Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Langkah-langkah untuk menjamin hidupan liar terus hidup

Bumi ini bukan sahaja milik manusia. Flora dan fauna juga mempunyai hak untuk hidup di bumi hijau ini. Walau bagaimanapun, tindak-tanduk manusia telah mengakibatkan hidupan-hidupan liar semakin dinafikan haknya untuk hidup. Pembangunan dijadikan alasan untuk merasionalkan tindakan manusia ini. Langkah-langkah segera harus diambil agar hidupan liar juga dapat meneruskan kehidupan mereka di bumi ini.

Langkah menggazetkan hutan-hutan simpan harus dijalankan secara meluas. Hutan-hutan simpan harus digazetkan agar tiada sebarang tindakan pembalakan dijalankan untuk merosakkan atau menghapuskan habitat haiwan. Dengan menggazetkan hutan-hutan simpan ini, tempat pembiakan haiwan-haiwan dapat dijamin clan sumber makanan mereka juga akan berkekalan. Contohnya, penggazetan hutan simpan di Taman Negara Endau-Rompin di Pahang. Idea ini perlu diluaskan ke setiap negeri di Malaysia.

Walaupun negara kita mempunyai pelbagai undang-undang kawalan untuk melindungi flora dan fauna, tetapi dari segi penguatkuasaannya masih menampakkan kecacatan. Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 perlu dikuatkuasakan agar kawalan pembalakan dan jaminan hidupan liar dapat ditingkatkan. Jabatan PERHILITAN juga harus menyumbang dalam merealisasikan akta ini dikuatkuasakan. Tindakan pemulihan seperti penanaman semula hutan untuk menjamin habitat hidupan liar juga perlu ditingkatkan.


Pemburuan haram khususnya bagi mendapatkan kulit dan pelbagai anggota hidupan liar semakin berleluasa kerana nilai komersil yang diberi kepadanya. Untuk memastikan hidupan-hidupan liar ini selamat, langkah dari segi kawalan pemberian lesen pemburuan serta tindakan tegas dan berat ke atas pemburu-pemburu haram perlu diambil. Pegawaipegawai Jabatan Perhutanan juga perlu ditambah agar kawalan pemburuan dapat dijayakan.

Selain itu, langkah kawalan tindak-tanduk orang asli juga perlu diberi perhatian serius. Pertanian pindah dan pembakaran hutan untuk membersihkan kawasan hutan merupakan tindakan biasa. Ini secara langsung mengakibatkan habitat hidupan liar hilang dan berlaku pemupusan hidupan liar. Penempatan orang-orang asli dan kawalan pergerakan mereka serta usaha memastikan mereka tidak mengganggu habitat haiwan perlu diberi perhatian serius.

Usaha penyelidikan dan pembangunan merupakan satu tindakan yang wajar dijalankan untuk menjamin hidupan liar kekal,di bumi ini. Kajian dan penyelidikan perlu dijalankan agar haiwan-haiwan ini terus membiak dan mempunyai ketahanan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan persekitaran. Pelbagai pelalian dan hormon perlu dicipta untuk menjamin haiwan-haiwan ini terus hidup. Usaha-usaha juga perlu dijalankan untuk mewujudkan habitat melalui kajian. Contohnya, penempatan orang Utan di Sarawak. Tambahan pula, aktiviti pembangunan yang melibatkan habitat hidupan liar seperti pembinaan empangan, perumahan dan pertanian perlu dirancang dengan teliti serta kajian kesan ke atas ekosistem serta fauna dan flora perlu dijalankan dengan mendalam agar hidupan liar dapat kekal di bumi ini.

Kesimpulannya, langkah-langkah yang dirancang dan dilaksanakan memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Kesedaran tentang hak hidupan liar melalui pendidikan penting agar tindak-tanduk manusia dapat dikawal. Hidupan liar patut diberi tempat untuk meneruskan zuriat mereka bersama manusia di bumi ini.