Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Media massa sering memaparkan kelemahan wanita

Pihak media massa sering memaparkan wanita sebagai golongan yang lemah, emosional dan mengghairahkan.

Pada umumnya, media cetak dan media elektronik bukan sahaja berperanan menyalur- kan mesej yang dipancarkan daripada satu pihak kepada pihak yang lain, sebaliknya mempunyai keupayaan untuk membantu membina kebenaran dalam sesebuah masyarakat. Di sinilahtimbulnya isu wanita dan pemaparannya oleh media massa sama ada di negara ini atau di negara lain. Di tengah-tengah kemajuan dalam bidang ekonomi, sosial dan politik, masih wujud pemaparan negatif terhadap golongan wanita.

Di televisyen masih terdapat wanita yang diberikan gambaran yang terhad dan bersifat `stereotaip’, iaitu masih banyak kes wanita yang dipaparkan sebagai golongan yang lemah, emosional, mengghairahkan, gemar menghias diri secara berlebihan dan sebagainya. Selain itu, terdapat watak wanita sebagai orang yang tidak mempunyai keupayaan dan kebolehan tinggi untuk membuat keputusan, dasar dan menyusun strategi dalam pembangunan ekonomi, pertubuhan sukarela, industri dan lain-lain. Imej seperti ini yang dipaparkan melalui filem fiksyen, drama televisyen dan iklan mahupun dalam bentuk berita dan dokumentari tidak membantu membina untuk dan memperkukuh imej dan kedudukan sosioekonomi wanita secara keseluruhannya.

Dalam akhbar dan majalah tertentu pula, ada sebilangan wanita yang menerima perhatian media cetak semata-mata kerana kejayaan suami mereka. Dengan kata lain, penonjolan imej dan watak seseorang wanita itu bergantung kepada kepintaran, kejayaan dan populariti kaum lelaki semata-mata dan tidak kepada kecemerlangan yang ada pada din wanita itu sendiri.



Penonjolan wanita sebagai objek seks juga sering berlaku dalam akhbar dan majalah. Contohnya, kes bohsia yang mendapat perhatian serius daripada pelbagai pihak dalam negara in Dalam hal ini, yang banyak ditekankan setakat ini ialah gadis bohsia itu sendiri dan cara hidup mereka. Akhbar dan majalah tertentu menceritakan dengan ghairah sekali cara mereka bergiat. Sebaliknya media ini kurang melaporkan tentang sebilangan lelaki yang melayani gadis tersebut.

Pertunjukan fesyen melalui siaran televisyen lazimnya memberi gambaran seolah-olah penonjolan wanita dan ciri-ciri keghairahan fizikalnya diberi tumpuan. Dalam hal ini, wanita, khususnya kecantikan dan tarikan fizikalnya, selalunya diperagakan bersama-sama pakaian yang didagangkan. Pendek kata, kedua-duanya digolongkan sebagai barang yang boleh dijual beli atau mempunyai nilai komersil.

Memandangkan masalah yang dihadapi oleh golongan wanita dalam media massa, usaha dibuat untuk memberi ruangan khas kepada wanita. Melalui ruangan ini, diharapkan wanita boleh memperjuangkan hak mereka. Dari segi lain, keadaan ini boleh mendatangkan kesan yang negatif, iaitu usaha seperti ini hanya meminggirkan golongan wanita daripada wacana umum dalam sesebuah masyarakat. Tambahan pula, wanita boleh diketepikan daripada halaman hadapan akhbar itu, dengan andaian bahawa seolah-olah pemikiran dan kegiatan wanita itu tidak begitu penting. Memandangkan sebilangan majalah wanita hanya memberi tumpuan penonjolan fesyen dan kejelitaan wanita, tidak menghairankan kenapa mengikut satu kajian pembaca didapati, kira-kira 30 peratus daripada pembaca majalah ini ialah kaum lelaki.

Sesungguhnya pemaparan imej wanita yang negatif dalam media massa sukar dibendung. Suatu pemikiran semula terhadap hal ini patut dilakukan oleh pihak yang berkenaan agar wanita tidak dijadikan bahan eksploitasi oleh media massa.