Komputer
bukanlah satu perkara yang asing bagi masyarakat tidak kira di mana saja mereka
berada. Di mana-mana komputer boleh didapati dan tidak semestinya di pejabat
saja. Malah di kebanyakan rumah pun boleh dilihat ada komputer peribadi. Begitu
juga dengan penggunaan Internet yang kini kian menjadi ‘kegilaan’ masyarakat
hari ini terutama remaja baik dalam negara mahupun luar negara. Akibat kegilaan
ini, remaja mudah lupa diri. Internet boleh mengubah pemikiran manusia terutama
mereka yang terpengaruh dengan kecanggihannya. Ia begitu berpengaruh dan
sifatnya yang dapat memasuki mana-mana negara di dunia seperti tiada batasan
sempadan. Internet sukar disekat apabila pintunya dibuka seolah-olah apa yang
diperkatakan mengenai kebebasan bersuara hampir mencapai tahap mutlak.
Internet
bermaksud hubungan antara jaringan. Sebuah rangkaian komputer antarabangsa yang
terbesar di dunia yang mengandungi berjuta-juta komputer di seluruh dunia.
Melalui internet kita dapat berhubung antara satu sama lain walau di mana
sekali pun kita berada dan pada bila-bila masa. Percambahan saluran internet
ini mendedahkan masyarakat kepada pelbagai bentuk maklumat. Maklumat yang
diperolehi ada antaranya positif dan ada yang meninggalkan kesan negatif. Oleh
itu, pengguna media perlu mempunyai satu keupayaan untuk menilai maklumat yang
diperolehi melalui Internet ini. Pengguna Internet perlu bersikap kritis supaya
dapat memastikan tidak menerima sebarang maklumat secara bulat-bulat.
Tidak
semua maklumat yang diperolehi melalui internet bermanfaat walaupun kebaikan
sesetengah laman tidak boleh dipertikaikan. Bahan yang disebarkan mempunyai
kesan positif dan negatif. Nilai yang dipaparkan lebih menggambarkan nilai
penghasil bahan yang sesetengahnya terlalu asing bagi kita. Biasanya golongan
remaja adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan aspek sebegini. Oleh itu,
perlu dirumuskan satu pendekatan yang sistematik untuk menangani kesan dan
pengaruh internet ke atas masyarakat di negara ini.
Walaupun
kerajaan sudah mengambil langkah seperti penapisan dan mewujudkan peraturan
bagi menangani masalah ini, langkah juga perlu diambil untuk menimbulkan
kesedaran di kalangan pengguna media khasnya internet. Mereka perlu diupayakan
supaya mampu menilai kesan dan pengaruh media secara amnya. Satu cara yang agak
berkesan sekali ialah celik media. Ia adalah keupayaan seseorang memahami
sesuatu perkara atau kesan yang diterima dari media massa. Ini mencakupi
memahami proses penyediaan dalam penyebaran maklumat oleh media. Seterusnya
bagaimana menggunakan maklumat yang diperolehi dengan bijaksana.
Seseorang
yang celik media mampu mengenal pasti peranan dan kesan media dalam kehidupan
seharian. Mereka boleh menilai dan menguasai apa yang di lihat oleh mereka
daripada apa yang diberi oleh media. Mereka bukanlah pengguna media yang pasif
dan menerima apa saja yang dilihat dan dibaca. Mereka menjadi lebih kritikal
terhadap apa yang mereka perolehi atau lihat. Celik media bukan satu kempen
antimedia. Ia bertujuan mengembangkan keupayaan pengguna media untuk
memanfaatkan media masa dan berupaya memberi maklum balas mengenai apa yang
patut dilakukan secara lebih berkesan.
Ini
adalah daya usaha untuk memupuk kepekaan pengguna media, khususnya kanak-kanak
dan golongan remaja terhadap kesan dan pengaruh media. Ini dilakukan dengan
membina kefahaman kepada mereka mengenai kesan dan pengaruh media. Mereka
dididik supaya lebih kritikal dan mampu menilai bahan yang mereka tonton.
Sejak
kebelakangan ini, kita kerap mendengar pelbagai gejala sosial yang melanda
anggota masyarakat hari ini seperti bohsia, bohjan, lepak, sumbang mahram,
homoseksual dan beberapa penyakit sosial yang lain. Sering pula kita dengar
media dipersalahkan. Apakah media saja dipersalahkan? Bagaikan satu alasan yang
mudah untuk dijadikan alat untuk menangkis sebarang persoalan.
Bila
dikenangkan kembali perkembangan pada tahap awalnya, kemunculan media
dihubungkaitkan dengan usaha membangunkan masyarakat ialah Unesco sendiri
memberikan perhatian berat kepada media massa kerana berkeyakinan bahawa media
boleh menyumbang kepada pembinaan masyarakat, mengurangkan buta huruf,
meningkatkan hasil pertanian, nilai makanan dan kesihatan serta memperbaiki
taraf hidup penduduk sesebuah negara yang sedang membangun ekonominya.
Betapa
besar harapan yang diletakkan kepada media sehingga dijangkakan akan dapat
menyelesaikan semua masalah pembangunan negara. Media massa boleh dijadikan
sebagai alat utama yang mampu memberi kesan dan mempengaruhi pemikiran
masyarakat, baik di kalangan kanak-kanak, remaja atau golongan dewasa.
Ada
golongan tertentu yang mengambil kesempatan untuk mempergunakan media massa
dalam membawa cerita atau berita yang berunsur negatif bagi mempengaruhi
masyarakat. Penggunaan tipu daya secara halus untuk mengaburi masyarakat dengan
kebenaran. Kebanyakannya menjanjikan program yang berbentuk keganasan,
keruntuhan moral dan unsur-unsur lain yang tidak sesuai dengan norma masyarakat
kita.
Sebaliknya
pelajar dan generasi muda wajar melayari laman web yang informatif dan bersifat
ilmiah. Mereka sepatutnya mencari maklumat baru atau mendalami pengetahuan.
Mereka perlu dilatih sama ada di rumah atau melalui sistem persekolahan supaya
lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan masyarakat.
Disiplin
diri penting untuk memanfaatkan dan menangani unsur-unsur negatif IT kerana
pada akhirnya pengguna sendiri yang perlu membuat pilihan sama ada membuang
masa dengan melayari laman yang tidak berfaedah atau memanfaatkan maklumat melalui
Internet. Pilihan terletak di tangan mereka sama ada untuk memanfaatkan IT
untuk kemajuan diri, masyarakat dan negara atau sebaliknya.
Jika
generasi muda mahu terus terperangkap di bawah pengaruh unsur-unsur negatif
dalam internet yang boleh merosakkan pemikiran mereka, itu adalah pilihan
mereka. Selain budaya kuning yang diketengahkan sesetengah laman web, ada juga
pihak yang menyebarkan dakyah palsu yang menggembar-gemburkan isu untuk
memburuk-burukkan kerajaan.
Dari
segi penerimaan, mereka perlu menilai terlebih dahulu mesej yang dipaparkan
sebelum membuat keputusan sama ada menerimanya atau tidak. Soal sebegini juga
memerlukan pengetahuan yang luas yang dapat membantu mereka memilih agenda dan
maklumat yang perlu diterima atau tidak. Pengguna internet wajar membebaskan
diri mereka daripada dikongkong atau dibelenggu laman web yang boleh meracuni
pemikiran, hati dan naluri mereka.