilang jati diri. Mereka lebih gemar mengagung-agungkan budaya Barat yang amat bertentangan sekali dengan norma masyarakat Timur. Lebih menyedihkan, ada antara kita yang sanggup memburukkan nama Malaysia di mata dunia. Jika diimbas kembali sejarah yang lepas, rakyat Indonesia telah memburukkan nama Malaysia di negara Asia dan negara Dunia Ketiga lantaran tidak berpuas hati apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1965. Kini, rakyat negara kita pula mencemarkan nama negara di persada dunia. Ke manakah hilangnya jati diri sebagai rakyat Malaysia? Tepuk dada tanya selera. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa menyambut hari kemerdekaan merupakan salah satu medium untuk mengukuhkan jati diri.
Seterusnya melalui sambutan hari kemerdekaan, kita dapat mengekalkan perpaduan antara kaum di negara kita. Umum mengetahui bahawa Melayu, Cina dan India merupakan kaum majoriti di negara kita selain kaum Dusun, Kadazan, Bidayuh, Melanau yang menjadi kaum minoriti. Negara yang harmoni dan sejahtera hanya akan dapat dibentuk jika semua kaum ini dapat bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi. Melalui sambutan hari kemerdekaan, semua kaum dapat berkumpul bagi meraikan hari kemerdekaan negara yang kita cintai ini. Masyarakat berbilang kaum yang saling menyayangi, saling menghormati dan saling bekerjasama merupakan pemandangan paling indah untuk dipertontonkan kepada masyarakat di luar negara. Jelaslah di sini bahawa sambutan hari kemerdekaan dapat mengekalkan perpaduan antara kaum.
Di samping itu, melalui sambutan hari kemerdekaan, imej negara kita akan turut meningkat. Negara-negara asing akan mengenali Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan sejahtera, Secara tidak langsung, lebih ramai pelancong asing ingin berkunjung ke negara kita serta lebih ramai pelabur asing ingin melabur di negara kita. Hal ini dapat membantu meningkatkan sumber pendapatan negara sekali gus menjana ekonomi negara.
Kesimpulannya, sebagai rakyat Malaysia yang amat sayang akan negara, kit perlulah bersungguh-sungguh meraikan hari kemerdekaan di negara. Jadikanlah perang saudara, pergolakan, dan peperangan yang berlaku di sesetengah negara sebagai pengajaran. Tokoh sejarah terkenal, George Santayana pernah berkata, “sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya semula,” Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah menghargai nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini.