Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Karangan Manfaat Penganjuran Sukan Antarabangsa

Contoh Karangan Karangan Manfaat Penganjuran Sukan Antarabangsa

 

Negara kita pernah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah kepada sukan bertaraf dunia. Tahun 1998 merupakan detik bersejarah kepada Malaysia dan Asia kerana Sukan Komanwel yang ke-16 telah berlangsung dari 11 hingga 21 September di negara kita. Sukan SEA juga dianjurkan di Malaysia pada tahun 2001. Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan langkah ke arah merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 yang merupakan inspirasi dan wawasan pembangunan negara yang dapat melahirkan masyarakat yang maju, penyayang, demokratik dan sejahtera. Negara kita amat bertuah kerana telah terpilih menjadi tuan rumah bagi acara sukan yang bertaraf dunia. Hal ini merupakan satu peluang keemasan bagi negara kita untuk menonjolkan imej dan kewibawaan Malaysia di arena antarabangsa. Selain Sukan Komanwel, negara kita juga pernah menjadi penganjur perlawanan bola sepak, Piala Thomas, Le Tour de Langkawi, dan sebagainya. Persoalannya sekarang apakah faedah penganjuran sukan bertaraf dunia kepada rakyat dan negara kita?

 

Kemaslahatan penganjuran sukan bertaraf dunia kepada negara ialah pendapatan negara akan meningkat sekiranya berjaya menjadi tuan rumah sukan antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana pertandingan sukan seumpama ini akan membawa pelancong dan peminat sukan yang banyak untuk melawat ke negara kita. Secara tidak langsung, kedatangan mereka ini akan memajukan industri pelancongan dan perhotelan negara. Industri pelancongan dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada negara. Biar kita imbas kembali Sukan Olimpik yang diadakan di Atlanta. Negara Amerika telah mendapat keuntungan sebanyak US20 bilion dalam penganjuran temasya sukan berprestij ini. Memang benar kata mantan Perdana Menteri Malaysia, iaitu penganjuran Sukan Komanwel dapat membantu negara mengatasi masalah kegawatan ekonomi yang semakin melarat pada masa itu. Para pelancong dan peminat sukan bukan sahaja membeli tiket sukan, tetapi mereka turut membeli cenderamata dan hasil kraf tangan yang dihasilkan oleh penduduk Malaysia. Maka, industri kecil dan industri hiliran dapat berkembang dengan lebih maju lalu ekonomi negara dapat dijana.

 

Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan instrumen perpaduan yang berkesan untuk mencapai integrasi nasional. Perpaduan yang dipupuk bukan sahaja dalam kalangan rakyat tetapi juga mendorong rakyat yang berbilang bangsa, etnik dan budaya menggemblengkan semangat berbakti dan berkorban untuk negara. Sebagai contoh, pihak badan bukan kerajaan berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk menjayakan Sukan Komanwel secara sukarela. Bukan itu sahaja, hal ini juga dapat mengukuhkan nilai perpaduan seperti toleransi, kerjasama, meletakkan kepentingan kebangsaan melebihi kepentingan peribadi. Dengan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, mereka akan memberikan sokongan yang padu kepada atlet negara kita untuk memenangi sesuatu perlawanan. Penganjuran sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam sesuatu pasukan untuk meraih kejayaan kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu, tanpa muafakat amat sukar untuk sesuatu pasukan itu mencapai kejayaan. Jadi, perpaduan antara kaum dapat dilahirkan melalui penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.

 

Dengan menganjurkan sukan seumpama ini, mutu sukan negara kita pasti bertambah baik. Melalui sukan bertaraf antarabangsa, kita dapat meniru teknik-teknik latihan yang digunakan dan kelengkapan yang disediakan oleh negara tersebut. Tamsilnya, dalam sukan badminton dan bola sepak, kita boleh mempelajari teknik pengurusan dan melihat kelengkapan prasarana sukan. Dengan cara ini, atlet kita akan mengetahui punca kegagalan mereka dan membaiki kelemahan mereka. Oleh itu, mereka akan berlatih dengan lebih giat lagi demi mencapai tahap yang diharapkan. Mereka juga akan berlatih dengan berdisiplin demi mencapai prestasi yang diharapkan. Pendek kata, prestasi sukan dan atlet negara akan meningkat jika kita sering menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa.

 

Sebagai konklusinya, penganjuran sukan yang bertaraf dunia akan membawa negara kita ke era kecemerlangan yang lebih membanggakan. Semua pihak sama ada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan mahupun rakyat jelata yang lain harus berganding bahu dan menggembleng tenaga ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk menjayakan dan membuat persiapan untuk pertandingan sukan. Dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, acara sukan yang diadakan di negara kita akan dapat berjalan dengan lancar. Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan salah satu cara pemodenan sukan yang dapat memperbaik prestasi sukan yang diidamkan oleh setiap negara. Dengan ini, diharapkan agar manfaat-manfaat yang tidak ternilai harganya semasa penganjuran sukan bertaraf dunia harus dihayati dan dapat dinikmati oleh semua rakyat di nusa yang tercinta ini.