Kes keganasan rumah tangga semakin 
banyak berlaku dalam kalangan masyarakat di negara kita. Peningkatan kes
 berkenaan boleh mengancam keharmonian institusi kekeluargaan di negara 
ini. Sikap majoriti suami dan bapa yang merupakan ketua dalam sesebuah 
keluarga yang memukul isteri dan anak-anak serta mendera mereka untuk 
melakukan sesuatu pekerjaan yang bukan kemampuan mereka merupakan 
fenomena yang amat menyedihkan. Jika perkara ini tidak dilakukan 
pastinya semakin banyak isteri dan anak yang akan menjadi mangsa 
keganasan lelaki yang dayus itu. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor 
yang menyebabkan masalah itu berlaku.
     Tekanan hidup yang dihadapi oleh segelintir individu dikatakan 
menjadi punca kes berkenaan berlaku. Tekanan untuk meneruskan kehidupan 
yang semakin mencabar individu seperti menghadapi masalah kewangan 
menjadi sebab individu terbabit tidak mampu lagi mengawal diri mereka 
daripada bertindak ganas. Di samping itu, seseorang bapa dan suami yang 
sering diharapkan untuk memenuhi kehendak isteri dan anak-anak mereka, 
dianggap sebagai bebanan oleh suami yang mempunyai masalah kewangan yang
 serius. Suami atau bapa yang menghadapi tekanan tersebut akhirnya 
hilang kawalan lalu menyeksa isteri atau anak-anak dari segi mental dan 
fizikal. Fenomena sedemikian akan merumitkan keadaan kerana tidak ada 
pihak yang mendapat manfaat daripada tindakan sedemikian.
     Selain masalah kewangan, bebanan hutang yang banyak turut 
mengakibatkan tekanan mental yang serius terhadap seseorang itu. Seperti
 harapkan pagar, pagar makan padi,
 individu berkenan sanggup pula menjual isteri atau anak-anak kepada 
pihak tertentu semata-mata kerana mereka dianggap merupakan senjata 
terakhir yang dimiliki oleh mereka untuk melunaskan hutang. Setelah 
didera secara kejam oleh individu yang diharapkan bagi melindungi dan 
mencurahkan kasih sayang kepada mereka, kemudiannya mereka akan dipaksa 
untuk melakukan kerja yang mudah untuk mendapatkan wang seperti menjadi 
pelacur. Jadi, perkara ini amat menyedihkan kita kerana orang yang 
bergelar bapa dan suami tidak boleh dipercayai lagi bagi melindungi 
seseorang yang bergelar isteri atau anak. 
     Di samping itu, masalah seperti dibebani dengan tugas yang banyak 
di tempat kerja turut menyebabkan seseorang itu berasa bahawa isteri dan
 anak-anak boleh dijadikan objek untuk melepaskan geram. Objek yang 
dimaksudkan bukan sahaja sebagai tempat mereka melepaskan geram tetapi 
juga melepaskan kemarahan mereka dengan cara melakukan kekerasan 
terhadap keluarga mereka. Semasa di tempat kerja, mereka dileteri dan 
dimarahi oleh majikan mereka, selain dibebani dengan kerja yang banyak. 
Jadi, dendam yang terbuku dalam hati terhadap majikan mereka dilepaskan 
pula kepada isteri dan anak-anak mereka yang sepatutnya dilimpahi dengan
 kasih sayang yang secukupnya daripada seorang bapa dan suami. Jadi 
perkara ini pasti akan menyebabkan kebahagiaan yang diimpikan dalam 
perkahwinan hanyalah impian yang sia-sia. 
     Masalah pergaduhan dan perselisihan pandangan dengan 
individu-individu tertentu terutamanya yang amat dihormati dan dikasihi 
seperti ibu bapa, adik-beradik mahupun isteri sendiri menjadi punca 
tekanan perasaan. Hal ini akan mendorong mereka bertindak secara 
kekerasan terhadap anak-anak dan isteri kerana mereka gagal mengawal 
emosi dan perasaan, iaitu seperti mencurah minyak ke dalam api yang marak.
 Seseorang isteri wajar memahami bebanan atau masalah yang sedang 
ditanggung oleh suami tanpa menambahkan tekanan kemarahan terhadap 
suami. Jadi, perkara sedemikian boleh mencetuskan pertengkaran yang 
lebih serius dan menyebabkan suami memukul isterinya.
     Punca lain yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah kegagalan 
mencapai sesuatu matlamat yang telah ditetapkan. Kecenderungan untuk 
seseorang individu bagi merasai kekecewaan yang berpanjangan tanpa 
sokongan individu yang dikasihi mendorong perasaan kecewa tersebut 
menjadi perasaan marah yang seterusnya bertukar menjadi ganas. Harapan menggunung
 yang diimpikan daripada keluarga seperti sokongan moral dan semangat 
tidak menjadi kenyataan kerana kesibukan masing-masing mendorong 
seseorang suami dan bapa bertindak kasar seperti memukul isteri dan 
anak-anak mereka. Perkara itu membuktikan bahawa masing-masing tidak 
memahami kehendak hati orang yang tersayang.
     Sebagai kesimpulannya, tekanan individu terbabit yang berpunca 
daripada banyak sebab merupakan faktor utama berlakunya kes keganasan 
rumah tangga. Jika perkara ini dapat dibendung, tidak mustahil kes ini 
akan berkurangan dan akhirnya tidak kedengaran lagi. Untuk mencapai 
matlamat berkenaan, semua pihak dalam masyarakat perlu berganding bahu dan bersatu padu agar pisang tidak berbuah dua kali.
 Oleh itu, sebelum kes ini mengorbankan nyawa manusia yang lebih banyak,
 semua pihak perlulah sedar akan kesannya dan bersama-samalah kita 
membanterasnya agar tiada sapa lagi yang akan menjadi mangsa.