'Bahasa jiwa bangsa', itulah frasa yang paling sesuai untuk melambangkan
signifikan sesuatu bahasa kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Pelbagai polemik
telah dibangkitkan sejak akhir-akhir ini bagi membicarakan identiti Bahasa
Malaysia sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah rumpun bernama Malaysia. Bahasa
Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal 'Bahasa Melayu' yang
disifatkan berjiwa perkauman sekaligus tidak relevan dengan gagasan 1 Malaysia.
Namun begitu, apakah inisiatif yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan
Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat?
Langkah-langkah yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan
rasmi dan surat-menyurat di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam
bahasa ibunda. Mutakhir ini, jabatan-jabatan kerajaan lebih gemar memilih
Bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi berbanding Bahasa Malaysia untuk
digunakan dalam urusan syarikat mereka. Sifat nafsi yang menggunung dalam jiwa
mereka wajar diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis
mengenepikan sebuah bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu,
pihak-pihak ini haruslah menjaga martabat Bahasa Malaysia supaya tidak hilang
ditelan zaman.
Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI) juga harus dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam
kehidupan kita tidak harus dinafikan, tetapi langkah ini dilihat berpotensi
memadamkan kegemilangan Bahasa Malaysia di peringkat lokal.Jika teras
pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak mustahil pada satu
era nanti, generasi akan datang tidak mengenali lagi perkataan 'melayu'.
Ironinya, usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris
(MBMMBI) dilihat sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demi membejat
kemelut bahasa yang sedang dihadapi Malaysia kini.
Sementelahan pula, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan
Tamil juga tidak harus dikerling enteng berikutan perkara tersebut berkemampuan
memperkasakan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa
ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Jika dilihat dari perspektif berbeza, hal
ini dapat menimbulkan nafsi perkauman bahkan tidak sejajar dengan penerapan 1
Malaysia dalam kalangan masyarakat. Maka, polemik ini mungkin tidak dapat
mencapai objektif kemenjadian bahasa sebagai agen perpaduan yang utuh bagi
semua rakyat di negara ini. Tuntasnya, pihak-pihak yang berwajib seperti Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) harus berfikir secara kreatif dan kritis demi
menaikkan imej bahasa ibunda secara holistik.
Di samping itu, bagi mengukuhkan kedudukan Bahasa Malaysia dalam
sanubari rakyat rencamangolongan, DBP harus melaksanakan pelbagai aktiviti yang
menggapai minat umum terhadap keindahan Bahasa Malaysia. Aktiviti seperti
Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan
dan Pelancongan dengan usahasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini
dilihat sebagai anjakan paradigma yang berpotensi memperkenalkan bahasa
kebangsaan di peringkat dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus diambil DBP
untuk mewujudkan 'jiwa bahasa' dalam kalangan rakyat.
Mendepani arus globalisasi kini, pelbagai perubahan serta modifikasi
yang sudah dilaksanakan terhadap Bahasa Malaysia asal sehingga terbentuk bahasa
rojak. Lihat sahaja di kiri dan kanan jalan raya serta di bangunan-bangunan
pencakar langit, banyak papan tanda memaparkan penggunaan bahasa rojak. Perkara
ini tidak patut dibiarkan berlarutan kerana keupayaannya untuk mencemarkan
bahasa adalah tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak harus berpeluk tubuh
dan mendiamkan diri, sebaliknya perlu mengambil tindakan undang-undang bagi
menyedarkan pihak berkenaan bahawa Bahasa Malaysia bukanlah sebuahwadah mainan
komersial. Oleh itu, 'pidana bahasa' ini perlu dibejat bagi mewujudkan rakyat
kontemporariyang berpegang teguh dengan bahasa ibunda.
Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga untuk meledakkan
darjat Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain
status utamanya sebagai bahasa kebangsaan. Janganlah kita menjadi manusia yang
khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan bahasa asing sebaliknya
menidakkan kebolehan Bahasa Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia. Pepatah
Melayu ada disebut, 'yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu
budi, yang indah itu bahasa'. Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di
bumi yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala dan 'tak
lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'