Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Manfaat Dan Langkah Untuk Menarik Pelabur Asing

Contoh Karangan Manfaat Dan Langkah Untuk Menarik Pelabur Asing


PENDAHULUAN: 

Pelaburan merupakan elemen penting dalam menentukan pertumbuhan ekonomi yang berterusan. Kemasukan pelaburan asing amat penting kepada sesebuah negara yang sedang membangun terutama Malaysia. Terdapat pelbagai cara yang dilakukan oleh kerajaan untuk menarik pelabur asing.



ISI MANFAAT 1: 


Manfaat pelaburan asing ialah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk terutama dalam sektor perindustrian sama ada tenaga buruh mahir atau separuh mahir. Kewujudan peluang pekerjaan akan mengurangkan kadar pengangguran di negara ini. Selain itu, kemasukan pelabur asing dari negara maju seperti Amerika Syarikat dapat meningkatkn pendapatan negara melalui pengaliran masuk mata wang asing dari negara asing. Kemasukan pelaburan asing akan meningkatkan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara dan menjamin pertumbuhan ekonomi yang pesat. 

ISI MANFAAT 2: 

Selain itu, kemasukan pelaburan asing dalam sesebuah negara dapat meningkatkan teknologi dan berlaku pemindahan teknologi. Pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat global seperti Projek Baja Urea Asean. Kemasukan syarikat multinasional akan menyebabkan kemajuan dalam sektor perindustrian. Contohnya, R&D (Penyelidikan dan Pembangunan ) dalam reka bentuk model kereta, sistem enjin dan aksesori dalam pengeluaran kereta Proton melalui kerjasama syarikat Jepun menyebabkan industri automobil negara mampu bersaing dengan pasaran antarabangsa. 



ISI LANGKAH 3: 

Pelbagai langkah dijalankan oleh kerajaan untuk menggalakkan pelaburan asing. Antara langkah yang dilakukan ialah menyediakan kemudahan prasarana dan infrastruktur yang lengkap. Kemudahan asas yang lengkap seperti jaringan pengangkutan yang cekap, sistem telekomunikasi dan bekalan air dan elektrik. Prasarana yang lengkap dapat menarik pelabur asing untuk melabur terutama dalam sektor perkilangan.Contohnya, penyediaan tapak kilang yang strategik dan mempunyai darjah ketersampaian yang tinggi dapat menarik minat pemodal asing untuk membuka kilang di negara ini. 

ISI LANGKAH 4: 

Penyediaan galakan pelaburan atau insentif merupakan daya tarikan untuk menarik minat pelabur asing untuk membuat pelaburan.Kerajaan telah memberi galakan pelaburan kepada pemodal asing seperti taraf printis iaitu pengecualian cukai dalam tempoh 10 tahun kepada pelabur asing, di samping itu, kerajaan melonggarkan peraturan pelaburan dengan membenarkan rakyat asing memiliki ekuiti yang tinggi sehingga seratus peratus dalam sesuatu projek. 

PENUTUP: 

Secara keseluruhannya, pelaburan asing dijangka meningkat sekiranya Malaysia berusaha menyediakan suasana yang kondusif dan menjamin keselamatan pelaburan asing di negara ini.