Menyediakan contoh karangan Bahasa melayu, Pengajian Am, dan Sejarah yang merangkumi pelbagai topik bagi pelajar STPM, disertakan juga contoh karangan SPM, PT3 dan juga UPSR.

Biodiversiti / ekologi alam sekitar

Biodiversiti merupakan sistem sokongan hidupan antara satu sama lain. Ia merangkumi semua hidupan termasuklah tumbuh-tumbuhan, haiwan (invertebrata dan vertebrata), bakteria, kulat dan serangga.

Kepelbagaian biologi atau “biodiversity” didefinisikan sebagai keanekaan antara organisma hidup dari pelbagai sumber dari daratan mahupun samudera dan lain-lain yang melangkau ekosistem akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks termasuk di dalam kelompok spesis dan antara sepsis dan ekosistemnya. Dianggarkan jumlah bilangan spesies yang hidup di muka bumi ini melebihi 100 juta.

 KEPENTINGAN

1. Pengekalan kitar hidrologi

Hidupan semula jadi berfungsi sebagai penyerapan air. Tumbuhan hijau menyerap air dari tanah dan membebaskannya melalui proses transpirasi. Hutan, padang rumput dan tanah lembab akan menyerap air apabila jumlahnya banyak dan membebaskannya sedikit demi sedikit bila air bertakung. Ini sekaligus mengawal banjir.

2.Modifikasi iklim
Biodiversiti juga memberi khidmat ekosistem seperti mengatur perjalanan cuaca dan iklim.
Ia juga menyerap radiasi daripada cahaya matahari dan membebaskan wap. Ia akan mempengaruhi keadaan iklim dan menyederhanakan suhu. Kestabilan iklim akan berlaku dengan adanya fungsi oleh kepelbagaian biologi biodiversiti ini.

3.Kawal hakisan tanah
Daun dan sampah hutan boleh menyerap dan mengurangkan impak air hujan. Ini sekaligus menghalang tanah menjadi pecah. Selain itu,akar berfungsi “mengikat tanah”dan membantu menghalang berlakunya hakisan terutamanya di kawasan tanah tinggi. Manakala tumbuhan, haiwan kecil dan mikroorganisma menyumbang kepada pembentukan tanah. Di kawasan yang berombak,paya bakau berfungsi mengurangkan kesan pukulan ketika rebut. Ini bukan sahaja menjaga kontur pantai malah dapat menyelamatkan harta benda dan nyawa.

4. Selenggara kitar oksigen dan nitrogen
Tumbuhan menghasilkan oksigen untuk pernafasan. Manakala mikrob pula membantu menambah kesuburan tanah serta penetapan kandungan nitrogen dalam tanah. Kepelbagaian biodiversity juga boleh menghalang tompokan sebatian nitrogen seperti unsur-unsur Ammonium dan Nitrat yang boleh mengganggu kesuburan tanah.


B.KEPENTINGAN KEPADA MANUSIA

1. NILAI PERUBATAN
Sebanyak 3000 spesis tumbuhan di dunia ini dikenal pasti berfungsi sebagai anti-kanser.
Kekayaan kepelbagaian biodiversiti menyumbangkan US$8 bilion setahun untuk menghasilkan ubat-ubatan seperti tumbuhan herba dan gamat. Penyaringan dan pemprosesan flaura dan fauna menghasilkan pelbagai produk komersial, seperti tongkat ali (eurycoma longifolia), misai kucing (orthosiphon staminues) dan kacip fatimah (labisia pumila). Ini dapat memperbaiki tahap kesihatan masyarakat dan meningkatkan jangka hayat manusia.

2. BEKALKAN BAHAN MENTAH KEPADA MANUSIA
Pemeliharaan biodiversiti membekalkan makanan dan minuman kepada manusia. Misalnya laut yang terpelihara membekalkan makanan laut yang secukupnya kepada manusia. Glasier membekalkan air mineral kepada penduduk di sekitarnya. Turut dibekalkan ialah bahan mentah untuk kegunaan industri seperti minyak, petrol, getah, fiber, resin, gris, aluminium dan sebagainya.

3. BIODIVERSITI JUGA MENJADI TEMPAT RIADAH.
Seisi keluarga boleh mengadakan aktiviti seperti bersenam dan melihat spesis burung. Hutan hijau tenpat rekreasi untuk menjamin kesihatan manusia. Keindahan pantai dan dasar laut mendatangkan ketenangan mental.
 
4. NILAI INTRINSIK
Kepelbagaian biodiversiti ini juga mempunyai “NILAI TERSENDIRI” dan “HAK UNTUK HIDUP”. Setiap benda hidup tidak kira haiwan,tumbuhan dan manusia mempunyai “hak asasi” masing-masing. Benda hidup mempunyai ingatan, emosi dan kesakitan.

 MASALAH KEMUSNAHAN BIODOVERSITI

1.Kegiatan manusia yang mengubah dan menghapuskan tempat kediaman mereka.
Banyak aktiviti manusia merosakkan biodiversiti. Akibatnya,banyak spesis yang belum lagi dikenalpasti telah pupus. Ada antara sepsis ini telah disenaraikan dalam ketegori spesis terancam. Jika tidak ditangani awal dari sekarang, biodiversiti yang ada sekarang akan terjejas teruk dan mungkin hilang buat selama-lamanya.

2. Pengeksploitasian hutan tropika.
Contohnya kemunculan pelancong berasaskan alam semula jadi atau eko-pelancongan mendatangkan hasil kepada negara membangun. Namun jika tidak dilaksanakan dengan teratur boleh menyebabkan kerosakan biodiversity. Kemusnahan habitat akibat penukaran tanah untuk pertanian, perlombongan, penempatan, pembinaan dan sebagainya untuk tujuan pembangunan juga bakal memusnahkan kekayaan biodiversiti dunia.

3. Perubahan iklim dan bencana alam seperti tanah runtuh, banjir, kemarau, tsunami (2004) dan sebagainya menyebabkan kemusnahan kepada kepelbagaian biologi daratan dan akuatik dunia. Kecairan glasier menyebabkan banyak kawasan rendah ditenggelami air dan banjir lebih kerap berlaku.

4. Penggunaan sumber biologi secara tidak lestari dan berlebihan.
Aktiviti pembalakan dan pemburuan yang tidak terkawal menjadi satu agenda kepada kepupusan kepelbagaian biologi. Tangkapan ikan dengan teknologi canggih menyebabkan bekalan ikan pupus.

LANGKAH SELAMATKAN BIODIVERSITI

1. Persidangan pengurusan biodiversiti.
Bengkel mengenai biodiversity, bioprospek, pengurusan dan pengawasan eko-pelancongan dan perlindungan spesis terancam. Tahun Biodiversiti Sedunia 2010 memberikan peluang kepada masyarakat dunia untuk memahami kepentingan peranan biodiversiti dalam mewujudkan suatu suasana kehidupan yang mampan. Aktiviti yang terancang lebih tertumpu kepada aspek galakan kepada orang awam untuk mengurangkan kemusnahan biodiversiti, di samping meningkatkan pemahaman terhadap kepentingan biodiversiti kepada manusia.
120 negara tentang menandatangani KONVENSION KEPELBAGAIAN BIOLOGIKAL (CBD). memberikan mekanisma global untuk memastikan pemuliharaan dan penggunaan mapan bioddiversiti bagi generasi sekarang dan akan datang. Dalam perjanjian tersebut,Malaysia menjanjikan 50% litupan muka bumi dengan hutan dan pokok selama-lamanya.

2. Menggalakkan dan memperbanyakkan penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).Contohnya Taman Teknologi Malaysia(TPM) sedang giat menjalankan kajian terhadap potensi-potensi yang boleh digunakan daripada hasil khazanah alam Negara. Pusat-Pusat penyelidikan seperti Pusat Biodiversiti Raub menjalankan kerja-kerja mengutip, memelihara dan menjalankan kerja-kerja kajian farmakologi sampel, pemprosesan dan penghasilan benih. Pemuliharaan kepelbagaian biologi dapat dibantu dengan kaedah-kaedah bioteknologi seperti penyelamatan embrio, perlakuran protoplas, kriopengawetan dan perpustakaan DNA. Bioteknologi juga boleh digunakan untuk menilai variasi ginetik yang terpendam, iaitu melalui teknik RFLP dan elektroforesis gel.

3. Mengetatkan kawalan dan menjalankan pemantauan yang lebih telus.Antara teknologi konservasi biodiversiti yang paling praktikal dan digunakan secara meluas pada masa kini adalah secara penentuan dan pemantauan menerusi satelit. Aktiviti pembalakan dan pemburuan haram misalnya perlu dikawal lebih ketat. Begitu juga dengan biodiversiti akuatik Malaysia yang mempunyai nilai yang tinggi, pengawalan terhadap hidupannya termasuk terumbu karang perlulah dilakukan dengan lebih mantap supaya tidak merugikan Negara.
Kepelbagaian biologi yang meliputi keanekaan organisma di peringkat genetik, spesis dan ekosistem, wajar dianggap sebagai harta pusaka sesebuah negara berdaulat. Khanazah ini seharusnya dipulihara untuk generasi sekarang dan sebagai warisan generasi-generasi yang akan datang.


Pendidikan secara formal dan informal merupakan pendekatan yang terbaik dalam menyedarkan masyarakat betapa pentingnya memelihara kepelbagaian biodiversiti ini.

Pendidikan Formal
1. Mata pelajaran sains dan biologi
Pengenalan biodiversiti dalam mata pelajaran sains atau biologi, mengenalpasti spesis haiwan dan tumbuhan, peranannya dalam kehidupan seharian dan kebaikan sesuatu spesis tersebut kepada manusia.

2. Aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum
Melalui aktiviti seperti mencipta syair, pantun, berpidato, ceramah, kuiz, projek kelas, penyediaan buku skrap, lukisan, permainan alam sekitar, kajian biodiversiti dan sebagainya dapat mendekatkan para pelajar kepada kepentingan dan keperluan biodiversiti dalam bentuk karya, ilustrasi atau objek yang menarik. Ini dapat menggalakkan para pelajar mempelajari dan menghayati kekayaan biodiversiti di dunia ini dengan lebih berkesan.

3. Penulisan biodiversiti
Dengan memperbanyakkan pembacaan artikel, jurnal, majalah alam sekitar dan dokumentari berkaitan dengan biodiversiti mampu menambahkan ilmu pengetahuan kita dalam usaha memelihara biodiversiti di sekeliling kita. Selain itu dapat memupuk perasaan kasih sayang dan menghargai kepentingan kepelbagaian biodiversiti di dunia ini.

Pendidikan Tidak Formal
1. Lawatan luar
Dengan mengadakan sesi lawatan ke kawasan hutan simpan, taman negara, zoo negara, kawasan hutan bakau, taman burung dan taman herba dapat membantu para pelajar akan kepentingan fungsi biodiversiti dalam kehidupan seharian. Muzium biodiversiti seperti muzium siput, muzium hidupan akuatik, muzium spesis pokok dan muzium haiwan dapat menginsafkan diri kita betapa ruginya kita sekiranya kehilangan spesis-spesis yang berharga kepada negara akibat daripada kerakusan manusia dalam mengejar arus pemodenan dengan memusnahkan habitat asal spesis haiwan dan tumbuhan tersebut.

2. Aktiviti biodiversiti
Aktiviti seperti menanam pokok, penanaman semula pokok seperti pokok api-api dan perepat, pokok kayu jati, merbau dan sebagainya dapat mengembalikan semula kitaran biodiversiti.

3. Program kesedaran
Program-program kesedaran seperti aktiviti mengutip sampah sarap di kawasan persisiran pantai dan hutan simpan, mengitar semula barangan terpakai seperti botol plastik, kaca dan suratkhabar, menjalankan aktiviti pembersihan sungai dan pelbagai lagi aktiviti kesedaran mampu menarik masyarakat di negara ini untuk bersama-sama memelihara dan memulihara biodiversity dan alam sekitar dengan lebih berkesan.